Novel Kesepuluh: Insta



Meraikan sesuatu kejadian adalah ibarat mengadakan majlis kenduri dan kita membenarkan sesiapa sahaja untuk datang dan makan di majlis tersebut. Saya menentang sikap ini. Sastera (atau seni secara umum) bukan untuk diraikan seolah-olah ia adalah kenduri tahlil di belakang rumah. Sastera harus dibaca, harus dinilai, dan harus diletakkan di rak yang sesuai berdasarkan penilaian tadi. Apabila kita mula memberikan kelonggaran kepada sesuatu karya, atas dasar ingin meraikan kehadirannya, maka kita bukan sahaja sudah berat sebelah kepada sentimen peribadi, kita juga sedang merosakkan komuniti seni dengan membenarkan karya parasit dan tidak berkualiti untuk menular di dalamnya. Saya percaya sastera negara kita mempunyai tradisi yang kuat dan saya percaya sastera kita mempunyai potensi untuk pergi jauh dan berdiri sama tinggi dengan gergasi sastera dari Eropah dan Amerika Latin. Dan kita hanya boleh melakukannya kalau kita bersedia untuk meletakkan standard paling tinggi kepada pengkarya tempatan.

Justeru kita datang kepada novel kesepuluh dalam senarai novel terbaik yang saya baca sepanjang tahun 2016. Setiap tahun saya membaca lebih daripada empat puluh buah novel (ada yang saya selesai baca dan ada juga yang tersadai di tepi meja katil). Mana-mana novel yang akhirnya masuk ke senarai sepuluh terbaik bermaksud ia telah memuaskan pengalaman saya sebagai pembaca, dan telah menawarkan sesuatu yang berbeza (boleh jadi gaya bahasa, boleh jadi susunan naratif, boleh jadi meditasi kehidupan). Adakah novel dalam senarai saya dijamin akan bertahan kualiti dan kesegarannya? Tidak, malah saya tidak jamin saya akan ulang baca sebahagian daripada novel dalam senarai ini. Beberapa tahun lalu saya memilih novel The Summer Book karangan Tove Jansson sebagai salah satu novel terbaik, tetapi sehingga ke hari ini saya belum pernah ulang membacanya. Namun memori dan pengalaman saya dapat daripada novel itu masih melekat dengan diri saya. Senarai bukan kanon, dan ia tidak patut dianggap sebagai kanon. Hanya paderi dan drakula akan mencipta kanon. Pembaca mencipta senarai kerana kebahagiaan membaca harus dikongsi dan harus dibiarkan menular ke dalam kehidupan pembaca lain juga.

Salah seorang novelis Malaysia paling berpengaruh di kalangan penulis muda kini ialah Ridhwan Saidi, dan kita boleh nampak lanjutan daripada pengaruh itu melalui novel debut Syahmi Fadzil berjudul Insta. Saya sudah membuat ulasan terperinci terhadap Insta (boleh dibaca di sini) dan memang ia masih jauh daripada menjadi sebuah karya yang matang. Pembaca yang tidak menyukai novel ini merasakan bayang Ridhwan Saidi terlalu kuat, dan tanggapan itu tidak salah, malah kita bukan sahaja nampak bayang Ridhwan, tetapi juga bayang Murakami di beberapa tempat. Suatu masa dahulu orang kata novel terawal Azizi Haji Abdullah dan Othman Kelantan mempunyai pengaruh kuat Shahnon Ahmad, dan penulis muda mana di zaman itu yang tidak terpengaruh dengan karisma kepengarangan Shahnon. Namun Azizi dan Othman perlahan-lahan membina identiti mereka sendiri, dan hari ini apabila kita membaca Sangeetha atau Juara, kita tidak lagi kata novel-novel ini berada di bawah bayang penulis lain. Insta mungkin tidak menjanjikan sebuah karya klasik, tetapi ia menjanjikan masa depan cerah kepada tradisi penulisan novel di negara ini.      



Comments

Popular Posts