Teksi
Penyair memulakan puisinya dengan memperkenalkan kita kepada watak utama yang ingin diceritakan iaitu seorang pemandu teksi. Di Kuala Lumpur , kita akan bertemu dengan pemandu teksi yang datang daripada negeri berbeza-beza. Seperti penyair puisi ini, saya juga pernah naik teksi yang dipandu oleh seorang anak desa. Dalam bait pertama digambarkan kepada kita bahawa teksi itu sendiri sudah menjadi seperti kanvas peribadi si pemandu sehingga penyair menyebut "ada gaya kampung pada kerusi lengkung." Mungkin akan ada pembaca yang tidak bersetuju dengan tafsiran penyair kerana bukan semua teksi yang nampak macam kampung itu dipandu oleh pemandu yang berasal dari kampung. Tetapi sebagai pembaca sastera, kita haruslah terlebih dahulu menyimpankan kesangsian kita dan terus membaca hingga ke bait terahkir. Puisi itu memang adakalanya sukar digarap kerana sang penyair telah menghimpunkan sebuah pengalaman kehidupan yang besar menjadi secebis pengalaman yang halus dan indah. Maka, jika pembaca umum ingin mengangkat diri mereka menjadi pembaca unggul, maka mereka haruslah belajar menghalusi makna sebuah sajak dengan membacanya berulang-ulang kali.
Pada baris-baris seterusnya diceritakan oleh penyair bahawa pemandu teksi "kecewa dengan negerinya" tetapi diteruskan juga hidup kerana adanya rasa tanggungjawab terhadap keluarga. Apakah yang dikecewakan oleh pemandu teksi ini? Seperti yang disebut oleh penyair dalam bait pertama, pemandu ini mungkin datang dari desa. Dia datang ke kota ini dengan hanya berdompetkan harapan bahawa dia akan dapat membeli sebuah kehidupan yang bahagia. Dan seperti kebanyakkan orang yang tinggal di Kuala Lumpur, dia akhirnya kecewa kerana hanya boleh hidup cukup-cukup makan. Nak pulang ke kampung? Barangkali tidak kerana dia akan hanya membawa kekecewaan dalam beg barangnya berbanding kemewahan yang mungkin dinanti-nantikan oleh orang kampung. Jadi dia nak salahkan siapa ke atas kesusahan hidupnya? Pastilah kehidupan itu sendiri. Bukan dirinya yang terus-menerus dibiarkan menjadi orang biasa dan tidak berusaha menjadi manusia yang lebih cemerlang.
Muhammad Haji Salleh merumuskan dalam bait ketiga bahawa pemandu teksi itu meneruskan kehidupannya yang tidak seberapa dengan membawa penumpang-penumpang yang tidak dikenali. Dalam kata mudah, pemandu teksi itu menyandarkan kehidupannya pada orang lain. Penyair sememangnya bersimpati dengan kesusahan hidup pemandu teksi ini, tetapi penyair tidak memberikan kepada pembaca jalan keluar. Penyair hanya merelakan pemandu teksi itu meneruskan kehidupan yang sebegitu seolah-olah penyair adalah penonton televisyen kehidupan yang hanya boleh mengusap air mata, dan apabila sudah bosan ditukarnya ke rancangan yang lebih menarik. Kita sebagai pembaca memang bersimpati dengan kehidupan pemandu teksi yang digambarkan oleh penyair, tetapi sebagai manusia kita tidak ingin terus hidup sengsara. Kita tidak ingin terus menjadi penghuni jalanan atau makhluk sosial yang terus-menerus menyandarkan kehidupan pada orang-orang yang tidak dikenali apatah lagi mempedulikan kehidupan kita. Hakikatnya, kita inginkan kehidupan yang lebih baik, dan kita ingin jadi lebih manusia yang lebih sempurna. Orang yang hanya menggantungkan tali kehidupannya pada dunia, belum menjadi inidividu yang sejati, kerana keindividuan sejati bermakna kita membina kehidupan dengan menemui Tuhan dalam diri kita sendiri.
Comments