Suara Hantu dalam Hujan dan Kabus

Pasar Boco

Bulan enam lalu saya berada dalam sebuah forum di Makassar untuk membincangkan identiti sastera Asia Tenggara. Antara perkara yang dibangkitkan adalah hubungan Asia Tenggara dengan kanon kesusasteraan. Mungkin bagi penulis Barat, apabila orang bercakap tentang kanon, ia adalah perkara biasa seperti mendengar kitab Bible di gereja. Tetapi cuba cakap tentang kanon kepada mana-mana penulis dari Asia Tenggara, saya yakin dia akan tersentap, matanya terbeliak, dan nafasnya menjadi berat seolah-olah ada hutan sedang terbakar dalam dadanya. Kita tidak tahu pun apa itu kanon atau bagaimana rupanya. Ia seperti menceritakan kepada orang asli di atas pulau tentang sebuah gereja emas di atas bukit. Cerita kita akan dengar tentang gereja emas ini dan wajah-wajah hero pada dinding dan kaca jendelanya memang akan memukaukan. Akan timbul keinginan dalam diri kita untuk meninggalkan pulau terpencil ini dan berhijrah ke sana. Malah kalau boleh kita ingin nama kita terukir bersama penulis-penulis besar yang telah meninggalkan jasa mereka pada tamadun manusia. Suatu masa dahulu saya sangat percaya pada mitos gereja emas ini. Saya sangat percaya bahawa seorang penulis Asia Tenggara harus meninggalkan identiti bangsanya dan berusaha untuk menjadi seperti Joyce, Faulkner, Marquez. Dia harus berusaha untuk menjadi ahli dalam kanon kesusasteraan. Harold Bloom menyakinkan saya bahawa itu sahaja jalan ada jika seorang penulis ingin hidup abadi sepajang zaman. Tetapi saya sekarang semakin meragui Bloom dan tokoh-tokoh genius dalam kanonnya. Pengalaman membaca karya-karya terjemahan seperti tulisan Robert Walser, Tove Jansson, Boris Vian, Sergio Chejfec, Martin Adan, Ernesto Sabato, menunjukkan apa yang kita faham tentang sastera selama ini adalah sangat meleset. Contoh mudah adalah ruangan buku dalam akhbar The Guardian atau jurnal New York Review of Books. Kerangka pemikiran editornya masih terbatas pada nama-nama gergasi atau penulis arus perdana (dalam bahasa Inggeris sudah tentu) yang mungkin sedang menjadi bahan gosip di meja kafe atau kamar kuliah universiti. Hanya akhbar berotak arus perdana seperti The Guardian akan melenting setiap tahun apabila Philip Roth atau Murakami tidak menang Hadiah Nobel. Bagaimana dengan penulis dari Eropah Timur? Atau Amerika Latin? Atau Asia Tenggara? Kalau nak petik nama, banyak juga saya boleh petik sebagai calon Hadiah Nobel yang jauh lebih hebat daripada Roth dan Murakami. Tetapi adakah pembaca The Guardian atau New York Review of Books mengetahui nama-nama ini? Nak pendekkan cerita: pembaca di Barat, secara umumnya, memang tidak berminat dengan karya terjemahan. Buku terjemahan yang dibedah di New York Review of Books pun selalunya adalah buku yang sudah terlepas masuk ke arus perdana (Javier Marias, Roberto Bolano, Karl Ove Knausgaard). Lebih teruk adalah apabila ada kolumnis seperti Tim Parks yang mempunyai pemikiran kolot bahawa sebuah novel bagus harus menjadi bahan perbualan pembaca (ada di sini). Ya, memanglah Knausgaard tengah menjadi bahan perbualan di sana, tetapi mungkin Parks lupa yang bahan perbualan tidak semestinya bermaksud orang telah membaca buku itu. Ramai orang sekarang bercakap tentang buku Fixi (suka dan tidak suka), tetapi bukan semua orang membaca buku Fixi. Keinginan para penulis untuk mendengar perbicangan, wacana, dan polemik kadang-kadang membuat saya rasa mual juga. Ia membuat saya terbayangkan seorang pahlawan gladiator yang sedang bertarung dengan singa di tengah gelanggang. Sangat kuno.

Kerana kita minta penulis bertarung di dalam gelanggang yang sudah tidak laku tiketnya.

Saya lebih senang sekarang membaca buku yang masih plastik sifatnya. Novel yang bukan novel; puisi yang bukan puisi; cerpen yang bukan cerpen. Seperti novel-puisi-cerpen Afrizal Malna yang baru dibeli di Boco semalam. Karl Agan pun ada situ. Dia menyanyi lagu More Than Words bersama seorang gadis cantik di pentas. Apabila penonton minta dia bacakan satu puisi, dia tersipu-sipu melangkah turun seolah mendengar suara hantu dalam hujan dan kabus.


 

Comments

Popular Posts