Pengumpul Kelereng Dari Kubur
"Sometimes in the night he dreamed about the dead - familiar faces and the others, half-forgotten ones, fleetingly summoned up. Now, as he woke, it was imagined, an hour or more before the dawn; there would be no sound or movement for several hours. He touched the muscles on his neck which had become stiff; to his fingers they seemed unyielding and solid but not painful. As he moved his head, he could hear the muscle cracking. I am like an old door, he said to himself."
(Dipetik dari novel Colm Toibin The Master)
Dan pintu tua yang ditulis oleh Colm Toibin - atau disebut oleh Henry James sendiri - ini tidak pernah tertutup sebaik sahaja ia dibuka. Kita tidak pernah meninggalkan Henry James dari mula hingga hujung novel. Atau sebenarnya kita tidak pernah meninggalkan Colm Toibin? Saya menempuh perasaan dan kenikmatan berbeza apabila membaca cerpen Joyce Carol Oates tentang hari terakhir Henry James dalam bukunya berjudul Wild Nights. Ketika membaca Joyce Carol Oates kita tidak menemui Joyce Carol Oates, atau kita memang menemuinya, cuma tidak jelas, atau tersembunyi, atau tersirat, tetapi sebenarnya dia memang ada di situ, dan juga tidak, kerana suara yang dia ingin kita dengar, dan juga tidak dengar, ialah suara Henry James. Dalam buku itu Joyce juga menulis cerpen tentang hari-hari terakhir Ernest Hemingway, Mark Twain, Edgar Allan Poe, dan Emily Dickinson (dari puisi Dickinson buku ini mendapat judulnya). Setiap satu cerpen ini ditulis dengan mood dan gaya bahasa berbeza, sesuai dengan peribadi dan kehidupan penulis yang ingin diceritakannya. Joyce itu ialah dramatis seperti George Eliot dan Jane Austen itu ialah dramatis. Kalau dibandingkan dengan novel Colm Toibin, lapangan cerita Joyce itu begitu terhad, walaupun ia sangat padat, sementara Toibin mempunyai masa lebih lama dan intim untuk keluar dan masuk dari minda Henry James, bermula dari tahun 1895 ke tahun 1899; dia mempunyai lebih banyak masa untuk mentafsir, memilih, menyusun emosi dan pemikiran Henry James menjadi emosi dan pemikiran miliknya sendiri - menjadi kata-kata miliknya sendiri. Kita tahu kata-kata ini bukan milik Henry James (atau pernah milik Henry James). Kerana kata-kata ini ialah milik Colm Toibin sepenuhnya.
Saya mula membaca novel Colm Toibin The Master sebulan yang lalu dan pada masa itu saya tidak sedar bahawa novel ini diterbitkan pada waktu yang agak dekat dengan novel David Lodge Author, Author; dua buah novel dengan kehidupan pertengahan umur Henry James sebagai cerita utamanya. Kalau anda perasan, saya sudah menyebut nama tiga orang pengarang yang telah menggunakan Henry James sebagai bahan penulisan mereka. Henry James dan Vladimir Nabokov ialah dua orang penulis yang kehidupan dan karya mereka sering dibaca secara serentak kerana kedua-duanya adalah ibarat tubuh dan roh, kedua-duanya adalah kenikmatan dan kekecewaan, kedua-duanya adalah kebenaran dan fiksyen, dan kedua-duanya adalah kata dan metafora dengan satu garis panjang sebagai pemisah antara dua kutub itu. Dan garis itu ialah noia; suatu ruang kekosongan yang menanti untuk diisikan, atau ditinggalkan, dan mungkin dipadamkan, dan dituliskan semula, seperti yang Colm Toibin telah lakukan dalam novelnya.
* * *
Martin Amis kata bahawa seorang penulis itu akan mati sebanyak dua kali. Pertama, bakatnya akan mati dahulu dan ia berlaku, boleh kata, hampir kepada semua novelis besar dalam sastera: Charles Dickens ketika umur lima puluh sembilan, Jane Austen ketika umur empat puluh satu, Shahnon Ahmad ketika umur lima puluh lima. Martin Amis sendiri juga sedang berada di fasa itu bersama Paul Auster dan Julian Barnes. Bagaimana dengan Eka Kurniawan? Selepas Cantik Itu Luka kita belum menemui karyanya yang lebih hebat. Kemudian kita ada novelis-novelis genius (apa lagi kita patut panggil?) dengan sungai imaginasi yang sentiasa mengalir sehingga ke hujung usia mereka. Henry James adalah antaranya. Seorang lagi ialah Philip Roth (bila dia akan berhenti menulis?) Lebih hebat ialah Balzac, Tolstoy, dan James Joyce. Tetapi semua novelis yang saya telah sebutkan ini mencapai kemuncak kekuasaan mereka sebagai novelis ketika pertengahan umur. Berbeza dengan penyair, usia seorang novelis menjadi matang dengan usia penulisnya. Dan selepas tempoh kematangan itu akan datang akhirnya kematian yang terakhir dan mutlak - kematian tubuh seorang penulis.
