Keputusan Eksperimen Seks

Berikut adalah jawapan kepada eksperimen seks:

  1. Ismail Restu ("Sangkar")
  2. Khadijah Hashim ("Cuma Tumpang Lalu")
  3. A. Samad Said ("Burung")
  4. Jamaluddin D ("Bulan")

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca yang sudi mengambil bahagian dalam eksperimen ringkas ini. Tujuan saya sebenar bukanlah nak mencari apa yang disebut oleh Virginia Woolf sebagai bentuk "teks feminis" mahupun teks maskulin. Hasrat saya ialah untuk meningkatkan kesedaran gender di kalangan pembaca. Keputusan eksperimen ini sedikit sebanyak akan membuka mata kita bahawa stereotaip gender masih wujud di kalangan pembaca perempuan dan juga lelaki. Ketika kita membaca puisi-puisi ini, apakah ciri-ciri lelaki atau perempuan yang bermain di fikiran kita? Dan adakah ciri-ciri itu menepati jawapan yang diberikan? Jawapan kita bukan sahaja menggambarkan persepsi gender dalam sastera tetapi juga persepsi gender secara umum.

Puisi pertama dan kedua memang saya sengaja pilih yang mudah kerana saya fikir ia akan menepati streotaip gender kebanyakkan pembaca. Oleh itu, saya yakin pembaca pasti akan terperangkap apabila membaca puisi tiga dan empat; terutama sekali puisi A. Samad Said yang memang lembut nadanya seolah-olah narator puisi itu ialah perempuan. Pembaca perlu ingat bahawa bukan semua puisi ada suara sebenar penyair; sesetengah penyair akan memisahkan dirinya dengar narator puisi sehingga yang bercakap dalam puisi adalah orang lain. Contoh boleh dilihat dalam puisi Ismail Restu; suara naratornya memang objektif dan berterus-terang sehingga sukar nak pasti adakah memang Ismail Restu yang bercakap. Frasa "memikat burung" sahajalah yang memberi gambaran yang narator ini kemungkinan besar seorang lelaki. Selain itu, kerja membuat sangkar memang selalu dibuat oleh lelaki. Perkara yang menarik di sini ialah kecenderungan pembaca untuk mengkelompokkan manusia atau objek alam mengikut sterotaip gender. Burung lebih cenderung dilihat sebagai perempuan padahal tidak disebut dalam puisi itu jantina burung. Kalaulah disebut dalam puisi itu "burung jantan," adakah kita akan masih mengatakan bahawa penulisnya ialah lelaki?

Saya berharap eksperimen ini telah membantu meningkatkan kesedaran gender pembaca. Tahniah buat Jamilah dan Ina Marjana yang telah meneka dengan betul. Mungkin boleh kongsi dengan kami bagaimana anda meneka ketika membaca puisi-puisi ini. Hadiah saya hanyalah berkongsi ilmu dengan pembaca. Maaflah kalau ada yang harapkan hadiah lain. Ada yang sebut bahawa mereka kurang mahir dalam menilai sebuah puisi. Ya, saya menyedari masalah ini dan saya memang tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Eksperimen ini sebenarnya adalah satu bentuk krtikan resepsi pembaca. Pengkritiknya adalah anda semua, bukan saya. Pengarang telah dimatikan kerana nama dan tajuk puisi dibuang. Kuasa penilitian teks telah diserahkan kepada pembaca. Tugas saya hanyalah menghimpun dan membuat tafsiran. Mungkin selepas ini kita akan kaji bersama genre cerpen dan lihat adakah kita akan dapat keputusan yang sama.

Comments

Anonymous said…
salam azriq, tajuk yang menarik sdr lontar. Rasanya yang bertanya lebih arif mengenai tajuk ini.
Macamana pun dikongsikan bersama cara kak ina meneka dengan mengandaikan dua perkara sekiranya kak ina sebagai perempuan mampu tulis:
1. susunan kata-kata
2. makna atau maksud puisi
puisi pertama susunannya terus bersahaja tetapi punya makna yang perlu difikirkan- kak ina mungkin tidak mampu tulis begitu
puisi kedua susunan kata-katanya berulang-ulang-kurang ekonomik dan maksudnya dapat dikenalpasti dengan jelas. Mungkin kak ina mampu buat puisi begini.
puisi ketiga, susunan kata-katanya memang indah dan maknanya tersurat dengan indah juga. Ini lagi kak ina tak mampu nak buat.
puisi keempat, susunan kata-katanya ringkas - memang gaya lelaki tetapi maknanya perlu difikirkan. Juga kak ina mungkin tidak mampu susun kata-kata dengan ringkas begitu tetapi memberi makna yang perlu direnungi. Andai ada yang salah, maaf & tolong betulkan.
This comment has been removed by the author.
Salam,
saya hanya, meneka berdasarkan intuisi. Sekali imbas membaca, saya cuba meneka jantina berdasarkan lenggok ayatnya... Ayat yang dibina oleh seorang lelaki beza dengan ayat seorang perempuan. tak sangka betul..Saya rasa begitulah jantinanya..
Anonymous said…
wah, walaupun saya terlambat, tapi nampaknya saya betul! huhuhuhu!
kalau dilihat, puisi 1, 2 & 4, kesemuanya menampilkan satu objek (burung) yang ingin mencapai sesuatu, yg ingin menujah, yg ingin bergerak dlm ruang yg ditampilkan (baik masuk sangkar, bertemu Khaliq atau nak ke bulan), stereotaip seorang lelaki jika dibaca mmg begitu, mereka mencari sampai dapat (secara seksis, saya mengatakan ini jika mengkaji banyak pantun, ditulis oleh lelaki, pantun "apa dalam baju, sekuntum bunga cina" itu satu contoh yang paling tampak (mencari lalu menjumpai - objek phalic memang sebegini). Bagi puisi 3 pula, ada suara pasifisme (stereotaip), objek tanah dan bumi digunakan (mother earth, goddess earth), tanah INI yang mahu diisi, ia tak menjelajah. wallahu alam.

Popular Posts