Kobayashi Hideo & Sebotol Kata-Kata Basah

untuk Mesin Cetak


"I will not inflict my ambitions on the reader. Indeed, I feel no need to do so. Still, as critics, if we do not bring the joy of creation to our critical practice, no matter what that practice may be, we will experience no recovery from the real weakness of our contemporary literary world, now hidden behind its gaudy outward spectacle. For the fact is we have critical writings but no critics; critical methods but no critical spirit. Such are my thoughts on the matter."
(Kobayashi Hideo dalam More Thoughts on the Literary Review)


Semalam saya turun ke UKM untuk menemui beberapa orang penulis dan pemikir muda kita; sebelum ini perbualan saya dengan mereka - seperti perbualan saya dengan kebanyakan penulis - berlangsung hanya melalui blog atau Facebook; hanya melalui kotak perbualan dengan gambar profil melekat di bingkai atasnya yang membuat saya sering tertanya-tanya, sepanjang tempoh perbualan, bagaimanakah nada suara orang ini, bagaimanakah cara dia berbicara dengan mata dan gerak bibir, bagaimanakah cara dia duduk, bagaimanakah cara dia berfikir, dan, paling penting, bagaimanakah cara dia mempersembahkan dirinya sebagai sebuah buku kepada saya. Nak menganggap manusia lain sebagai sebuah buku, saya fikir, bukan suatu kesalahan kerana cara kita membaca sebuah buku adalah tidak banyak beza dengan cara kita melihat dan berbual dengan seseorang. Lebih-lebih lagi - dan ini sangat penting buat saya - kalau individu itu ialah seorang pemikir (label ini bukanlah suatu penghormatan melainkan imejan mudah yang saya boleh lukiskan buat segolongan manusia yang, secara selamat, kita boleh yakin mereka telah banyak berbicara secara dalaman dengan minda mereka sendiri melalui perbicaraan dengan minda orang lain).

* * *

Pembacaan yang meluas akan mengajar seseorang itu untuk mencintai bahasa. Tetapi bukan semua orang yang membaca buku itu membaca untuk mencari bahasa. Dia lebih berminat, seperti kata Roslan Jomel dalam cerpen terbarunya, untuk mencari mesej. Mencari makna. Dan mencari suatu wacana yang hebat. Saya selalu melihat perkara ini sebagai aneh kerana kita ingin membaca pemikiran orang lain tanpa kita terlebih dahulu membaca bahasa pemikirannya. Ia ibarat seorang ayah yang ingin membaca pemikiran anaknya yang berumur empat tahun menggunakan pemikiran seorang lelaki dewasa; ia ibarat seorang yang ingin membaca lukisan Vincent van Gogh tanpa terlebih dahulu memahami bahasa warna dan kanvas pemikiran pelukisnya; ia ibarat seorang yang ingin membaca Ulysses tanpa terlebih dahulu memahami cara James Joyce berfikir melalui bahasa. Baru-baru ini seorang penyair mapan kita memberikan penjelasan yang mengejutkan saya apabila ditanya tentang usia kepenyairan - perjalanan naik turun seorang penyair menuju keabadian dalam sastera - kerana katanya kemunduran seorang penyair di hujung usianya berlaku kerana dia telah kembali kepada Tuhan. Dan tambahnya: ini ialah tradisi penulisan Islam. Saya terdiam. Seperti Andre Gide hanya mampu terdiam ketika mendengar Oscar Wilde bersyarah kepadanya. Atau seperti T. S. Eliot hanya mampu terdiam dan melutut di hadapan pintu gereja ketika dia berada di Itali. Atau kita hanya mampu terdiam ketika Marsli. N. O. mendeklamasikan puisinya. Atau saya hanya mampu terdiam, menahan ketawa, menahan malu, menahan gelora, menahan pesona, di saat Philip Roth menelanjangkan kata-kata di halaman-halaman ranjang novelnya. Atau saya, atau anda, atau kita, atau mereka, atau bukan sesiapa, atau barangkali saya sahaja, yang terdiam, tanpa soalan, dan tanpa jawapan, setiap kali penjelasan sebegini diberikan. Seolah-olah masih ada kata-kata yang tertinggal di dalam botol dan belum dituangkan habis kepada kita. Atau barangkali penyairnya lupa. Atau barangkali buat penyair itu segelas air sudah cukup buat suatu penjelasan wacana. Atau barangkali gelas seorang pengkritik itu terlalu kecil berbanding sejumlah kata-kata basah dalam botol pemikiran seorang penyair.

