Penulisan Kreatif: Suatu Pengembaraan

Ada orang tulis setiap hari, ada yang tulis sebulan sekali, dan ada juga yang tulis setahun sekali. Perkara ini sering kita dengar. Ada orang tulis waktu lapang (cuti semester atau hujung minggu) dan ada orang tulis waktu dunianya sedang sesak. Perkara ini sering kita dengar. Ada penulis yang kita gelarnya penulis prolifik (tiap-tiap bulan terbit karya atau tiap-tiap tahun terbit novel) walaupun bukan semua karyanya itu bagus, dan ada penulis yang kita tak gelarnya prolifik (mungkin sebab seumur hidupnya hanya ada satu dua novel yang pernah terbit) tetapi masih dianggap sebagai penulis 'ultra'mapan. Perkara ini, pun, sering kita dengar. Tujuan saya memperkatakan perkara-perkara yang sudah memang lazim kita dengar adalah untuk memberitahu pembaca bahawa tidak ada formula khas dalam perjalanan ke puncak kejayaan. Ini kerana penulisan kreatif/seni sastera itu suatu pengembaraan yang berterusan. Mari kita melihat terlebih dahulu rutin penulisan Joseph Conrad, penulis novel Heart of Darkness:

"I sit down religiously every morning. I sit down for eight hours every day - and the sitting down is all. In the course of that working day of 8 hours I write 3 sentences which I erase before leaving the table in despair... Sometimes it takes all my resolution and power of self-control to refrain from butting my head against the wall."

Rutin Conrad adalah rutin yang dia selesa. Tetapi bagi penulis lain, ada yang sekali duduk mesti kena siapkan draf pertama secepat mungkin. Dalam penulisan cerpen, Sasterawan Negara S.Othman Kelantan mengatakan bahawa draf pertamanya selalunya adalah draf terakhirnya. Apa yang boleh dirumuskan di sini ialah penulisan kreatif itu suatu aktiviti yang bersifat peribadi. Tidak ada mana-mana sasterawan mahupun kritikus yang boleh memberitahu kita cara paling berkesan untuk menulis. Nasihat-nasihat mereka itu elok dijadikan sebagai bimbingan sahaja, bukan keputusan muktamad.

Bagaimanapun, ingin juga saya berkongsi dengan pembaca persepsi saya terhadap dunia penulisan kreatif. Bagi saya, kuantiti menghasilkan kualiti. Prinsip ini pasti sahaja bertentangan dengan pendapat sesetengah penulis yang percaya kualiti lebih penting daripada kuantiti. Pendapat golongan ini mungkin ada kebenarannya, tetapi saya melihat penulisan kreatif ini sebagai seni yang perlu sentiasa diasah. Seorang ahli sukan yang ingin berlari acara 100 meter, pasti akan berlatih selalu bagi membentuk otot-otot badan dan stamina yang akan menolaknya ke garisan kejayaan. Lagi banyak dia berlatih, semakin meningkat kualiti lariannya. Sama juga dalam penulisan, lagi banyak kita menulis, semakin bagus karya yang akan kita hasil. Perlu juga dijelaskan di sini bahawa kuantiti yang saya maksudkan bukan jumlah karya, tetapi jumlah penulisan. Maksudnya, seseorang penulis itu perlu menulis setiap hari, tidak kira sama ada apa yang ditulis itu akan siap atau tidak, apatah lagi menjadi sebuah karya agung.

Comments

Popular Posts