Robert Walser: Di Atas Teres
Lebih kurang waktu begini, kalau ingatan saya tidak salah. Saya berdiri di atas teres batu, dan sambil menyandar pada palang, saya merenung dunia sepi di bawah sana. Tidak lama kemudian hujan renyai. Tasik bertukar warna, langit tersergam indah dengan remang-remang cahaya. Saya berteduh di bawah bumbung sebuah rumah musim panas. Hijau alam mula menitiskan air mata. Di jalanan beberapa orang sedang berlari ke dalam pelukan pohon chestnut yang rimbun seolah mencari perlindungan payung lebar. Aneh; rasanya saya tidak pernah melihat kejadian seperti itu. Tidak ada rintik hujan yang menerobos daun-daun lebat. Separuh daripada tasik berwarna biru; separuh lagi berwarna kelabu gelap. Terasa nyaman dan enak sekali angin yang menderu kencang. Segala-galanya lembut dan halus. Kalau ikut hati saya boleh sahaja berdiri selama berjam-jam menelan nikmat dunia ini. Tetapi akhirnya saya beransur-ansur pergi.
(1915)
Comments