Mencari Sebuah Istana Buku

 

Ada penulis meninggalkan nama, ada penulis meninggalkan senarai buku yang mereka baca. Pengkritik Perancis Roger Grenier berada dalam kelompok kedua. Setiap kali saya membaca bukunya Palace of Books, saya rasa seperti sedang masuk ke dalam sebuah toko buku bekas; buku menimbun kiri dan kanan; lantai dan tangganya berderik; seekor kucing hitam di celah buku Camus dan Sartre; suara Grenier mengekori saya seperti hantu dari rak ke rak. 

Palace of Books mengadungi esei antaranya berjudul Negeri Penyair, Menunggu dan Keabadian, Kehidupan Peribadi, dan Ingin Dicintai. Setiap satunya boleh dibaca sebagai katalog dan peta ke dalam dunia sastera. Grenier memainkan peranan sebagai kurator, pengacara, pencerita, penyair, dan arkitek memori. Seorang pengkritik sastera sejati ialah pengkritik yang boleh berfikir melalui sastera. Beliau tidak memerlukan teori atau gagasan besar untuk memandu pemikirannya. Pendek kata, sastera yang membaca pengkritik, dan bukan pengkritik yang membaca sastera.   

Ada banyak persoalan mengenai sastera dan penulisan yang dibangkitkan dalam buku ini. Antaranya ialah kenapa seseorang itu menulis? Kita ambil beberapa contoh pendapat penulis
yang dikumpulkan oleh Grenier. 

Beckett: "Benda apa lagi nak buat?"

Orhan Pamuk: "Saya menulis kerana saya ada dorongan dalaman untuk menulis! Saya menulis kerana saya tidak boleh membuat kerja biasa seperti orang lain. Saya menulis kerana saya ingin membaca buku seperti yang saya tulis. Saya menulis kerana saya marah pada anda, pada semua orang. menulis kerana saya suka duduk di dalam bilik sepanjang hari menulis." 

Roland Barthes: "Kita menulis untuk dicintai." 

Lorand Gaspar: "Bagi sesetengah orang, mereka menulis dahulu untuk diri sendiri kerana ia membolehkan mereka untuk bernafas dengan lebih mudah." 

Saya paling suka catatan Chekhov yang beliau kutip untuk membincangkan isu kehidupan peribadi seorang penulis: "Bagusnya menghormati orang lain! Apabila saya membaca buku, saya tidak peduli jika pengarangnya ada ramai kekasih atau pandai bermain poker, saya hanya nampak kehebatan karyanya."

Di sebalik himpunan kata-kata mutiara ini, jangan sangka Grenier tidak mempunyai pendapatnya sendiri. Dia hadir apabila perlu, terutama sekali apabila beliau ingin menunjukkan rasa cintanya pada sastera:

"Kita membina hubungan intim dengan pengarang kita suka dari masa lalu. Kita tidak akan menemui mereka tapi kita akan mengenang, walaupun bertahun-tahun, dan berabad-abad jarak yang memisahkan kita daripada mereka. Mereka lebih dekat dengan kita berbanding ahli keluarga, atau orang yang kita percaya kita cintai. Mereka menjadi pengubat hati kita."   

Saya yakin Grenier telah menulis banyak esei sastera dalam bahasa Perancis; tetapi sayangnya hanya buku ini yang ada dalam bahasa Inggeris. Itupun sembilan buah esei sahaja. Ada kemungkinan buku Grenier akan tenggelam dan dilupakan bersama ribuan buah buku pada zaman ini. Tetapi ia akan sentiasa ada tempat istimewa dalam perpustakaan peribadi saya. Pejam mata. Ya, saya sudah masuk ke dalam istana beliau.       

Comments

Popular Posts