"April": Ketiadaan Kesatuan Estetik

Zaleha Ahmat telah muncul semula di Dewan Sastera April 2008 dengan cerpen bertajuk April. Sebelum ini saya pernah mengatakan (Dewan Sastera Februari 2008) bahawa cerpennya bertajuk Semboyan mempunyai kekuatan simbol dalam memikat rasa estetik pambaca. Namun, cerpennya kali ini, yang jauh lebih pendek, tidak memberikan kepuasan yang sama. Ketiadaan kesatuan estetik ialah punca utamanya.

Menurut Lutfi Abas, karya sastera yang indah masti ada kepelbagaian, keseimbangan, dan kesatuan. Dalam cerpen April tidak ada kesatuan antara unsur-unsur intrinsiknya. Perkara ini jelas bagi babak-babak yang dipilih oleh Zaleha untuk dimasukkan ke dalam plot. Ada dua babak yang bersifat pembaziran dan saling bertentangan motifnya. Pertama, ketika protagonis bernyanyi di perhimpunan sekolah. Mesej patriotik di bahagian ini tidak ada kaitan langsung dengan leitmotiv di permulaan plot iaitu "hidup ini adalah sebuah dongeng pari-pari." Babak kedua adalah sewaktu protagonis menumpang bas sekolah ke perlawanan hoki. Penulis telah membuang masa di sini kerana tidak apa-apa kepentingan untuk pembaca mengetahui hubungan protagonis dengan hoki. Plot April secara keseluruhannya adalah longgar dan tidak padat. Tidak ada kesatuan estetik yang dapat membimbing pembaca ke pusat persoalan cerita iaitu tema.

Bagaimanapun, ini bukan bermakna tema cerita tidak sampai langsung kepada pembaca. Hanya, kita merasakan cara penulis membawa kita ke tema itu tidak indah. Tema bagi cerpen ini ada sedikit persamaan dengan Semboyan iaitu kedua-duanya mengajak pembaca hidup dalam realiti dan tidak terus mengenang kenangan silam. Selain itu, tema juga diperkukuhkan dengan metafora "hidup ini adalah sebuah dongeng pari-pari." Maksud yang cuba disampaikan oleh Zaleha di sini ialah realiti tidaklah selalu indah seperti yang kita harapkan. Dan kadang-kadang apa yang kita dapat itu bertentangan terus dengan apa yang kita idamkan. Contohnya, mendapat perempuan bermata juling seperti protagonis dalam April.

Usaha pengukuhan yang cuba dilakukan oleh Zaleha bagi menghasilkan sebuah teks unggul, belum berjaya sepenuhnya. Zaleha perlu pada masa akan datang menghasilkan karya yang menampakkan kesatuan antara semua unsur intrinsik cerita.

Comments

roslan jomel said…
Salam sdr kritikus sastera.


Apakah sdr sudah membaca cerpen SISA tulisan sdr Zaleha Ahmat di dalam majlh Dewan Sastera?

Saya sudah terlupa tarikhnya. Tetapi cerpen itulah detik awal yang memperkenalkan saya kepada penulis cerpen terpendek dalam majalah Dewan Sastera bernama sdr Zaleha Ahmat.

Benar, cerpen SISA itu pendek. Tapi, secara jujurnya, saya membaca cerpen SISA lebih daripada 5 kali kerana kebeningan emosi yang menyalut teksnya.

Seharusnya juga cerpen INFINITI tulisan Anthony N Fragola diulaskan sdr di sini. Cerpen itu pendek, padat dan sudah tentu menarik kerana kecanggihan pertikaian batiniahnya. Sekadar mencadang..

Syabas. Teruskan mengkritik dengan lebih rigorous lagi. :)
Wan Nor Azriq said…
Terima kasih saudara roslan atas pendapat dan saranan yang diberikan :) saya akan cuba mencari cerpen bertajuk SISA dan INFINITI. Namun, di mana agaknya nak dapatkan tulisan Anthony N Fragola?
Saya secara peribadi memang gemar cerpen pendek kerana kekuatan estetiknya itu hampir sama dengan dengan puisi. Diharapkan akan ada lebih ramai penulis kita yang bereksperimen dengan genre baru ini.
Saya ingin berkongsi dengan pembaca salah satu cerita paling pendek dan susah untuk dilupakan:

"A woman is sitting in her old, shuttered house. She knows that she is alone in the whole world; every other thing is dead.
The doorbell rings."

Cerita ini ditulis oleh Thomas Bailey Aldrich.

Popular Posts