Mrs Dalloway


Saya sekarang tengah seronok membaca novel Virginia Woolf berjudul Mrs Dalloway. Teknik stream of consciousness memang jarang sekali digunakan oleh seseorang penulis. Barangkali kerana kesukaran untuk mengawal aliran babak, emosi, dan ingatan yang muncul di fikiran penulis atau watak yang diciptanya. Tapi apabila ia berjaya ditulis dengan baik, maka pembaca akan mendapat kesan psikologi yang sangat memuaskan. Teknik ini membolehkan pembaca melihat aliran kesedaran watak dalam sebuah fiksyen yang akan melompat dari satu babak ke satu babak, dari satu ingatan ke satu ingatan, dan dari satu emosi ke satu emosi. Dalam novel Mrs Dalloway, Virginia Woolf telah menggunakan teknik ini bagi menceritakan pengalaman hidup yang dilalui oleh Clarissa Dalloway dan beberapa watak lain yang sedang berhadapan dengan perubahan kehidupan di London akibat kesan peperangan.


Perjalanan novel ini berlaku dalam satu hari iaitu penantian malam pesta yang akan diadakan oleh Clarissa Dalloway. Sementara menanti pesta itu, pembaca dibawa berjalan bersama Clarissa di kota London yang masyarakatnya sedang dalam proses meninggalkan zaman kegemilangan empayar British. Proses ini bukan suatu perkara yang mudah kerana nak ubah pemikiran kelompok-kelompok masyarakat yang sudah selesa dengan norma lama pasti akan memakan masa. Hal ini menjadi konflik buat watak-watak kelas atasan seperti Clarissa, Richard Dalloway, dan Peter Walsh. Konflik tidak digambarkan kepada kita melalui aksi fizikal kerana plot tidak diutamakan oleh Virginia Woolf. Apa yang diutamakan olehnya ialah pengalaman kehidupan yang diberikan melalui teknik aliran kesedaran. Teknik ini menjadi bertambah kompleks apabila ia digabungkan dengan sudut pandangan ketiga terbatas yang membolehkan narator melompat dari satu watak ke satu watak. Maka, apabila berhadapan dengan satu babak, pembaca dapat melihat babak itu daripada perspektif yang berbeza kerana narator akan lihat aliran kesedaran setiap watak yang ada di situ.


Saya sudah hampir selesai membaca novel ini dan saya berharap kesudahannya memuaskan. Pembaca yang ingin membaca novel ini dinasihatkan membacanya dengan perlahan kerana teknik yang digunakan oleh Virginia Woolf mungkin agak sukar untuk diikut sekiranya dibaca dengan pantas.

Comments

Popular Posts