Dunia Sudah Sempurna Dalam "Siddhartha"

Hidup ini penuh dengan kesengsaraan. Begitulah persepsi ajaran Buddha terhadap realiti. Kemewahan, hiburan, dan cinta hanyalah suatu ilusi yang akhirnya akan membuat hidup bertambah sengsara. Jadi, jika hidup ini hanya suatu ilusi, perlukah kita mengasingkan diri daripadanya seperti yang dituntut oleh agama Buddha? Atau hidup memang sudah sempurna? Persoalan-persoalan ini akan ditemui dalam novel Siddhartha yang ditulis oleh pemenang Hadiah Nobel (1946), Herman Hesse.

Dalam novel ini, pembaca dibawa ke dalam suatu pengembaraan spiritual bersama seorang Brahmin bernama Siddhartha. Bermula dari zaman remajanya, Siddhartha telah keluar mencari ilmu dan kebenaran hidup bersama sahabatnya Govinda. Dalam perjalanan itu, Siddhartha telah mengalami pelbagai pengalaman hidup yang menuntut kesabarannya seperti bertapa bersama golongan Samana, dan juga pengalaman indah iaitu kehidupan hedonistiknya bersama Kamala. Keputusan Siddhartha untuk mengembara, dan memilih antara nafsu dan pertapaan menjadi konflik jiwanya yang sentiasa mencari kebenaran sehingga ke usia tua. Hesse telah membentuk plot yang ringkas bagi novel ini, tetapi di sebalik keringkasan itu, Hesse telah mengalirkan falsafahnya sealiran dengan plot seperti sungai yang ditemui oleh Siddhartha. Dan di sungai ini juga, Siddhartha telah menemui cahaya kebenaran yang dicari-carinya.

Menurut Siddhartha, dia melihat kehidupan ini seperti sebatang sungai. Masa silam dan masa depan tidak penting kerana sungai boleh sahaja mengalir di hulu atau muara. Yang lebih penting ialah masa sekarang, dan menikmati kehidupan yang sedia ada. Dan seperti sebatang sungai juga, kebaikkan dan kejahatan (atau kesengsaraan dan Buddha) itu mengalir bersama. Tidak ada garis pemisah di antara kedua-duanya. Misalnya, seorang perompak masih ada keinginan untuk jadi manusia sempurna seperti Buddha. Dan seorang yang bertapa masih ada keinginan pada dunia. Siddhartha melihat bahawa dunia ini sudah sempurna. Manusia tidak patut memandang rendah pada dunia, tetapi ia harus dicintai dengan sepenuh hati. Di sini, Hesse telah memberikan tafsiran yang salah terhadap kehidupan.

Sebagai manusia, kita dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah dan pada masa sama menjadi khalifah di muka bumi. Maka, dunia ini bukan garisan akhir, kerana segala isinya hanyalah ujian Allah terhadap manusia:

"Ketahuilah bahawa hanyasanya dunia itu adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megahan antara kamu semua dan berlumba banyak harta dan anak-anak." (Surah al-Hadid 20).

Memang betul apa yang disebut oleh Siddhartha bahawa "pencarian" hidup itu hanya membawa kepada apa yang kita ingin lihat. Namun, apa yang "ditemui" oleh Siddhartha atau Hesse itu sendiri, hanyalah perasaan cinta kepada dunia. Tidak dinafikan, manusia itu memang cenderung kepada kebaikkan dan juga keburukkan. Tetapi semua itu hanyalah ujian Allah. Kalau dunia ini sudah serba sempurna, maka tidak perlulah lagi kita sibuk memikirkan soal bahagia dan sengsara, atau dosa dan pahala, kerana semuanya sudah sempurna. Siddhartha sendiri mungkin lupa, di penghujung plot, bahawa kesengsaraan hidupnya bersama Kamala sebenarnya berpunca daripada ketidaksempurnaan dunia bagi memenuhi segala kehendak nafsunya.

Sebagai sebuah karya seni, Hesse telah menggabungkan bentuk dan isi novel ini dengan indah. Seperti Mahabbah, novel ini memberikan pembaca rangsangan emosi dan juga rohani. Namun bagi orang Islam, rangsangan itu pasti mengingatkan kita bahawa dunia ini tidak sempurna seperti yang dipercayai oleh Siddhartha.

Comments

Popular Posts