* * *
Goenawan Mohamad pernah tulis dalam satu esei, sekiranya Chairil Anwar masih hidup sekarang, puisi bagaimanakah akan dia tulis? Saya fikir, dia akan tulis puisi yang tidak bagus, atau kurang bagus, dan barangkali tidak sejalang dan sehebat puisi-puisinya yang kita sudah kenali. Dan situasi Chairil adalah sama dengan situasi Sutardji dan A. Ghafar Ibrahim (sebut sahaja nama dua orang penyair ini dan kata-kata dalam minda kita mula membentuk sebuah teka silang-kata seperti di belakang sebuah kotak bijirin Coco Crunch). Ini ialah dua orang penyair yang lahir ketika sastera avant-garde masih boleh diterima sebagai suatu "norma," atau eksperimentasi, atau percubaan untuk melanggar konvensi penulisan, atau meruntuhkan tembok bahasa. Ini ialah zaman yang menghalalkan kelahiran, dan juga kebangkitan, walaupun hanya sementara, penyair-penyair gelap di Indonesia, dan seterusnya cerpenis-cerpenis abstrak di Malaysia. Ini ialah zaman Danarto dan Putu Wijaya; zaman Mana Sikana dan Zaen Kasturi; zaman Albert Camus dan Gabriel Garcia Marquez menyusup masuk dan mengubah corak penulisan sastera di rantau ini. Dan kesan itu masih boleh dilihat sampai sekarang. Terutama sekali dalam fiksyen Indonesia. Dominasi fiksyen Indonesia sekarang ialah dominasi Seno Gumira Ajidarma dan Budi Darma. Berbeza dengan fiksyen kita di Malaysia, sastera Indonesia lebih terbuka kepada kuasa dan erotik bawah sedar seorang penulis. Kata-kata penulis mereka dipilih dengan ketat sehingga kita rasa seolah-olah di setiap baris sebuah cerpen atau novel mereka itu, ada puisi yang ingin dituliskan; dan kadang-kadang ini membuka kita ke alam imaginasi yang begitu memikat dan mengejutkan, seperti yang terdapat dalam cerpen Ugoran Prasad berjudul Ripin; namun apabila pintu alam aneh ini dibuka dengan terlalu luas, atau apabila mereka terlalu ghairah memilih kata-kata indah, benang-benang naratif mereka mulai putus, dan struktur yang asalnya indah di permulaan cerita, tiba-tiba runtuh dan bertukar menjadi cerita fantasi semata-mata. Agus Noor membuat kesilapan ini dalam Kartu Pos dari Surga; Seno Gumira Ajidarma dalam kebanyakan cerpen lewatnya; Ratna Indraswari Ibrahim dalam Klown dengan Lelaki Berkaki Satu; Ayu Utami dalam ketiga-tiga novel besarnya; dan Djenar Maesa Ayu dalam semua cerpennya.
