Tentang Inspirasi


1989: Pulau San Juan

ANNIE DILLARD MENERBITKAN PENERANGAN PEKERJAAN

Seorang penulis mengkaji sastera, bukan dunia. Dia hidup di dalam dunia; dia tidak akan terlepas daripadanya. Jika dia pernah membeli hamburger, atau menaiki pesawat komersil, dia tidak akan membuang waktu pembaca dengan menceritakannya. Dia berhati-hati dengan apa dia baca, kerana dia akan tulis apa dia baca. Dia berhati-hati dengan apa dia belajar, kerana itulah ilmu yang dia akan kuasai. 

Seorang penulis adalah pakar bidangnya - apa yang pernah dibuat, apa yang patut dibuat, batasnya - seperti mana seorang pemain tenis mengetahui selok-belok sebuah gelanggang. Dan seperti seorang pakar, dia juga, bermain di perbatasan. Di situlah terkandung keseronokan hakiki. Dia pukul merentas gelanggang. Dia menolak penulisannya ke sempadan paling jauh. Sampai sini, pembaca terpaksa berundur setapak. Rasionaliti terhenti, puisi terpatah; kegilaan masuk atau menegang. Kini, dengan berani dan berhati-hati, bolehkah dia memperkayakannya lagi, bolehkah dia menolak sempadan ke depan?

Jasad kesusasteraan, dengan segala batas dan sempadannya, wujud di luar diri sesetengah orang dan wujud dalam diri sesetengah yang lain. Hanya apabila seorang penulis membenarkan sastera membentuknya, maka baru dia mungkin boleh membentuk sastera. Dalam masyarakat kelas pekerja di Perancis, apabila seorang pelatih letih atau terluka, pekerja berpengalaman akan kata, "Pekerjaan ini sedang meresap ke dalam tubuhnya." Seni harus masuk ke dalam tubuh juga. Seorang pelukis tidak boleh menggunakan warna seolah menggunakan gam atau skru untuk mengikat keberadaan dunia ini. Tube warna adalah seperti jari-jarinya; ia akan hanya bekerja, jika dalam diri pelukis itu sudah terbuka laluan saraf yang luas dan jelas ke otak. Sel demi sel, molekul demi molekul, atom demi atom, sebahagian daripada otak berubah fizikalnya untuk menyesuaikan diri dengan gubahan warna. 

"Anda menysuaikan diri", kata Paul Klee mengenai kandungan kotak warna. Menyesuaikan diri dengan kandungan kotak warna, katanya, lebih penting daripada alam dan kajian mengenainya. Seorang pelukis, dalam kata lain, tidak menyesuaikan warna kepada dunia. Malah dia tidak akan menyesuaikan dunia dengan dirinya. Dia menyesuaikan diri denga warna. Diri ialah hamba kepada kotak warna dan mewarisi segala kandungannya. Perkara ini, menurut Klee, "adalah sememangnya penemuan yang luar biasa."

Seorang penulis yang agak dikenali ditegur oleh seorang pelajar universiti, "Rasanya saya boleh tak jadi penulis?"

"Oh," kata penulis itu, "Saya pun tak pasti... Saudara suka kalimat?"

Penulis itu dapat melihat kebingungan pelajar tersebut. Kalimat? Adakah aku suka kalimat? Umur aku dua puluh tahun dan aku suka kalimat? Kalau dia memang suka kalimat, dia boleh jawab seperti seorang pelukis yang ditanya kenapa dia nak melukis, "Saya suka bau cat."

Hemingway belajar menulis novel daripada modelnya iaitu Knut Hamsun dan Ivan Turgenev. Isaac Bashevis Singer, secara kebetulan, juga memilih Hamsun dan Turgenev sebagai model. Ralph Elison mengkaji Hemingway dan Gertrude Stein. Thoreau mengagumi Homer; Eudora Weltey mengagumi Chekhov. Faulkner terhutang budi dengan James Joyce dan Sherwood Anderson; E. M. Forster terhutang budi dengan Jane Austen dan Marcel Proust. Sebaliknya, kalau anda tanya seorang penyair berumur dua puluh satu tahun, puisi siapakah dia suka, dia mungkin tanpa malu mengaku, "Tak ada sesiapa." Pada usianya, dia belum mengerti bahawa penyair mencintai puisi dan novelis mencintai novel; dia sendiri hanya mencintai figuranya sebagai penyair, dirinya memakai jubah penyair. Rembrandt and Shakespeare, Tolstoy dan Gauguin, saya percaya, mempunyai jiwa kental, bukan dorongan yang kuat. Mereka mencintai ruang yang ditawarkan oleh medium pilihan mereka. Kemungkinan yang ditwarkan membuat mereka teruja; kecanggihan bidang itu membangkitkan imaginasi mereka. Mereka belajar mengenai lapangan mereka dan jatuh cinta dengannya. Mereka bekerja, atas dasar cinta dan hormat pada ilmu, lalu mereka menghasilkan karya yang bertahan merentas zaman. Selepas itu, dan hanya selepas itu, mereka mengenakan jubah-jubah penghargaan daripada dunia, dan jika mereka masih hidup, mereka cuba mengendahkannya dan tekun membuat kerja.

Lebih baik menulis satu buku mahakarya - novel atau naratif bukan-fiksyen - daripada menulis banyak cerpen dan esei. Melalui suatu projek mega yang panjang, anda dapat mencurahkan segala ilmu dan tenaga dan belajar daripadanya. Projek yang memakan masa lima tahun akan mengumpulkan pelbagai penciptaan dan hasil yang mewah. Tahun-tahun yang dihabiskan membaca akan membantu karya itu. Lagipun, membina kalimat memang sukar, tidak kisahlah apa subjeknya. Tidak kurang susahnya membina kalimat dalam resipi makan dengan membina ayat dalam Moby Dick. Oleh itu lebih baik anda menulis Moby Dick.  

Comments

Popular Posts