Fiksyen: Antara Kepercayaan & Keraguan

David Mitchell: mencipta warisan pulau di dalam Cloud Atlas
Lanjutan tradisi. Ia jarang boleh dilihat atau diketahui kerana kita tidak mempedulikannya. Di kalangan penulis pun ada kebimbangan - dan kemarahan - apabila mereka diminta mengenal pasti tradisi atau pengaruh penulisan yang mereka warisi ke dalam karya mereka (secara sedar atau tidak sedar). Kebimbangan karya mereka akan dilihat sebagai palsu; kebimbangan yang inspirasi mereka adalah sekadar peniruan (atau lebih teruk: pencurian); kebimbangan yang mereka sebenarnya tidak menulis kerana penulisan menjadi mustahil (atau sia-sia) apabila mereka harus membayangkan roh maha guru yang berdiri di belakang kerusi membisikkan kata-kata dan rahsia imaginasinya. 

Kebimbangan pada pengaruh tradisi menjadi kebimbangan kepada makna kewujudan dan kependekkan usia penulisan. 

Lalu terdapat penulis yang tidak mempedulikan sama sekali tentang masalah warisan tradisi. Mereka terus membangunkan taman dan istana mereka seolah-olah penulisan ialah perjuangan hidup di atas sebuah pulau terpencil. Mereka tidak ingin diselamatkan; sebaliknya, mereka ingin orang dari darat datang berkunjung ke dunia terasing mereka seolah-olah dari dahulu lagi pulau itu adalah milik mereka. Di pulau ini, mereka ingin ia jadi mandiri dan sempurna sebagai bumbung dan rumah untuk manusia melapangkan kelelahan dan kelesuan kehidupan harian di darat. Di pulau ini, fiksyen dibenarkan untuk bebas dan berkuasa kerana tidak mungkin - mereka percaya - akan datang pengaruh dari darat atau pulau lain untuk mengancam kesuciannya. Di pulau ini, kebenaran adalah subjektif dan tertutup. Ia tidak memerlukan arahan seorang Big Brother yang mewakili suara mutlak sebuah kanon kesusasteraan.

Jadi, kalau kita fikirkan secara teliti, bukankah kepercayaan dan keiginan untuk tinggal di atas sebuah pulau asing ini, merupakan warisan yang ditinggalkan (atau masih diteruskan) oleh sastera Amerika Latin? Saya bukan sedang bercakap tentang magic realism (isitilah itu sangat absurd dan sia-sia untuk dibincangkan). Saya sedang bercakap tentang kembalinya kepercayaan pada fiksyen - kepercayaan yang fiksyen adalah kukuh dan mandiri. Bukankah itu yang Marquez dan penulis-penulis generasinya ingin kita percaya? Bukankah kepercayaan sama kita temui dalam karya Salman Rushdie dan Haruki Murakami? Bukankah fiksyen di Indonesia sekarang turut menganuti - secara berlebihan dan menggemukkan - kepercayaan sama? 

Cerita-cerita dalam tradisi Amerika Latin ini bukanlah berbentuk fairy tale secara total. (Kecuali Steven Millhauser dan Angela Carter barangkali.) Kerana walaupun ia ingin dilihat sebagai mandiri, ia masih melakukan kritikan terhadap dirinya sendiri (atau dunia  di luar tradisinya). Realisme adalah sentiasa kritikan ke atas realisme; sama seperti pasca-moden adalan sentiasa kritikan ke atas pasca-moden. Setiap bentuk baharu yang dicipta, pasti ingin kewujudannya dikenal pasti. Lebih-lebih lagi kalau ciptaan itu berlaku di atas sebuah pulau yang terpisah daripada dunia di darat. Dan cara terbaik untuk melakukannya ialah dengan melakukan kritikan. 

Di dalam novel terkenal David Mitchell, Cloud Atlas, kita menemui sejumlah cerita yang boleh dikatakan sebagai mandiri. Setiap satunya adalah pulau, atau lebih tepat, warisan pulau dari satu generasi ke generasi seterusnya. Ia bukan sekadar cerita di dalam cerita kerana setiap cerita ini hadir dalam bentuk berbeza dan ia melakukan komentar ke atas bentuk yang hadir (untuk dipengaruhi) sebelumnya. Novel Mitchell bukan metafiksyen kerana ia tidak secara jelas mengakui kritikan yang ia lakukan. Dalam kata lain, Cloud Atlas tidak pernah meragui kewujudannya - malah ia ingin kita mempercayainya - namun ia mengajak pembaca untuk mempersoalkan bagaimana sebuah cerita dibentuk dan disampaikan. Patutkah sebuah cerita dipercayai? Saya kira ini adalah soalan yang jarang ditanya kerana secara lazimnya sebuah cerita harus dipercayai. Ia kaedah lebih selamat barangkali - bagai Robinson Crusoe yang takut pulang ke darat - berbanding mereka yang meragui bukan saja keupayaan bahasa untuk menyampaikan cerita, tetapi lebih penting daripada itu, adalah keupayaan bahasa untuk mengungkapkan makna.

      

Comments

Popular Posts