Tentang Muhammad Haji Salleh, gelas saya sudah penuh selepas Salju Shibuya. Puisi-puisinya sekarang membuat gelas saya melimpah. Dia perlu tunggu saya habis minum dan kembali dahagakan kata-kata intelektualnya, walaupun bukan kata-kata jenis itu yang membuat minda saya bertukar menjadi perahu kertas dan celana di kamar mandi, kerana kata-kata Muhammad itu hanya ibarat sirih tercantik yang dihidangkan kepada pelancong asing, dari Barat, yang tidak tahu apatah lagi berminat untuk mengunyahnya. Kemudian Latiff. Bilakah Sungai Mekong akan datang lagi? Hati saya ibarat dataran Nile yang kontang dan sedang menanti banjir Sungai Mekong untuk melimpahkannya kembali dengan kata-kata segar. Seterusnya T. Alias Taib. Gelas saya belum penuh. Boleh tambah lagi? Oh, saya lupa; saya berada di puncak piramid. Dan T. Alias Taib masih sibuk menjual sirap dan nasi dagang di pasar pengalamannya. Rahimidin Zahari? Ini kita kena tunggu dia keluar dari kebun khatulistiwa memegang matahari di telapak tangannya yang berlumpur. Marsli N.O.? Zaen Kasturi? Shamsudin Othman? S. M. Zakir? Saya memasang teleskop dan saya lihat mereka di puncak Parnassus dan masih menanti Dante untuk menjemput dan membawa mereka terbang melepasi sembilan petala langit ke syurga. Tetapi lama mana mereka ingin kita tunggu sementara mereka pergi mencari Tuhan? Kerana di pelabuhan Kemala sudah siap dengan bahteranya untuk membawa sastera Malaysia kembali ke nusantara.

Kata-kata seorang pengkritik memang selalu tidak disenangi oleh penulis dan pembaca. Bukalah sejarah hidup mana-mana tokoh pengkritik dan anda akan menemui kesan parut di setiap halaman dan setiap kata-kata yang mereka telah tuliskan. Itu ialah harga yang perlu dibayar oleh mana-mana pengkritik. Sainte-Beuve membayar harga yang sangat tinggi untuk kritikannya dan menemui paku paling dalam pada pintu kerandanya daripada penulis generasi kemudian seperti Marcel Proust dan Millan Kundera. Di Jepun nasib sama turut menimpa Kobayashi Hideo. Dia ialah pengkritik moden pertama mereka dan juga pengikut kritikan liberal Sainte-Beuve. Esei-esei kritikannya mula ditulis sekitar tahun 1924, dan apabila kita sampai ke eseinya di tahun 1939, kita sudah mabuk dengan sastera Perancis; Baudelaire dan Rimbaud ialah dua botol arak yang sentiasa tersusun di atas meja kritikannya. Dan botol-botol ini juga ialah senjatanya. Dia tidak akan teragak-agak untuk memecahkan kepala mana-mana penulis Marxis (kita sudah boleh membayangkan kepala Kassim Ahmad berdarah dibelasah oleh Hideo). Tetapi nak kata Hideo itu kritikus yang keras juga tidak betul. Dia bukan Mohd. Affandi Hassan. Ketegasan memberikan pendapat ialah sifat lumrah yang kita harapkan daripada mana-mana pengkritik. Dan ketegasan Hideo, seperti Sainte-Beuve, ialah untuk mempertahankan kebebasan seorang pengkritik dalam memberikan pendapatnya secara kreatif. Cuba lihat tulisan reaksi yang dibuat oleh Hideo terhadap kritikan Nakano Shigeharu:

"You characteize me as someone consumed in the effort to unleash chaos on the language of criticism. I am seen to be an obstacle to literary progress, a producer of imbecilic epigones. You say that critics like me must be brought to heel. I will not say that you are not entitled to such grand pronouncements. Still, your view of me does seem colored by extreme emotion.

If I were indeed the type you describe, how could I possibly sustain myself writing criticism? Surely it is self-evident that a man who struggle to make chaos of the language of criticism and who displays that struggle in his own writing would be unable to survive no matter how chaotic his surrounding society might be. I believe there is another reason why I have been allowed to exist as a critic. In fact, as I was thinking about this reason, I even hoped that the arrow of your censure would target it. But you cannot see me for what I really am. Your anger clouds your vision.

...

