Novel Kesembilan: Deadfall Hotel



"Our lives are voyages through darkness"

Seperti biasa, setiap tahun saya pasti akan pilih satu novel makan angin. Cuma kali ini tempatnya tidaklah eksotik seperti Ternate (novel Guru) atau Finland (novel The Summerbook) atau Peru (novel The Cardboard House). Saya memilih hotel yang dicipta oleh Steve Rasnic Tem dalam novel cerekawalanya berjudul Deadfall Hotel. Namun ini bukan sebarangan hotel kerana untuk datang ke hotel ini, anda mesti bersedia untuk menghadapi kematian. 

Tahun 2016 boleh dikatakan berbeza dan istimewa daripada tahun-tahun sebelum ini kerana saya memilih tiga novel cerekawala. Tradisi yang dimulakan oleh H. P. Lovecraft ini sentiasa mengejutkan saya melalui bauran pelbagai genre fiksyen, melalui binaan bangunan atau bandar yang unik serta terperinci, dan melalui imaginasi luar biasa pengarangnya. Dari satu sudut, novel Steve Rasnic Tem mempunyai persamaan dengan novel Adam Nevill No One Gets Out Alive di mana kedua-duanya melibatkan sebuah bangunan berhantu. Tetapi fokus Nevill ialah membina suasana gerun dan seram, maka saya menganggap tulisannya sebagai novel horor. Sementara Rasnic Tem membincangkan tema kematian dalam novelnya dengan menggabungkan horor, Gothic, dan fantasi sehingga kita tidak tahu apa nak panggil novel ini. Ya, memang begitu selalunya tulisan cerekawala: ia mengaburkan sempadan. 

Deadfall Hotel mengisahkan Richard dan anak perempuannya Serena yang baru sahaja berpindah ke sebuah hotel bernama Deadfall selepas Richard menerima kerja sebagai pengurus. Richard telah kehilangan isterinya dalam kebakaran dan kedatangan Richard ke Deadfall boleh ditafsirkan sebagai proses kemurungan. Atau mungkin sahaja ingin membunuh diri. Richard membuktikan bahawa dia bukan sahaja watak duda paling murung dalam sejarah sastera, tetapi dia juga ayah paling tidak bertanggungjawab apabila dia membahayakan nyawa anaknya dengan ancaman seperti: kucing-kucing ajaib yang ingin makan orang, serigala jadian yang ingin makan Serena, dan wanita vampir yang ingin bercinta dengan Richard dan mungkin makan Serena sekali. Kalau itu belum cukup gila, anda harus cuba berjalan di koridor hotel ini kerana ruang dan rekaannya tidak ada batas sehingga anda akan rasa seperti sedang berlari dalam rumah cermin yang berputar tanpa henti. Bagaimana Richard boleh tahan kerja di sini? Mungkin Richard dan Serena memang sudah mati dan hotel ini hanya tempat persinggahan sebelum mereka berangkat ke alam seterusnya. 

Rasnic Tem tidak membiarkan hotel ini menjadi karnival mimpi semata-mata kerana dia turut membincangkan kematian secara serius. Selepas novel Pramoedya Bukan Pasarmalam, rasanya Deadfall Hotel ialah novel paling puas saya baca tentang hubungan manusia dengan kematian. 


           

Comments

Popular Posts