Apabila Kritikan Membina Anatomi Pengaruh
Setelah banyak tahun menulis di blog ini, dan menamakannya sebagai "Kritikus Sastera," hanya sekarang baru saya mengakui dan menyedari yang ia adalah medium berbeza daripada kritikan itu sendiri. Ia tidak mungkin sama dan barangkali ia bukan kritikan pun, seperti mana kita faham apa itu kritikan melalui medium bercetak. Kritikan di alam digital adalah tubuh yang tidak kekal bentuknya: sekejap ia mungkin seekor burung, esoknya mungkin ia bertukar menjadi seekor jerung yang ganas. Tetapi adakah jerung yang hidup terasing di laut? Tidak: internet adalah lautan yang mencengkam dan menyerap zarah atom mana-mana makhluk yang terjun ke dasarnya. Lantas kritikan di alam digital tidak lagi menyandar pada sastera saja; ia turut bergaul dan bergelumang dengan lautan yang ia telah pilih untuk berenang.
Penulisan digital menepati apa yang Calvino sebut dalam suratnya: "One writes most of all in order to take part in a collective enterprise."
Penulisan digital menuntut pembaca (dan kita tidak menyedarinya) untuk membaca sastera secara digital. Ia bukan lagi jalan lurus ke tengah hutan fantasi seperti yang kita baca dalam sebuah cerita dongeng. Penulisan digital menjadikan taman dengan jalan bercabang Borges suatu realiti. Dan labirin ini sangat kompleks, malah percuma untuk masuk dan digunakan, ia akan mengaburkan pandangan minda kita terhadap struktur tubuhnya secara total. Bayangkan anda ialah Craig Schwartz dalam filem Being John Malkovich yang telah menemui sebuah pintu di belakang kabinet dapur rumah anda, dan apabila anda masuk, anda secara tidak sengaja telah masuk ke dalam minda seorang pelakon bernama John Malkovich. Tetapi ini tidaklah teruk sangat. Craig Schwartz masih tahu di mana dia berada. Tetapi internet bukan saja minda seorang pelakon; ia boleh jadi minda sesiapa saja. Lebih menakutkan ialah kita tidak akan dapat melihat dan mengenali minda gergasi ini kerana internet bukan minda manusia. Di manakah pintu utamanya? Kalau kita menjadi Keanu Reeves, barangkali kita akan menemui pintu tersebut, seperti mana dia lakukan melalui filem The Matrix.
Tetapi Keanu Reeves pun memerlukan kunci pintu sebelum dia dapat menemui si Arkitek yang merupakan pereka kepada program bernama Matrix itu. Masalahnya, buat pengguna internet seperti kita, kunci itu bukan satu, dan pintunya juga bukan satu. Di Facebook sistemnya berbeza; di Tumblr sistemnya berbeza; di Twitter sistemnya berbeza. Sastera di setiap satu sistem ini pun akan hadir dengan tubuh berbeza. Ia ibarat organ-organ asing dalam tubuh yang bernyawa. Saluran saraf di antara setiap organ ini ialah tempat di mana kritikan digital bermula.
Menariknya, sebelum Harold Bloom membina teori pengaruh dalam kesusasteraan, Tolstoy telah terlebih dahulu menemuinya: "For art criticism we need people who would show the senselessness of
looking for ideas in a work of art, and who instead would continually
guide readers in that endless labyrinth of linkages that makes up the
stuff of art, and bring them to the laws that serve as the foundation
for those linkages.” Fungsi ini - iaitu menemui linkages - tidak lagi memerlukan suatu teori atau gagasan agung. (Malah ia tidak memerlukan sebuah Western Canon.) Web 2.0 telah membolehkan ia berlaku. Baca kritikan di Conversational Reading; atau di This-Space; atau di Tumblr bernama Love Dog, dan anda akan menemui linkage demi linkage pada setiap halaman tulisan. Kita membaca satu tulisan kritikan, ia menarik kita ke tulisan di laman web atau blog yang lain pula. Ada semacam kritikan ke atas kritikan sedang berlaku di alam digital sekarang.
Dan ia bukan polemik (orang yang masih percaya pada polemik patut terus tinggal saja di dalam gua bersama tulang Plato dan Bukowski). Ia adalah pemetaan minda dan budaya. Saya fikir, dalam mana-mana kritikan seni, ini adalah kemuncaknya.
Comments