Tembikai Anton Chekhov

Chekhov - bapak kepada segala cerpenis
 
Suatu kelebihan buat kita yang hidup di rantau ini adalah jumlah cerpen yang sangat banyak.  Nak menghabiskan cerpen-cerpen di Malaysia sahaja boleh dikira mencabar. Ada satu kali itu saya sedang duduk semeja dengan beberapa orang penulis perempuan dan salah seorangnya bisik kepada saya yang dia tidak ada selera untuk makan. Alasannya mengejutkan, dan ternyata, membuat saya ketawa juga dalam hati: dia belum membeli Mingguan Malaysia dan membaca cerpen terbaru di situ. Buat penulis ini nampaknya bersarapan dengan cerpen lebih sedap daripada minikmati secawan teh tarik dan roti canai. Selera saya pada cerpen belumlah sampai ke tahap itu. Kalau satu tahun tidak membaca cerpen di Mingguan Malaysia atau Berita Minggu saya masih boleh rasanya tidur dengan nyenyak. Nak mencari cerpen bagus jauh lebih susah daripada nak mencari novel bagus. Pertama, sebab orang jarang bercakap tentang cerpen: bahasa sebuah cerpen jarang memikat kita seperti bahasa sebuah puisi dan cerpen tidak dapat menawarkan pengalaman skala epik seperti sebuah novel. Satu lagi masalah adalah kesukaran seorang cerpenis untuk membina identiti yang berbobot, kerana genre ini menawarkan ruang eksperimen yang terbatas. Rata-rata cerpenis di seluruh dunia lahir daripada buah tembikai Anton Chekhov. Ya, warna tembikai itu mungkin berubah-ubah, dan rasanya mungkin juga berubah-ubah. Tetapi tembikai tetap tembikai. Saya bukanlah nak mencadangkan kita berhenti makan tembikai dan beralih terus kepada jus epal Donald Barthelme atau kebab daging Etgar Keret. Teruskan sahaja menanam dan makan tembikai kalau mahu. Saya sendiri kalau boleh nak melihat lebih banyak cerpen seperti yang ditulis oleh Rodrigo Rey Rossa berjudul Some Other Zoo ( sila baca di sini) ada di negara kita. Kalau tidak banyak pun (nanti banyak jadi bosan pulak membaca), biarlah ada seorang makhluk jenis Rodrigo Rey Rossa, yang mengambil pengaruh daripada permainan naratif Julio Cortazar, dan secara tidak langsung merupakan zombie ciptaan Edgar Allan Poe. Cerpen seperti ini tidak menawarkan kepada kita kemanisan sehiris buah, tetapi sebaliknya ia ibarat pisau yang menghiris jari. Darah kita menitis-nitis di atas kertas dan melemaskan kata-kata yang sudah bungkam dan lesu.        

Comments

Popular Posts