Buku di Atas Meja


 
 
 
Tidak muat kalau nak letakkan semua buku saya telah baca tahun ini di atas meja. Sebahagian besar daripadanya adalah novel. Saya jarang membeli buku puisi luar negara kerana harganya mahal dan penerbitannya sangat terhad. Kadang-kadang saya pun tidak tahu kenapa saya membeli sebuah buku. Dalam kes novel Rachel Kushner The Flamethrower, saya suka judulnya, dan apabila dipadankan dengan nama penulis, saya membayangkan sebuah alam fiksyen yang dingin dan keras. Novel Sergio Chejfec The Planets mempunyai ilustrasi sampul yang konseptual dan cantik, walaupun ceritanya tidak sehebat novel Chejfec sebelum ini. Aira Conversations - sebenarnya saya akan baca apa-apa sahaja yang dia tulis. Andina Dwifatma Semusim dan Semusim Lagi - judul indah daripada sebuah puisi Sitor Situmorang. Saya membeli novel Syafiq Aizat Awan semata-mata kerana sampulnya cantik dan sampai sekarang rasa sayang nak koyak plastiknya. Tetapi tidak ada sampul buku di atas meja ini yang boleh kalahkan antologi cerita-cerita jenayah dari Amerika Latin terbitan McSweeney's (Juan Pablo Villalobos, Rodrigo Rey Rossa, Andres Felipe Solano, Alejandro Zambra, antara nama-nama yang ada). Hanya seorang penulis imaginatif seperti Paul Auster akan tulis novel daripada perspektif anjing dan membuat kita rasa simpati. Georges Simenon (The Strangers in the House) tidaklah keras dan menakutkan seperti saya bayangkan ketika membaca ulasan John Banville. Menanti-nanti kesudahan siri novel My Struggle dan berharap ia lebih baik daripada Boyhood (tetapi ia masih sedap dibaca dan membuka banyak memori masa budak). Novel Macedonio Fernandez (kawan dan mentor Borges) adalah sangat aneh sampai saya tidak tahu jika saya berani untuk ulang baca dan habiskan. Tahun ini adalah kali pertama saya membaca novel duet, Where There's Love, There's Hate, oleh Adolfo Bioy Casares (seorang lagi kawan Borges) dan isterinya Silvina Ocampo. Tahun ini juga adalah percubaan pertama saya membaca novel berbentuk eBook, dan memang sangat kena untuk saya pilih novel Tao Lin Taipei. Tidak lama lagi saya akan pilih novel terbaik saya untuk tahun 2014 dan senarai pendek saya sangat banyak apabila dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini.          
 


Comments

Anonymous said…
Ferrante dah baca?
Wan Nor Azriq said…
Dah. Buku pertama trilogi dia

Popular Posts