Boris Vian

 
Ada novel yang membuat kita ketagih menelan kata-katanya (novel dadah-media-sosial Tao Lin berjudul Taipei). Ada novel yang membuat kita marah (kepakaran J. M. Coetzee). Ada novel yang membuat bibir kita berdarah (samseng-samseng dalam novel Eka). Ada nove yang membunuh novelis (amaran untuk penulis yang belum pernah membaca Enrique Vila-Matas). Ada novel yang membuat kita malu menjadi manusia (Pram, Pram, Pram). Dan ada novel untuk orang gila yang lupa bagaimana untuk menjadi waras. Novel Lewis Caroll ditulis untuk orang gila (dan Alice sendiri pun gadis yang agak gila) dalam dunia yang sangat logik. Novel Boris Vian Mood Indigo sama seperti novel Lewis Caroll: dunianya adalah dunia gila, seolah-olah ada arnab telah membuka pintu ke Wonderland, lalu semua penghuninya melimpah masuk ke bandar Paris. Ada belut yang curi masuk ke dalam apartmen melalui lubang sinki. Ada arnab-separa-mekanikal yang menghasilkan ubat di kedai farmasi. Bilik boleh mengecil mengikut emosi penghuninya. Minuman dihasilkan mengikut nota-nota muzik daripada sebuah piano. Kita boleh faham sekarang kenapa novel ini sangat berpengaruh kepada Michel Gondry sehingga dia sendiri mengadaptasikan Mood Indigo kepada filem. Saya dapat membayangkan ketika Michel Gondry membaca novel ini, perasaannya adalah seperti masuk ke dalam kedai mainan, dan filem-filemnya ternyata adalah imaginasi seorang budak yang tidak berhenti bermain. Paul Auster pernah membahagikan penulis kepada dua jenis: penulis budak dan penulis dewasa. Penulis budak adalah anak-anak nakal yang suka kepada puzzle dan permainan bentuk sehingga keghairahan mereka itu membuat pembaca rasa muda (atau lebih tua). Poe, Perec, Calvino dan Bolano adalah anak-anak nakal ini. Sementara penulis dewasa lebih kepada pengajaran kehidupan. Ya, kalau bukan untuk kehidupan, kenapa kita nak membaca Tolstoy? Boris Vian sudah tentu dalam geng anak nakal. Tetapi di manakah dia selama ini? Poe dan Bolano sudah sangat popular di kalangan kawan-kawan mereka. Boris Vian barangkali masih dibiarkan keseorangan di atas pokok. Ada ramai sebenarnya penulis dari abad kedua puluh yang tidak dikenali oleh kita. Robert Walser adalah penulis sezaman dengan Kafka, tetapi hanya sekarang baru dia mula dibaca dan dibincangkan. Boris Vian pulak sezaman dengan Camus, tetapi saya tidak akan kenal namanya kalau bukan kerana filem Michel Gondry. Novel budak atau novel orang gila selalunya berbeza dengan novel dewasa. Novel dewasa (saya tengah fikir tentang Bukan Pasar Malam) mendekatkan kita kepada kehidupan. Sementara novel gila menjauhkan lagi kita; ia menjadikan kita lagi bebas untuk menjadi apa-apa saja. Ya, keindahan sementara untuk kembali menjadi seorang anak nakal.       
 
 

Comments

Popular Posts