Penulis Muda Tidak Patriotik

Di blog Fadz sekarang ada perbincangan menarik tentang artikel Pak Malim di Dewan Sastera yang mengatakan bahawa penulis muda kita tidak patriotik. Perbincangan ini turut disertai oleh saudara Lutfi yang banyak memberikan pendapat bernas. Pembaca juga boleh membaca reaksi saudara Lutfi terhadap pendapat Yasmin Ahmad (pengarah filem yang kontroversi itu). Reaksi saya di blog Fadz saya letakkan di sini buat tatapan pembaca:

"Salam saudara fadz,

Nampaknya artikel Pak Malim telah menimbulkan perbincangan panas antara saudara dengan sdr Lutfi.Saya sendiri tidak bersetuju dengan artikel yang ditulis oleh Pak Malim kerana bahan-bahan yang dikajinya tidak menyokong tesis yang mengatakan penulis muda sekarang tidak patriotik.

Satu persoalan penting yang belum disentuh ialah apakah ciri-ciri sebuah karya sastera yang dikatakan patriotik? Adakah kita hanya merujuk kepada karya-karya yang memaparkan perjuangan generasi sebelum meredeka,peristiwa 1957,peperangan dengan komunis atau jepun,atau mungkin kesengsaraan masyarakat seperti yang sering kita temui dalam novel-novel terawal A.Samad Said? Atau kita merujuk kepada karya-karya yang kita sering baca di musim merdeka (seperti sekarang)yang gemar memaparkan konflik generasi muda dengan generasi lama yang semakin dilupakan perjuangan mereka? Adakah kemerdekaan itu suatu perasaan bermusim yang hanya muncul pada bulan Ogos? Barangkali persoalan terakhir yang difikirkan oleh kebanyakkan generasi muda.

Penulis muda sekarang tidak hidup di zaman Pak Malim atau Pak Samad.Masa juga telah mengubah senario budaya masyarakat kita.Maka,makna kemerdekaan bagi generasi muda turur berubah.Saya bukan ingin mengajak pembaca menafikan perjuangan generasi sebelum kita,tapi yang lebih penting ialah kita harus melihat di mana kita sekarang.Apakah makna kemerdekaan yang masih tinggal dalam masyarkat kita? Masih merdekakah kita sebagai sebuah bangsa individu di mata dunia? Oleh itu,karya sastera pada masa kini harus lebih mengutamakan makna kemerdekaan bagi generasi muda dan juga tua yang mungkin sedang menilai kembali kesan perjuangan mereka.Kita tidak boleh sempitkan pemahaman kita bahawa karya-karya "patriotik" hanya terhad kepada cerita zaman dahulu atau cerita bermusim yang sering kita baca pada bulan Ogos.Makna kemerdekaan adalah milik setiap individu di negara ini dan cara seseorang penulis memberikan tafsiran adalah sesuatu yang kita harus hormati dan merenung bersama.

Adakah sejarah penting? Ya, tentu sahaja.Tapi sejarah itu hanya fakta yang kita boleh lihat dan teliti dari jauh seperti barang-barang dalam muzium.Ia tidak akan mengubah masa depan sekiranya kita hanya mengenang sejarah sebagai benda-benda nostalgik.Sejarah akan hanya dapat berfungsi apabila ia diberikan tafsiran yang berterusan mengikut zaman.Dan kita amat beruntung kerana ada penulis genrasi muda yang sudah melakukannya seperti Faisal Tehrani,dan Nisah Haron.
Kenangan masa lalu perlu dikenang tapi kenangan hanyalah bunga yang perlu sentiasa dijaga sekiranya kita ingin keharumannya dirasai oleh generasi akan datang."