Even since I wrote the essay Multiple Designs in Kaizo, I have continued to write criticism on the principle that all theories or methods are but designs worn by critics, and that true criticism begins with what is left to be said after one has cast off each and every design. Even today I have not wavered from the fundamental belief... My criticism has been crowned with an array of adjectives: subjective, dogmatic, psychological, irrational, among others. At the level of surface description, perhaps any and all of these adjectives will do. Yet for me, one fact is certain. I always circle about the same place. No matter what direction I set out toward, I suddenly catch myself circle back to this place. By the same place I mean the space where criticism bears witness to the self, or where not bearing self-witness is also possible. I have been prey to a whole range of doubts and convictions over the years, but have always clung to a belief in the fundamental ordinariness of the critic. Whatever the particular method or theory, all issues from this basic principle. It may happen that some theories, even under these conditions, never flower but die in a barren field. I feel such things are inevitable in criticism."

* * *

Dalam perbualan saya bersama penulis-penulis UKM yang saya sebutkan di permulaan esei ini, saya menemui suatu kenikmatan mendengar mereka menceritakan pengalaman indah membaca Eka Kurniawan dalam Cantik Itu Luka, puisi Sapardi Djoko Damono, puisi T. Alias Taib, dan novel Pramoedya Ananta Toer, terutama sekali Gadis Pantai. Kemudian sewaktu pulang baru saya sedar yang mereka bukan pun pengkritik. Hanya pembaca. Tetapi kata-kata penulis ini tetap basah apabila dituang ke dalam gelas saya yang sangat kecil. Walaupun belum lagi penuh.




Comments

Anonymous said…
Salam,

Ada dua persoalan yang muncul di fikiran setelah membaca artikel ini.

a. Penulis-penulis UKM?
b. Pengalaman indah membaca Eka Kurniawan dalam Cantik Itu Luka?

Bolehkah bantu menjelaskan makna?

Terima kasih.
Wan Nor Azriq said…
This comment has been removed by the author.
Wan Nor Azriq said…
Saya tidak boleh,kalau saya mahu sekalipun,walaupun tidak salah,tetapi saya memilih untuk memberitahu dan tidak menyebut nama di sini.Anggap sahaja mereka penulis yang sedang atau pernah atau barangkali masih,dan saya fikir kemungkinannya agak tinggi, walaupun ia hanya andaian,mereka masih belajar di UKM.

Saudara ss,sekiranya saya boleh turunkan di ruang komen ini,dengan dindingnya yang sempit dan ruangnya yang padat,jawapan, bersama penjelasan,atau contoh menyakinkan,yang akan menjelaskan kepada anda,dalam pada masa sama memuaskan,kalau saya mampu,selera,atau minat anda pada penejelasan saya dalam esei ini tentang Cantik Itu Luka, yang,menurut saya, setelah melalui beberapa kali pembacaan(mungkin empat kali), mempunyai binaan bahasa,dan,sudah tentu,naratif yang begitu memikat,dan membuat kita,kalau anda boleh membayangkan kita berada dalam sebuah keretapi loko,bergerak ke depan,dan menyusuri,hutan,gunung,lautan,yang Encik Eka Kurniawan telah,atau cuba - dia berjaya - untuk menggoda dan memikat kita untuk terus menetap di baris-baris novelnya seolah-olah kita akan menetap dan berguling dan bermalam di ranjang seorang wanita yang begitu cantik pelukisan wataknya iaitu Dewi Ayu,dan,saya percaya,seperti saya katakan tadi,saya akan melakukannya,dengan panjang lebar kalau perlu,tetapi nampaknya anda hanya perlu tunggu,dan saya juga perlu tunggu,untuk kedatangan ruang penulisan yang lebih besar dan kekal abadi.

Terima kasih.
Anonymous said…
Salam,

Ya, ada banyak orang yang muncul sebagai penulis-penulis UKM. Mungkin saya kenal, mungkin juga tidak. Gelaran (gagasan) tidak penting, tetapi apa yang dibawanya, ya!

Saya sudah membaca Cantik Itu Luka (dua kali) dan beberapa karya awal Eka Kurniawan. Saya kira waktu dia menulis CIL, dia masih orang muda yang rakus, yang marah-marah dan yang ingin memberitahu, yang cantik itu mesti (sepatutnya) harus penuh dengan luka-luka. Ya, ketika menulis CIL, saya kira Eka Kurniawan masih seorang muda yang takjub kepada luka.

Saya cuma ingin tahu pengalaman indah orang lain membaca CIL Eka Kurniawan.
Saya cuma ingin tahu sahaja.

Saya belum (ingin) baca karya Eka yang terbaharu. Mungkin Eka Kurniawan kini telah sembuh dari luka-luka orang mudanya.

Terima kasih.

Popular Posts