Novel Terbaik (No 7): A Shining



Apa yang kita dengar dalam diam? Dalam kesibukan hidup, barangkali kita tidak ada masa untuk mendengar, atau kalau kita cuba memasang telinga, kita tidak pasti suara siapakah sebenarnya yang melantun-lantun dalam fikiran kita. Ada novelis membawa mata kita melihat benda di sekeliling: Georges Perec, Flaubert, John Updike, sekadar menyebut beberapa nama. Dan ada novelis membawa kita melihat ke dalam. Nah, dalam diri itu sahaja ada pelbagai dimensi dan ruang yang boleh diterokai. Peta pemikiran Gerald Murnane, misalnya, sangat jauh beza dengan peta pemikiran Thomas Bernhard. Di celah-celah itu kita ada novelis yang pandai memancing dan menangkap suara dalam kesepian. Novelis seperti Jon Fosse yang baru sahaja memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan. 

A Shining bukanlah novel terbaik Jon Fosse menurut saya kerana ia ternyata jauh dari dunia desa dan kampung nelayan yang sering memacu naratif panjangnya. Seorang lelaki memandu kereta ke tengah hutan gelap pada waktu malam, dan tersangkut di sana. Kita dihidangkan monolog demi monolog tentang bagaimana dia ingin keluar daripada hutan itu. Saya tidak menganggap naratif Fosse sebagai aliran kesedaran kerana naratif sentiasa bergerak pada satu garis atau berpusing dalam bulatan sama. Tidak ada loncatan memori atau pertindahan pelbagai laras bahasa dan sudut pandang. Fokus Fosse adalah pada monolog atau perbualan suara hati wataknya dengan kesepian. 

Ayat yang panjang tanpa putus sememangnya akan melelahkan pembacaan kita. Waktu diperlahankan. Dunia seakan-akan tidak bergerak atau ke mana-mana. Yang kita dengar hanya hela nafas di antara kata. Dan suara yang mencari jalan keluar daripada penjara fikiran yang ia sendiri bina dan pertahankan.   

Comments

Popular Posts