Buku Terbaik 2023 (No 8): Too Much Life: Complete Chronicles



Saya percaya pada pembacaan yang organik. Saya membaca untuk mengetahui segalanya tentang sebuah buku; laluan orbit dan planet-planet yang mengelilinginya. Ini termasuk catatan dan jurnal seorang pengarang. Kalau boleh saya ingin mengumpul semua jurnal yang pernah ditulis dan membuat perbandingan. Antara jurnal menarik dalam koleksi ialah Andre Gide dan Susan Sontag. 

Buku Clarice Lispector Too Much of Life: Complete Chronicles boleh dibaca sebagai himpunan catatan, namun ia sebenarnya ditulis dalam kolum mingguan Jornal do Brasil di antara 1967 dan 1977. Pada zaman itu, sukar untuk pengarang Brazil bergantung kepada jualan buku semata-mata; kecuali nama anda ialah Erico Verissimo atau Jorge Amado. Maka, di samping menulis fiksyen, Clarice Lispector turut menyumbang kepada kolum akhbar. 

Sesuai dengan judulnya, buku ini melimpah-limpah dengan warna dan emosi kehidupan. Saya akui, fiksyen Lispector kurang memikat saya; namun renungan-renungan harian beliau begitu memikat dan harum untuk dihidu. Kalau anda seorang peminat, anda akan bertambah jatuh cinta dengan Lispector; kalau anda hanya pembaca biasa, anda akan mabuk dengan rasa cinta Lispector kepada kehidupan. 

Saya berikan beberapa contoh untuk anda hidu sendiri. 

PENYERTAAN

Langkah semakin kuat. Ia semakin dekat. Sekarang ia bunyi menghampiri. Malah begitu hampir. Menghampiri saya sehingga saya boleh rasa. Dan ia terus mendekati. Ia tidak lagi dekat, ia sudah berada dalam diri saya. Adakah ia akan menguasai saya dan terus bergerak? Itu harapan dan penebusan saya. Sesungguhnya saya tidak pasti lagi apakah deria saya gunakan untuk mengukur jarak. Adapun langkah itu dekat dan tidak berat, adapun ia sepenuhnya berada dalam diri saya; saya berarak bersamanya, saya menyertainya.  

NIKMAT SEBUAH KEHIDUPAN NORMAL

Saya jenis yang susah nak tidur, tapi saya boleh tidur dari lapan malam hingga enam pagi. Sepuluh jam: hati saya membunga seperti seorang budak. Saya bangun dengan semua sel dalam badan saya bertenaga. Inilah ya kehidupan normal? Kalau begitu, bagusnya! 

Dan saya tidak pernah cerewet soal makan, tapi kebelakangan ini, sebab nak kuruskan badan, saya mula memerhatikan pemakanan. Jadi kehidupan saya sedikit janggal di situ, sebab apa saya makan. Saya jadi gelisah melihat orang lain makan seolah mereka hak saya. Maka didorang rasa marah dan lapar, saya kembali menikmati apa-apa saya inginkan. Dan bahagianya makan benda kita suka sehingga rasa bersalah pula. Tapi bangga tetap bangga, kerana memenuhi tuntutan badan. Maafkan saya buat mereka yang kekurangan makanan ketika membaca ini. 

Satu lagi kenikmatan ialah apabila saya menulis dalam mood yang terangsang. Kepuasan melihat kata-kata mengalir laju di atas kertas bersama buah fikiran dan emosi: oh betapa indahnya menjadi seseorang! 

Dan kita tidak boleh lupa perasaan teruja apabila menerima panggilan daripada sahabat, di mana suara dan jiwa saling berpaut beriringan. Selepas kita meletakkan telefon, kita rasa seronok mengetahui orang lain juga wujud dan kita boleh menemui diri bersama mereka. Saya sering menemui diri saya dalam orang lain. Segalanya yang berlalu adalah normal. Yang membingunkan adalah liku dan duri yang perlu dihadapi untuk mendapat sesuatu benda yang sangat normal. 

    

Comments

Popular Posts