Comments

Anonymous said…
setuju...
sejarah hanya sejarah, tidak boleh diubah-ubah, hanya boleh dipakai sebagai pengaran supaya takkan berulang lagi...
aku pun sependapat dengan ko yang mengatakan kita, generasi muda tidak hidup pada zaman kesusahan dulu, tak pernah rasa dan alaminya, maka pengalaman itu tiada, maka walau sekuat mana pun generasi tua melaung-laung akan kesusahan dan kepayahan mereka pada zaman dulu dan asyik menyuruh kita supaya menghargai pengorbanan orang-orang dulu, kita tetap tidak lebih hanya sekdara dapat rasa sahaja....
jadi, aku rasa , tidak perlu dipertikaikan lagi dengan mengatakan generasi muda tidak patriotik dalam karyanya hanya kerana patriotik kita tak sama dengan patriotik mereka generasi tua...
patriotik itu perlu bersifat luwes, supaya mudah disesuaikan dengan setiap masa, namun, yang lama tetap dihargai dan tidak dilupakan....
lutfi said…
Wan Azriq, melakukan interpretasi memang satu keperluan dalam sejarah. Namun, apabila kita memberikan interpretasi tentang sejarah berdasarkan perspektif kita zaman ini, akhirnya akan menghilangkan kebenaran yang terkandung dalam sejarah. Maksud saya di sini, sejarah berlaku pada ruang masa yang lalu, dijana oleh pelbagai sebab, yang juga berlaku pada waktu yang lalu. Oleh itu, akhirnya, kita perlu mentafsir sejarah berdasarkan maklumat yang cukup, dan tentunya - tafsiran yang diberikan itu, tidak sesuai berdasarkan perspektif sekarang.
Walaubagaimanapun, saya percaya, seperti yang telah dinyatakan oleh Hegel - bahawa, dalam sejarah terhadap hukum-hukum yang universal. Maksudnya, seriangkali sejarah pada sesebuah negara, akan boleh berlaku pada latar dan tempat yang lain. Kerana itu, saya bersetuju dengan pandangan saudra yg menyatakan bahawa sejarah seperti barang-barang dalam muzium, jika 'barang-barang itu' saudra maksudkan sebagai sangat berharga dan kita perlu selalu ke muzium untuk melihat, dan menilainya - kerana ada hukum universal yang boleh kita gunakan pada masa sekarang untuk melihat masa depan. Tetapi jika perbandingan saudra itu membawa makna 'barang yang sudah lapuk dan layak diletakkan dimuzium, saya menentang pendapat sebegitu - kerana, mustahil hukum-hukum universal dapat di bina pada hari, sedangkan kita mhu melangkah ke hadapan yang sangat kabur dak tidak pasti arah dan tujuannya.
Sejarah, Salam.
Wan Nor Azriq said…
Salam wan,

Ya aku setuju dengan pendapat kau.Patriotik bukan sekadar mengenang peristiwa lama tapi usaha kita membina tamadun bangsa yang hebat.
Wan Nor Azriq said…
Salam abang lutfi,terimas kasih atas pendapat yang abang berikan.

Tentang kebenaran universal ini saya tidak percaya bahawa sejarah mengandungi nilai-nilai mutlak bagi menentukan identiti sesuatu bangsa mahupun negara.Sekiranya kita melihat bahawa sejarah itu mengandungi nilai-nilai universal,maka kewujudan manusia akan terperangkap dalam jaringan struktur masa lalu yang pasti sahaja tidak sempurna.Kita tidak menafikan kepentingan sejarah kerana sejarah pasti sahaja mampu mengajar kita tentang siapa diri kita suatu masa dahulu.Tapi kalau nak jadikan sejarah sebagai faktor determinisme bagi perkembangan tamadun bangsa maka kita telah mengikat tamadun kita daripada menjadi lebih sempurna.

Kuasa sesebuah tamadun berada di tangan tamadun itu sendiri.Mereka yang menentukan sendiri arah tuju tamadun mereka.Siapa diri kita harus ditentukan oleh diri kita sendiri.Bangsa Melayu perlu melihat ke depan,mereka perlu melihat bangsa yang bagaimanakah mereka ingin menjadi,dan mereka perlu menanam azam untuk menjadi bangsa yang lebih berkuasa dan sempurna.Dan ini tidak dapat dilakukan jika mereka hanya jadikan sejarah sebagai cermin mutlak bagi mendefinisikan siapa diri mereka dan siapa yang mereka ingin jadi.Lihatlah sejarah sebagai orang tua yang bijaksana.Tapi kita sebagai anaknya tidak perlu menjadi orang tua itu.Kita jadi bangsa yang lebih baik dan lebih sempurna.

