Esei Klasik Jepun: Katil untuk Buku



Jepun mempunyai sejarah penulisan esei yang sangat panjang. Apa kita faham sebagai esei dikenali sebagai zuihitsu di Jepun. Sekali pandang, ia memang mirip sebuah esei, tapi semangat dan nada zuihitsu lebih santai, bersahaja, dan longgar strukturnya. Zuihitsu dipercayai bermula pada abad ke-10 dengan buku The Pillow Book karangan seorang dayang istana bernama Sei Shonagon. Ia kemudian diteruskan oleh seorang sami bernama Kenko melalui bukunya berjudul Catatan Iseng. Terjemahan paling mudah untuk zuihitsu ialah "mengikut kehendak berus." Apa-apa yang terlintas di fikiran, tulis sahaja. Maka saya ingin berhenti di sini, dan biar anda menikmati sendiri tradisi penulisan esei Jepun melalui sebuah karya dari zaman Meiji. 

* * *   

KATIL UNTUK BUKU
Oleh Osaragi Jiro (1897-1973)

Malam dan siang saya menghabiskan waktu di atas sebuah katil besar. Ia sangat besar dan tidak berlebihan kalau saya kata ia katil paling besar di Jepun. Saya berani bertaruh katil ini lebih besar daripada katil Napoleon. 

Di sekeliling katil saya, di kepala dan kaki dan dekat kedua-dua belah, terdapat rak buku yang memberikan ruang secukupnya untuk memuaskan tabiat pembacaan saya. Rak-rak ini penuh dengan buku dan saya hanya perlu melunjurkan tangan dan ia akan menyentuh sesuatu yang saya suka. Bukan itu saja, disebabkan cadar saya penuh dengan buku saya ingin baca, maka katil besar yang saya banggakan ini tetap sempit untuk saya rebah. Kalau anda susun buku, anda akan hilang kenikmatan menyelongkar buku yang anda ingin baca. Maka saya hidup dalam timbunan buku dan saya tidak cuba langsung untuk menyusunnya, setahun atau dua tahun sekali pun tidak pernah. Lama-kelamaan saya sendiri keliru katil ini ada untuk saya atau buku-buku saya. 

Hidup saya agak sibuk, banyak beban kerja, tetapi waktu paling bahagia ialah ketika saya rebah di atas katil. Saya melihat sekeliling, merancang apa nak buat seterusnya. Ada buku saya baca dan baca berulang-ulang kali, tetapi saya juga membaca buku yang baru diterbitkan. Buku saya benci atau rendah kualitinya, sudah tentu, tidak akan mendapat penghormatan untuk berada di atas katil saya. Kebanyakan buku di atas katil ini adalah hadiah daripada kawan-kawan. Apabila saya memegang buku, saya membayangkan wajah pengarangnya atau cara dia bercakap, dan — agak biadap membuatnya sambil rebah — memberi ucapan salam dalam fikiran saya. Seperti mana saya tidak bersopan dengan Goethe dan Plato, saya rasa pengarang-pengarang ini perlu memaafkan saya.

Di luar tingkap berhampiran katil saya terdapat sebatang pokok zaitun yang saya sangat sayang. Saya percaya pengalaman membaca pada musim luruh yang cerah ketika bunganya sedang mekar, boleh membuat sesiapa saja cemburu. Apabila musim luruh datang, saya akan teringat apa saya baca setahun lalu ketika waktu sama, dikelilingi harum bunga pada sayap angin. Entah kenapa, saya jarang perasan perubahan musim, tetapi kegembiraan waktu musim luruh susah untuk dipadam, walaupun di saat peperangan meletus. Makanan mungkin gawat, tetapi harum zaitun itu tetap ada, dan buku-buku saya — saya punyalah meluat apabila dipaksa pindah — ada di mana saya boleh mencapainya. Di musim perang saya banyak membaca sastera mancanegara, dan sudah tentu, menyelak kembali buku yang saya pernah baca.

Saya sensitif sebenarnya dengan udara sejuk, maka apabila musim dingin tiba, cadar saya akan jadi dunia saya, tempat saya rasa paling selesa. Disebabkan tangan saya jadi sejuk memegang buku, saya letak pemanas tilam atau pemanas tangan, berdekatan. Atau kadang-kadang saya pakai sarung tangan. Katil saya tidak perlu dikemaskan, ia memang sudah sedia ada berantakan. 

Ketika membuat penyelidikan atau menulis, saya akan bangun dan duduk dengan sopan di depan meja. Menurut keluarga saya, wajah saya ketika bekerja sangat suram dan menakutkan. Mungkin sebab itu garis-garis menegak di antara dua kening saya tidak pernah hilang. Tetapi seorang anak kecil pun akan merajuk apabila dipaksa bangun daripada katil, maka tidak pelik kalau saya lebih suka rebah di atas katil, membaca apa-apa saja, berbanding duduk menulis atau membuat penyelidikan. Sudah banyak tahun, saya teringin nak menghabiskan lebih banyak waktu membaca buku berbanding menulis. Salah saya juga, tetapi ini keinginan saya yang belum dilunaskan. Sesekali saya akan kemaskan buku, tetapi timbunan buku di atas katil semakin menggunung, mengumpul debu berbanding bunga salju. 

Comments

Popular Posts