Apa Itu Kontemporari?
Seangkatan, segenerasi... kontemporari. Tidak ada makna apa pun semua label ini kalau anda penulis. Tetapi sukar untuk mengelaknya apabila orang ingin membincangkan karya atau kehadiran sekumpulan penulis pada sesuatu zaman. Angkatan sudah tidak digunakan kerana tidak ada lagi angkatan dalam sastera Malaysia (mahupun Indonesia). Generasi juga ada masalah tersendiri kerana setiap kali ia digunakan, ia secara automatik akan mewujudkan jurang dalam atau lautan api atau tembok duri di antara dua kelompok penulis — tua dan muda. Bagaimana pula dengan kontemporari? Dalam konteks sastera abad ke-21, siapakah penulis-penulis yang boleh dikatakan kontemporari? Adakah ia soal usia semata-mata? Atau kontemporari lebih merujuk kepada isu atau semangat sesuatu zaman?
Saya ingin kongsi dahulu pengalaman terawal saya dengan isu ini. Saya menyertai bengkel penulisan Zaharah Nawawi pada 2006. Salah satu syarat penyertaan ialah peserta mesti menyerahkan satu naskhah cerpen untuk dinilai oleh Bonda Zaharah. Cerpen saya serahkan ialah "Warna-warna Di Lorong." Ini ialah cerpen pertama saya tulis, dan ia tidak lebih daripada percubaan untuk meniru cerpen gaya Zaen Kasturi dan Marsli N. O. Ketika sesi pembedahan karya, Bonda Zaharah memberikan komen bahawa cerpen saya ialah sebuah cerpen kontemporari. Maksudnya ia tidak mengikut corak penulisan konvensional. Sebagai budak baru, saya terima sahaja komen beliau tanpa memahami sepenuhnya perbezaan di antara konvensional dan kontemporari. Sekarang apabila saya melihat kembali cerpen itu, saya tidak rasa ia kontemporari, malah ia ketinggalan dua puluh tahun ke belakang.
Kalau kita melihat kontemporari dari segi teknik penulisan, maka apa yang kita sedang cari sebenarnya ialah unsur baharu dalam sesebuah karya. Misalnya, bentuk metafiksyen dalam karya Roslan Jomel dan Azrin Fauzi dilihat sebagai sesuatu yang baharu bagi sesetengah pembaca. Maka, secara tidak langsung, mereka mungkin akan dilabel sebagai penulis kontemporari. Namun betulkah bentuk atau teknik penulisan kontemporari mesti sesuatu yang baharu? Metafiksyen bukan baru lahir pada abad ke-21. Don Quixote, antara novel terawal di dunia, sudah menggunakan metafiksyen dalam bahagian keduanya. Laurence Sterne menggunakan metafiksyen pada abad ke-18, kemudian Machado De Assis menggunakan metafiksyen pada abad ke-19. Kita ambil satu lagi contoh bentuk penulisan yang dilihat sebagai kontemporari pada abad ini iaitu autofiksyen, atau menurut J. M. Coetzee, autrebiography. Ini adalah karya yang membaurkan riwayat hidup sebenar dengan fiksyen. Coetzee sendiri pernah menulis sebuah trilogi berdasarkan riwayat hidupnya. Penulisan ini ternyata belum bertapak dan berkembang di Malaysia dan Indonesia. Namun kalau kita meneliti Hikayat Abdullah, sudah ada bayang-bayang sebuah autofiksyen. Tidak semua peristiwa yang dirakam dan diceritakan oleh Munshi Abdullah itu benar-benar berlaku. Malah kerap kalinya Abdullah melebih-lebihkan sesuatu perisitwa bagi kesan dramatik.
Sekarang kita beralih kepada usia. Adakah kontemporari mesti muda? Konsep muda (belia atau remaja) itu sendiri akan mengundang masalah. Sekitar awal 2000, penulis muda seperti Lutfi Ishak, Saifullizan Yahaya, Nisah Haron, dan Faisal Tehrani dilihat sebagai kontemporari dan mewakili generasi mereka. Semua nama ini masih aktif dua puluh tahun kemudian, namun adakah mereka boleh dianggap kontemporari bersama Johan Radzi, Syafiq Ghazali, Karim Mohd, dan Qurratul 'Ain? Cerpen Johan, misalnya, terasa lebih dekat dengan cerpen realisme A. Samad Ismail berbanding cerpen Lutfi atau Faisal. Pemerhatian sama juga kita akan temui dalam karya-karya Malaysia yang lebih klasik. Novel Hamzah Hussain Rumah Kosong kelihatan lebih moden — lebih kontemporari — dari segi minimalis watak dan permainan psikologi. Sementara novel sejarah seperti The Garden of Evening Mists karangan Tan Twan Eng, kelihatan seolah-olah ia ditulis pada zaman awal kemerdekaan.
Satu lagi cara kita boleh pandang kontemporari ialah melalui isu. Ini bukan sahaja melibatkan isu tempatan, tetapi juga isu global. Bagi sesetengah sarjana sastera di barat, mereka mengukur kontemporari berdasarkan apa yang berlaku sebelum dan selepas peristiwa 9/11. Walaupun kita di Malaysia turut menjadi saksi kepada tragedi tersebut, namun riak gelombangnya terlalu jauh untuk sampai ke dalam sastera kita. Saya lebih suka untuk menggunakan tahun 2011 sebagai kayu ukur kerana ini adalah tahun kemunculan Fixi. Sastera alternatif bukanlah bermula dengan Fixi, namun ia hanya menjadi fenomena selepas 2011. Kalau fasa 2000-2010 menyaksikan karya Islamik mendominasi wajah penerbitan sastera dan komersil, maka fasa 2011- sehingga kini menyaksikan kebangkitan karya urban dan digital. Apabila kita sebut digital, kita bukan sahaja merujuk kepada medium percetakan, tetapi juga budaya sosial. Identiti manusia menjadi bertambah kompleks dan canggih. Namun sejaun manakah penulis kontemporari kita mendepani isu-isu penting yang sedang berlau sekarang? Isu perubahan iklim, isu wabak, isu budaya woke, isu hak dan suara golongan penduduk asal, dan sebagainya.
Beberapa minggu lepas panas sekejap isu mengenai seorang aktivis sastera alternatif membuat komen lucah di media sosial. Kita boleh lihat yang menentang komen lucah itu sebahagian besarnya datang daripada generasi selepas 2011, sementara segolongan kecil yang menganggapnya sebagai gurauan datang dari generasi lebih awal. Gurauan lucah pun bukanlah benda baharu dalam budaya kita. Namun kenapa sepuluh tahun lalu kita boleh bertolak-ansur, dan sekarang kita kecamnya secara habis-habisan? Barangkali kompas moral masyarakat kita sudah berubah, dan apa yang dahulu dilihat sebagai gurauan meja kopi, kini dilihat sebagai pencabulan hak dan ruang peribadi. Atau kalau kita ingin merumuskannya dalam kulit kacang — gurauan lucah sudah tidak kontemporari dan ketinggalan zaman.
Comments