Budak Kampus Mencuba Kanabis


Orang yang bosan hidup di Kuala Lumpur ialah orang yang penat bekerja dan tidak ada duit cukup setiap bulan. Kalau tidak percaya, bacalah cerpen-cerpen Mohd Azmen. Watak-wataknya ialah manusia yang lelah hidup di kota. Saya kongsi di bawah petikan cerpen "laundry pinggir malam" daripada buku kumucer beliau Kota Para Insomnia terbitan Laras 99. Pengkritik Daniel Green menyebut karya-karya Bukowski, Hemingway, Kerouac, dan lebih terbaru, Sam Pink, sebagai realisme radikal — mereka cenderung untuk mengorbankan "cerita" dan membiarkan realiti hidup menguasai naratif. Bayang-bayang radikal itu kita temui dalam karya Mohd Azmen, dan kita menanti sekiranya ia akan terus menyala dengan lebih liar dan angkuh.

* * *

LAUNDRY PINGGIR MALAM
Oleh Mohd Azmen

Semasa di kampus, semua kawan aku kaki kanabis. Mungkin taklah semua, tapi kebanyakan kawan yang duduk di bilik berdekatan, semuanya menghisap kanabis. Walaupun aku masih lagi memegang prinsip untuk mencuba apa-apa sekurang-kurangnya sekali tapi aku tak berani melakukannya di dalam kampus. Walaupun mereka tak pernah tertangkap tapi aku tak mahu ambil risiko. Dan aku kekal bebas dari bahan narkotik, sehinggalah aku perlu berpindah keluar dari kampus dan menyewa rumah.

Jadi, waktu aku sudah duduk menyewa di luar kampus, aku mencuba kanabis. Itupun aku mengambilnya bukan dengan cara lazim. Ia berlaku dengan tidak dirancang bila aku singgah di rumah sewa mereka. Mereka sedang membancuh adunan kek waktu aku tiba di rumah itu, dan sambil itu mereka mencampurkan beberapa paket daun-daun kering ke dalamnya. Kemudian mereka menuangnya ke dalam bekas-bekas kecil dan membakarnya menjadi kek cawan. Kek cawan kanabis. Mereka mempelawa aku untuk mencuba satu. Oleh kerana ia kelihatan selamat, jadi aku mencubanya. Tak pasti berapa banyak yang aku makan tapi pada waktu aku mahu pulang ke rumah sewa, kesannya sedang memuncak. Aku tahu, jika aku tak pulang waktu itu juga, aku akan terus berada di rumah itu sehingga pagi esok, menghabiskan sepanjang malam dengan tertawa memandang skrin televisyen yang telah tamat siaran. 

Aku bersama lagi seorang kawan serumah (yang sememangnya kaki kanabis) menunggang motor balik ke rumah sewa. Aku tak pasti entah macam mana cara aku menunggang motor itu tapi oleh kerana sudah larut malam, jadi aku tak peduli sangat. Tapi kami masih perlu singgah ke stesen minyak kerana tangki minyak motor yang hampir kosong. Biasalah, menjadi seorang penuntut, duit adalah terhad. Aku hanya akan isi minyak bila tangki hampir-hampir kering. Jadi, kami singgah ke stesen minyak. Aku ke kaunter untuk membuat bayaran sementara kawan aku mengisi minyak motor.

Tiada apa yang pelik berlaku waktu di stesen minyak itu selain penjaga kaunter memandang dengan curiga pada kedua-dua mata aku yang merah menyala. Tapi selepas jauh meninggalkan stesen minyak, motor mati secara tiba-tiba. Aku cuba menghidupkan semula motor tapi tak berjaya. Aku tercium bau petrol yang kuat. Aku mula syak berlaku kebocoran pada tangki minyak, ia menunjukkan yang minyak sudah habis. Ini agak pelik kerana tak jauh kami meninggalkan stesen minyak tapi minyak sudah habis. Jadi, aku buka tempat duduk dan cuba memeriksa tangki minyak. 

"Kau isi minyak tak tadi?" tanya aku.

"Isi la gila," jawabnya sambil tertawa. Aku juga ikut tertawa walaupun aku tak tau apa yang kelakarnya. Selepas selesai tertawa, aku memeriksa tangki minyak. Mungkin tolok minyak rosak. Tapi aku dapati tangki minyak kosong. Tapi bau petrol sangat kuat. Akhirnya bila aku perhatikan betul-betul, rupanya kawan aku telah menuang minyak ke dalam ruang simpanan barang di bawah tempat duduk motor, bukan ke dalam tangki minyak. Aku tak ingat bagaimana kami lakukan, tapi kami masukkan semula minyak yang bertakung di ruang simpan barang itu ke dalam tangki. Rasanya kami menceduk minyak di dalam ruang itu ke dalam tangki dengan sesuatu. Sambil tertawa. Atau mungkin kami hanya biarkan motor di tepi jalan sementara menghabiskan sepanjang malam dengan duduk di atas rumput jalan sambil tertawa.

Comments

Popular Posts