Novel Kelapan: Le Grand Meaulnes
Novel Alain-Fournier berjudul Le Grand Meaulnes diterbitkan oleh Penguin sebagai karya klasik. Jadi kalau ia adalah klasik (seperti mana Madame Bovary atau Germinal adalah karya klasik Perancis), kenapa saya tidak pernah dengarnya sebelum ini? Di rak perpustakaan rumah saya ada sebuah buku rujukan berjudul 1001 Books You Must Read Before You Die, susunan Peter Boxall, dan novel Fournier tidak termasuk dalam senarai wajib baca itu. Namun Fournier tidak perlu berduka dalam kuburnya kerana ada banyak lagi novel pengarang lain yang tidak dipilih oleh Peter Boxall. Misalnya, di manakah novel Machado de Assis? di manakah novel Juan Rulfo? di manakah novel Alfred Kubin? Niat saya bukan nak merendahkan pemilihan dan susunan Peter Boxall, tetapi lebih nak menunjukkan bahawa apa yang dikatakan klasik tidak semestinya mudah dikenali, mudah ditemui di toko buku, dan mudah ditampalkan label pada sampul bukunya.
Maka memang kebetulan, dan rahmat buat Fournier, Le Grand Meaulness diterbitkan oleh Penguin. Kalau tidak, mungkin sampai sekarang saya tidak tahu ia wujud. Sepanjang tahun 2016, ini adalah novel yang paling menangkap pengalaman dan kegelisahan zaman remaja buat saya. Ia mengisahkan seorang remaja bernama Augustin Meaulness yang lari dari sekolah pada suatu hari lalu tersesat dan sampai ke sebuah rumah agam aneh di tengah hutan. Kalau novel kanak-kanak memberikan kenaifan dan kejernihan emosi, maka novel remaja memberikan kesementaraan pengalaman dalam menempuh waktu. The End of Love karangan Marcos Giralt Torrente dan The Cardboard House karangan Martin Adan adalah sebahagian daripada novel saya pernah baca yang berada dalam satu kumpulan dengan Alain-Fournier. Anda baca novel mereka dan anda rasa ingin berenang ke tangah laut dan hidup muda selamanya di atas sebuah pulau.
Comments