* * *
Di belakang novel The Master, Colm Toibin menyenaraikan buku-buku yang dia telah gunakan sebagai bahan rujukan ketika menulis novelnya. Dan ia memang banyak; kebanyakan terdiri daripada buku biografi tentang Henry James. Bahagian yang menarik perhatian saya ialah apabila dia menjelaskan tentang frasa dan ayat yang diambilnya dari Henry James dan keluarga Henry James lalu dimasukkan ke dalam tulisan dia sendiri. Sepanjang membaca The Master, saya fikir, kenapa mesti ini dilakukan? Adakah ia dibuat untuk menjadikan Henry James ciptaan Colm Toibin itu lebih Henry James daripada Henry James yang sebenar, atau (dan di sini saya fikir perbezaan antara Colm Toibin dan Joyce Carol Oates apabila menguruskan Henry James sebagai watak fiksyen) Colm Toibin sekadar ingin memastikan suara Henry James itu benar-benar authentic bagi menyakinkan pembaca? Mengambil watak sejarah dan jadikan ia watak fiksyen memang bukan asing dalam sebuah novel sejarah di abad kesembilan belas mahupun sekarang (malah sejarah itu sendiri tidak lebih daripada teks fiksyen dari tangan seorang sejarawan yang tidak pandai menulis puisi). Antara watak fiksyen-sejarah kegemaran saya ialah Alexander I, maharaja Rusia, yang berperang dengan Napoleon dalam novel Tolstoy War and Peace. Dia, seperti kebanyakan watak fiksyen-sejarah dalam novel ini, bukanlah watak besar dan kita hanya melihatnya melalui mata watak lain yang lebih penting, tetapi sebenarnya fiksyen sahaja, dan tidak ada pun dalam naratif teks sejarah. Satu babak menarik berlaku selepas Rusia kalah kepada Napoleon dalam Peperangan Austerlitz; Nikolai Rostov, pada masa ini masih seorang tentera berpangkat rendah, dan sedang menempuh pengalaman segar dan menakutkan di medan perang, telah pergi mencari Alexander I - idola yang dipujanya mengatasi Tuhan - dan dia menemui maharaja itu di bawah sebuah pohon, sedang menangis dan kecewa ke atas kekalahan negaranya. Nikolai pada mulanya teragak-agak apa yang dia patut buat; ya, idola dia sudah ada di depan mata; tetapi dia kekal kaku di situ; dan ironinya ada tentera lain yang cuba menenangkan Alexander. Nikolai menjadi cemburu dan dia berkata pada dirinya, kalaulah aku yang berada di sebelah maharaja dan bukan orang itu. Babak ini sekejap sahaja tetapi ia memberikan kesan sangat kuat dalam diri saya; pertama terhadap watak Nikolai dan kehalusan emosi yang dilukiskan oleh Tolstoy; dan juga watak Alexander kerana di babak itu, di waktu yang sekejap itu, imej Alexander berkembang dalam fikiran saya dan dia bukan lagi sekadar seorang tokoh sejarah. Tolstoy telah menghidupkan Alexander kepada saya melebihi mana-mana teks sejarah yang saya boleh baca. Dan ini ialah kekuatan fiksyen. Ia menghadirkan kehidupan kepada kita dalam keadaan paling sempurna. Malah ia bukan kehidupan pun. Ia adalah dirinya sendiri.
* * *
Generasi saya di Malaysia ialah generasi yang tidak lagi mencintai fiksyen. Generasi saya ialah generasi yang sudah tidak percaya tentang keupayaan fiksyen untuk membangunkan kehidupan seorang manusia. Mempercayai fiksyen ialah mempercayai kekuatan cerita; mempercayai fiksyen ialah mempercayai kekuatan imaginasi (atau khayalan mengikut kata sesetengah penulis kita); mempercayai fiksyen ialah mempercayai kesempurnaan manusia datang dari ketidaksempurnaan manusia dan fiksyen ialah kesempurnaan terbaik yang seorang penulis boleh berikan kepada dunia; mempercayai fiksyen ialah mempercayai Barat dan melupakan tradisi Islam. Generasi saya ialah generasi yang takut akan bayangnya sendiri dan mereka membina tembok di sekeliling dunia mereka bagi melindungi pengaruh dari tradisi sastera Barat. Saya sendiri sudah berulang-ulang kali dituduh sebagai penulis yang mengagungkan sastera Barat. Sebenarnya tembok Timur dan Barat itu sudah lama runtuh di mata saya. Moral dan tidak bermoral itu sudah lama runtuh di mata saya. Islam dan bukan-Islam itu sudah lama runtuh di mata saya. Di depan saya sekarang hanya ada sastera. Saya tidak peduli siapa yang menulisnya dan dari mana dia datang. Asalkan ia indah dan boleh mengajar saya untuk hidup dengan lebih bijaksana. Saya teringat satu cerita yang disebut oleh Milan Kundera dalam eseinya. Dia berada dalam kereta bersama seorang teman dan telah berlaku perdebatan antara mereka tentang sikap Bohumil Hrabal, novelis besar Czech, yang memilih untuk mengasingkan diri daripada politik. Teman Kundera menuduh Hrabal sebagai manusia yang setaraf dengan para politikus yang sedang menindas bangsa Czech. Kundera membidas dengan mengatakan sumbangan Hrabal kepada tradisi novel lebih penting dalam menyelamatkan emosi pembaca di zaman penindasan berbanding dari segala slogan, ideologi, dan protes politik yang dia dan temannya boleh lakukan.
