Novel Ketujuh: My Struggle (Some Rain Must Fall)




Kali pertama saya mengetahui nama Sainte-Beuve adalah melalui buku kritikan Henry James The Art of Criticism. Ada banyak esei bagus dalam buku ini, dan suara kritikan serta kebijaksanaan James paling menonjol apabila dia membincangkan pengarang yang dikaguminya, berbanding pengarang yang membuatnya gusar (atau tercabar, seperti kritikan negatifnya terhadap Middlemarch). Salah satu esei penting itu ialah tentang Sainte-Beuve. Menurut James, segala-galanya tentang hidup Sainte-Beuve mengalir melalui sastera:

 "His mind was never diverted or distracted from its natural exercise - that of looking in literature for illustrations of life, and of looking in life for aids to literature."   

James mengukirkan potret Sainte-Beuve dengan sangat cantik sehingga saya rasa saya mengenali kritikus ini dengan hanya membaca esei James. Akan tetapi kekaguman James tidak dikongsi oleh rakan senegara Sainte-Beuve iaitu Marcel Proust. Bagi Proust, masalah terbesar kritikan Sainte-Beuve adalah menggunakan biografi seorang pengarang sebagai cermin ke dalam sebuah karya. Pendirian ini sudah tentu tidak mengejutkan kita kerana Proust sendiri adalah novelis yang sangat menyandar pada memori dan sejarah hidupnya. Lagipun, siapa yang membaca In Search of Lost Time dan tidak rasa, sedikit sebanyak, bahawa warna-warna dalam novel ini dipetik daripada taman kehidupan Proust?  

Kalau Sainte-Beuve masih hidup, barangkali dia akan menjadi salah seorang peminat tegar Karl Ove Knausgaard. My Struggle ialah novel yang tidak malu untuk dibaca sebagai autobiografi pengarangnya. Some Rain Must Fall ialah buku kelima dan mengambil bahagian hidup Knausgaard ketika dia baru mula menulis dan bekerja sambilan di hospital. Selalunya apabila kita sudah membaca sejumlah buku seorang pengarang, kita akan mula menemui corak penulisan dan permainan naratif yang akan dikitar dan digunakan semula berkali-kali. My Struggle memang sangat autobiografi, tetapi ia masih sebuah novel, bermaksud Knausgaard harus memilih rutin dan tindakan tertentu untuk ditunjukkan, sementara menyembunyikan bahagian lain. Knausgaard, misalnya, tidak pandai melakukan perincian latar sebuah bangunan atau suasana di dalam bilik. Kita jarang melihat imej; kita hanya melalui pengalaman yang diceritakannya. Ia ibarat menjadi penumpang di dalam sebuah kereta di mana kita hanya melintas sesuatu tempat sambil mendengar anekdot dan gosip daripada pemandu. Knausgaard tidak akan memberhentikan kereta, kerana dia terlalu asyik bercakap dengan dirinya sehingga dia terlupa kita berada di sebelah.

Antara benda-benda yang kita akan selalu dengar Knausgaard berceloteh: perempuan-perempuan dia ingin main tetapi gagal; betapa teruknya dia bermain drum; betapa hodoh wajahnya; parti demi parti; arak demi arak; menangis.... oh, saya belum jumpa satu novelnya yang dia tidak menangis; kekaguman Knausgaard pada karya Tor Ulven; keinginan Knausgaard untuk menulis seperti Thomas Bernhard (Extinction ialah buku Bernhard kegemarannya); dan rutin... malah kita rumuskan My Struggle sebagai konflik seorang lelaki pertengahan umur yang ingin menempuh kebosanan rutin hidupnya.

Tetapi saya harus membuat pengakuan di sini: setelah melalui kelima-lima novelnya (masih ada satu tinggal!), saya masih belum bosan dan saya masih bersedia untuk melihat Knausgaard mengulangi rutin hariannya. Ketika buku pertama, saya baru belajar nak mengenali lelaki emosional dari Norway ini, nama-nama saudara dan sahabatnya pun belum saya hafal. Sekarang perasaan saya dengan buku Knausgaard ialah ibarat perhubungan dengan seorang sahabat yang saya jarang jumpa. Saya sudah boleh menduga tindakan dan reaksinya dalam sesuatu situasi. Dalam kata mudah: saya sudah mengenalinya. Saya yakin hampir kesemua pembaca My Struggle merasai hubungan sama. Tetapi kritikan Proust terhadap Sainte-Beuve sentiasa akan mengingatkan saya bahawa sedekat mana pun biografi dan fiksyen cuba dirapatkan, ia akan sentiasa menjadi renggang.    


Comments

Popular Posts