Buku Kritikan Sastera Terbaik 2021 (Bahagian Pertama)
Saya baru sedar, di sebalik nama blog ini, saya jarang sebenarnya berkongsi tentang teori dan kritikan sastera. Padahal saya memulakan blog ini pada 2008 kerana ingin meneroka dan berkongsi pembacaan saya mengenai kritikan di universiti. Dari 2008 hingga 2020, saya harus akui, tidak ada perbezaan besar dalam lapangan kritikan di Malaysia. Kita semua tahu sebabnya, dan saya pun malas nak menyumpah lagi kuda yang sudah mereput di dalam tanah. Lebih baik kita melihat ke depan. Atau lebih tepat: memandang ke barat dan mengikuti perkembangan kritikan sastera di sana. Saya bukanlah nak bagi rumusan atau mengupas teori-teori terkini (itu memerlukan sesi khusus), tapi lebih kepada menyenaraikan buku-buku kajian sastera terbaik saya telah baca dari Januari hingga Mei 2021. Perlu diingatkan bahawa saya bukan sarjana, mahupun pengkritik profesional (*batuk). Senarai ini merupakan pilihan peribadi berdasarkan minat peribadi, sama ada dari segi subjek kajian, atau pengetahuan baharu saya terima daripada sesuatu kajian atau subjek. Dan bukan semua buku dalam senarai ini terbit pada 2021; ia hanya buku terbaik saya telah baca setakat bulan Mei. Sambungannya pada hujung tahun. Ayuh!
1. Stepping off the Edge oleh Anne McConnell (2021)
Semua karya sastera pasti ada penghujung. Kemudian apa berlaku? Pengarang hilang. Meninggalkan ruang kosong. Atau dalam konteks buku kajian yang menarik ini — meninggalkan tebing untuk pembaca lompat. Seperti buku kajian Anne sebelum ini, Approaching Disappearance, beliau melihat fiksyen melalui pemikiran Maurice Blanchot, Frank Kermode, dan Jacques Derrida. Bahasa McConnell sangat mudah, anda tidak perlu tahu falsafah kebenuaan Eropah untuk membaca buku ini. Beliau membangkitkan beberapa persoalan menarik: Sejauh manakah kesudahan memberikan penutup kepada sebuah teks? adakah pembacaan berakhir apabila sebuah teks sudah tamat? bagaimanakah kesudahan sebuah teks mempengaruhi pembacaan dari mula hingga akhir? McConnell kemudian mengembangkan ideanya dengan meneliti bagaimana penulis seperti Cesar Aira, Paul Auster, Anne Carson, Maggie Nelson, dan Lydia Davis mencipta kesudahan dalam teks mereka.
2. The Maximalist Novel oleh Stefano Ercolino (2014)
Ada sebab kenapa kebanyakan novel klasik dunia bersaiz tebal, dan buku in menerangkannya. Tetapi Ercolino bukan sahaja ingin meneliti ketebalan, tetapi juga ciri-ciri yang melayakkan sebuah karya itu dianggap sebagai novel mega atau maksimalis. Sepanjang membaca buku ini, saya asyik fikir, adakah novel-novel klasik Malaysia boleh dianggap sebagai maksimalis, atau mereka hanya sekadar tebal dengan halaman dan panjang dengan cerita? Keinginan untuk merangkum seluruh isi dunia ke dalam sebuah novel ialah dorongan utama novelis kepada novel tebal. Semakin kompleks dunia, maka semakin banyak ruang mereka perlukan untuk mencipta sebuah teks yang rumit dan mirip ensiklopedia. Bacaan wajib bagi mana-mana penulis yang serius ingin menjadi novelis dalam abad ini.
3. The Columbia Anthology of Japanese Essays oleh Steven Carter (2014)
Saya pernah tulis sebelum ini tentang sejarah penulisan esei di Jepun (klik di sini), dan inilah buku anda patut baca kalau anda ingin tahu lebih lanjut. Kajian kesarjanaan tidak semestinya menuju ke arah kritikan sebagai matlamat akhir. Kerap kalinya kita hanya inginkan pencerahan, penambahan ilmu, perbandingan, dan analisis mendalam mengenai sesuatu tradisi penulisan. Dan dalam hal ini, esei Jepun ialah sejarah yang sangat panjang, dan mempunyai identiti tersendiri berbanding tradisi penulisan esei di barat. Kalau anda tidak berminat sekali pun dengan sejarahnya, esei-esei santai dalam buku ini tetap akan memberikan anda banyak pengajaran dan renungan emas tentang kehidupan dan etika sosial.
4. Ways of Re-Thinking Literature disusun oleh Tom Bishop dan Donatien Grau (2018)
Ini ialah jenis antologi yang patut ada di Malaysia setiap sepuluh tahun. Dan kita lebih memerlukannya sekarang. Antologi ini mengumpulkan penulis dan sarjana dari serata dunia untuk membincangkan situasi sastera dunia sekarang dan apa yang perlu berubah (atau telah berubah) dan difikirkan semula. Tom Bishop dan Donatien Grau membahagikan buku mereka kepada empat bahagian utama: Naratif Kesusasteraan; Sastera dan Novel; Sastera dan Puitika; Subjektiviti Baharu. Antara esei menarik dalam buku ini ialah pemerhatian Adam Thirwell terhadap perkembangan novel mutakhir; kupasan Tristan Garcia mengenai hubungan novel dengan agama dan sekularisme; kehilangan seni garda depan menurut Tom Bishop.
5. Dying for Time: Proust, Woolf, Nabokov oleh Martin Hagglund
Jika hidup ini hanya sementara, dan kematian ialah sesuatu yang pasti, maka bagaimanakah kita menikmati hidup sebagai manusia? Ini ialah falsafah utama dalam buku Martin Hagglund, seorang ahli falsafah Sweden. Hubungan manusia dengan waktu, hubungan manusia dengan kematian, hubungan manusia dengan kebahagiaan yang sementara. Seperti Anne McConnell, Hagglund ialah seorang sarjana Derrida, dan beliau turut mencairkan pemikiran Derrida ke dalam konsep lebih pragmatik dan mudah dijamah oleh pembaca biasa. Hagglund kemudian mengembangkan konsep yang beliau sebut sebagai chronophobia ke dalam karya Nabokov, Proust, dan Woolf. Saya masih ulang baca buku ini kerana idea bahawa penulis mengarang untuk menangguhkan keberadaan semasa ialah sesuatu yang segar dan melegakan hati saya.
Comments