Sejarah itu tidak objektif kerana bukan sejarah yang menentukan siapa diri kita.
fadzil yusof said…
"Sejarah itu tidak objektif kerana bukan sejarah yang menentukan siapa diri kita."

Kata-kata Wan Azriq ini macam ada yang tidak kena. Betul agaknya sejarah itu tidak obejektif sebab sejarah pada sebahagian ahli ilmu menyatakan adalah bergantung kepada sejawaran itu. Ya, mungkin bergantung kepada tafsiran sejarawan itu. Ini yang disebut oleh E.H Carr tak salah saya. Sampai ke tahap mungkin untuk mencari keobjektifan sejarah itu agak sukar. Sebab itu, ada saja versi sejarah berbeza-beza kerana ditanggani sejarawan yang berlainan. Namun jika ia mempunyai maklumat yang cukup macam kata saudara Lufi, ia mungkin cenderung kepada sifat objektif itu. Mungkin.

Cuma masalah saya dengan kata-kata Wan Azriq yang kemudian itu, bukan sejarah menentukan. Sebenarnya sejarah juga ada pengaruh dan impak kepada diri kita, jika kita perhatikan betul-betul. Mana mungkin seseorang itu, dikenali atau diperkenalkan untuk umum misalnya tanpa diperkenalkan sejarahnya misalnya macam SN Usman Awang, jika mahu bicarakan mesti melihat aspek-aspek persekitaran, keluarga, latar belakang, peristiwa-peristiwa tertentu yang semua itu memberikan takrif serba-sedikit tentang peribadi seseorang. Pandangan saya, mungkin Wan Azriq tidak seia.
Wan Nor Azriq said…
Salam sdr mohd fadzil yusof,

Terima kasih atas pendapat yang diberikan.Apabila saya mengatakan bahawa sejarah tidak menentukan siapa diri kita,saya bukannya merujuk kepada sejarah dalam konteks psikologi individu.Saya sedang merujuk kepada sejarah sebagai displin ilmu yang diajar secara formal kepada masyarakat.Sejarah yang menceritakan peristiwa-peristiwa terdahulu,tokoh-tokoh terdahulu,dan juga tamadun-tamadun sebelum kita.

Betul apabila sdr mengatakan bahawa kita tidak boleh mengenali seseorang tanpa melihat sejarah silamnya.Tapi ia masih bersifat subjektif.Apa yang dibuat atau apa yang pernah dilalui oleh Usman Awang tidak memberi gambaran secara total ciri-ciri kenindividuan setiap manusia.Ia hanya menceritakan diri Usman Awang yang unik dan boleh diteladani oleh kita.Namun,itu tidak bermakna semua orang harus menjadi Usman Awang.Kalau sejarah itu universal,maka semua orang mesti jadi Usman Awang atau Shahnon Ahmad.Hakikatnya,dunia hanya perlukan seorang Usman Awang.Dan eksistensi kewujudan kita hanya memerlukan kita untuk merealisasikan diri secara total tanpa perlu bergantung kepada sejarah sebagai sumber nilai yang muktamad.Rujukkan diri yang muktamad dan universal ialah agama.
fadzil yusof said…
Salam.

Betullah kata Wan Azriq. Apapun kita perlu kembali kepada agama. Agama sumber yang yang lebih jelas kerana bersifat naqlinya dan apa lagi saya tidak ingat dah istilah-istilahnya.

Dalam perbincangan falsafah, memanglah sangat susah menemui jalur-jalur kebenaran kepada sesuatu fakta. Ada sahaja yang tidak kena. Mungkin fakta itu dari fikiran, dan selagi manusia itu manusia, fikiran memang rencam dan berwarna-warni. Yang menyatukan hanya agama sekiranya individu itu menerima gama sebagai landasan.

Tentang sejarah itu juga universal seperti disebut Lutfi barangkali betul, segi yang ruang lingkup dibicarakan. Pokok perbincangan semacam sangat baik.

Saya terlupa bila memberi pandangan yang lalu, kerana sebetulnya, saya tersedar berada di luar tajuk rupanya. Tidak apalah.

Popular Posts