* * *
Henry James ialah novelis yang begitu asing buat pembaca kita dan Indonesia. Nak membacanya lebih susah daripada membaca James Joyce dan Virginia Woolf kerana James tidak memerlukan teknik aliran kesedaran bagi menceritakan dan melukiskan naratif pemikiran watak-wataknya; naratif James sentiasa tersembunyi antara setiap koma dan frasa sehingga setiap koma dan frasa itu seperti kamar-kamar kecil yang James bina dalam ayatnya untuk kita singgah sebentar dan mengutip apa-apa yang tertinggal di situ. Selepas Henry James datang Samuel Bekcett. Dan dengan Beckett kamar-kamar kecil ini hanya ruang yang kosong. Sastera sudah meninggalkan bahasa di rumah. Beckett seperti sedang memberitahu melalui tulisannya bahawa novelis perlu memujuk sastera untuk kembali ke dalam bahasa. Tetapi bolehkah ia kembali kalau semua pintu bahasa sudah tertutup? Sastera tidak boleh kembali ke zaman Henry James. Rahsianya sudah didedahkan. Sastera kini ialah ibarat seorang politikus tanpa pakaian di televisyen. Dia ingin memujuk kita untuk mengundinya dan pada masa sama dia harus menjelaskan tubuhnya yang sudah terdedah.
Colm Toibin menulis The Master bukan untuk mendedahkan atau memaksa sastera untuk menceritakan rahsianya. Colm Toibin ialah novelis yang melankolik seperti naratornya Henry James. Dia tidak berminat untuk mencipta bahasa yang baru; dia lebih berminat untuk membuka pintu-pintu yang sudah tertutup. Melalui The Master Colm Toibin seakan-akan memujuk Henry James untuk bangkit dari kubur dan datang hidup di baris-baris novelnya.
Cetusan idea atau inspirasi Henry James untuk novel The Potrait of the Lady dan Daisy Miller datang dari kematian seorang sepupu perempuan bernama Minny Temple yang meninggal dunia ketika umur dua puluh empat tahun. Minny menghidap penyakit tuberkulosis. Antara permintaan terakhir Minny kepada sepupunya Henry ialah untuk melihat Eropah. Henry - seorang novelis muda yang sedang mencari identitinya - menolak permintaan Minny. Henry tidak sanggup untuk membawa beban Amerika bersamanya di Eropah. Tetapi mungkin sebab itu juga Minny kemudiannya menjadi murung. Dan mati. Tebusan Henry James ialah dengan memberikan keabadian kepada Minny Temple melalui novelnya. Ia boleh dilihat dalam salah satu babak novel Colm Toibin The Master:
"Soon after she died he wrote a story, 'Traveling Companions,' in which William, travelling in Italy and Germany, met her by chance in Milan Cathedral, having seen her first in front of Leonardo's The Last Supper. He loved describing her white umbrella with a violet lining and the sense of intelligent pleasure in her movements, her glance and her voice. He could control her destiny now that she was dead, offer her the experience she would have wanted, and provide drama for a life which had been so cruelly shortened. He wondered if this happened to other writers who came before him, if Hawthorne or George Eliot had written to make the dead come back to life, had worked all day and all night, like a magician or an alchemist, defying fate and time and all the implacable elements to re-create a sacred life."
Dan kita tertanya-tanya juga adakah Colm Toibin menulis novel ini untuk memberikan Henry James apa yang disebutnya sebagai "a sacred life"?
* * *
Ia adalah aneh kadang-kadang untuk membaca karya sastera yang masih kekal dalam bentuk konvensional. Ia bertambah aneh apabila kita letakkan The Master bersebelahan dengan novel seperti Infinite Jest. Colm Toibin mengekalkan tradisi sementara David Foster Wallace melanggar tradisi. Tetapi kedua-dua novel adalah suatu bentuk komentar terhadap sastera. Roland Barthes menyatakan bahawa realisme hadir hanya untuk mengungkapkan realisme. Saya tidaklah bersetuju sepenuhnya dengan pendapat ini kerana ia adalah suatu pandangan mekanikal terhadap sastera. Saya lebih suka melihat seorang novelis itu sebagai budak yang bercerita dalam cerpen Ugoran Prasad Ripin. Seorang pengumpul kelereng dari alam kubur yang kembali untuk membuka pintu kepada pembaca ke sebuah pesta malam.
Ke sebuah dunia fiksyen.
Comments