Anekdot Tiga Pemburu Alam

ditulis selepas membaca cerpen Roslan Jomel, Mesej


Tiga orang pemburu pada suatu hari sedang menyusuri sebuah hutan apabila di tengah perjalanan mereka terjumpa seekor anjing yang terperangkap di dalam sebuah lubang gelap. Masing-masing mengambil tempat duduk mengelilingi lubang itu seolah-olah mencari posisi sesuai untuk berfikir.

Anjing itu menyalak.

Pemburu Pertama berasa kasihan mendengar salakkan anjing itu dan ingin terus menamatkan riwayatnya.

"Untuk apa lagi ia hidup? Untuk apa lagi ia bermanfaat pada manusia melainkan mengingatkan kita kepada kematian? Semakin lama saya melihatnya semakin saya merasakan yang hidup ini begitu singkat kerana pada bila-bila masa sahaja kita boleh berada di tempat anjing itu. Barangkali ia pernah menjadi milik seorang tuan dan barangkali ia telah berkhidmat dengan begitu setia pada tuannya sehingga tiba masa dan usia yang ia tidak dapat berkhidmat lagi. Lalu ia dicampakkan ke dalam sebuah lubang untuk mati. Fungsinya sudah tidak ada. Seperti mana-mana makhluk alam, apabila berada di hujung usia, ia harus kembali kepada tanah. Nak biar hidup lama-lama nanti akan menyusahkan orang lain. Dan bukan itu tujuan Tuhan menciptakannya. Ia bukan dicipta untuk menjadi suatu objek alam yang sia-sia. Ia bukan sebuah trofi yang boleh digantung pada dinding sebagai hiasan seni. Ya, seperti anda berdua juga, saya memang memburu binatang, tetapi saya tidak melakukannya atas dasar hiburan. Memburu itu bukan suatu kesenian buat saya. Kita ada tanggungjawab pada alam seperti alam ada tanggungjawab pada kita. Seorang pemburu yang bertanggungjawab melakukan pemburuan kerana dia tahu tempat dan peranannya dalam masyarakat."

Anjing itu menyalak.

Pemburu Kedua berasa cemburu dan kalau boleh ingin bertukar tempat dengan anjing itu.

"Untuk apa lagi aku hidup? Untuk apa lagi aku menjadi pemburu kalau tidak ada beza pun antara aku yang memburu dan binatang yang diburu oleh aku? Semakin lama aku melihatnya semakin aku merasakan yang aku dan anjing itu ialah makhluk alam yang sama. Dan untuk apakah lagi alam diciptakan melainkan untuk menjadi cermin kepada peribadi manusia? Itu yang harus kita belajar apabila kita berdepan dengan alam. Kita harus melihat alam itu dengan seadanya. Kau bercakap tentang peranan anjing itu kepada manusia, tetapi bagaimana kau boleh tahu peranannya kalau kau tidak terlebih dahulu memerhatikan kehidupan anjing itu dengan teliti? Simpati kau bukan pada alam. Simpati kau ialah pada masyarakat yang telah melantik kau menjadi pemburu. Kau tidak ada beza pun dengan seorang pemikir dan juara pidato yang sentiasa memaksa alam untuk tunduk pada sesuatu teori atau ideologi. Kalau boleh dibawa balik, anjing itu akan kau kurung di dalam sangkar atau diikat pada pokok untuk melindungi kesalamatan rumahmu. Padahal kalau aku yang dapatnya, anjing itu akan bebas bermain di dalam rumahku. Akan aku layan anjing itu seperti aku layan saudara aku sendiri. Seperti aku layan diri aku sendiri. Dan kalau pada mulanya ia tidak pandai... aku akan perlahan-lahan ajarnya sehingga ia dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan aku. Betul apabila kau kata yang alam dicipta untuk memberikan manfaat pada manusia. Tetapi kau tidak akan dapat apa-apa manfaat melainkan kau belajar untuk menerima ia dengan seadanya. Lagipun kenapa hendak membunuh sesuatu yang sudah sempurna?"

Anjing itu menyalak.

Pemburu Ketiga, yang sedang asyik mendengar suara seekor burung nightingale, tersentak dari lamunannya dan terus mengambil senapang di atas tanah lalu melepaskan tiga das tembakkan ke tubuh anjing itu.

"Maaf ya, untuk apa lagi kita bersedih dan berfikir? Untuk apa lagi kita memburu kalau kita memburu hanya untuk mencari sesuatu yang tidak indah? Buang masa sahaja. Ah, tadi anda kata hidup ini singkat. Ya, hidup ini memang singkat. Tetapi singkat untuk apa, saya tanya anda? Untuk menangkap anjing tua? Untuk menangkap harimau paling gagah? Untuk menangkap angsa paling cantik? Anda berdua memandang alam dan kehidupan ini seperti seorang kanak-kanak yang membina istana pasir di pantai dengan harapan ia akan kekal abadi. Namun pada bila-bila masa sahaja ia akan hilang ditelan ombak. Kepada seorang pemburu, alam ini hanya ibarat butir-butir pasir yang gugur di celah jari-jemarinya. Alam tidak ada apa-apa manfaat kepada manusia kerana bukan alam yang melahirkan manusia, tetapi manusia yang melahirkan alam. Matahari itu menerangi mata seorang manusia, tetapi ia hanya memancar dalam minda dan hati seorang manusia yang mencintainya. Ia memancar pada mereka yang mencari keindahan. Bangsa Yunani memanggil alam ini sebagai kosmos yang bermaksud keindahan. Dari satu sudut, memang betul, untuk kita memandang alam ini dengan seadanya kerana pemburu yang sebenar bukan senapang di tangan kita, tetapi mata. Dan juga hati. Kedua-duanya tidak boleh terpisah. Wilayah alam ini begitu luas dan padat dengan imej tidak bermakna; hanya dengan mengikut intuisi hati dan kebijaksanaan fikiran, baru mata kita akan menemui kekasih alam yang terindah. Oleh sebab itu juga adalah sia-sia untuk kita melihat alam ini dengan seadanya apatah lagi meratap seolah-olah dengan mensalibkan seekor anjing, atau apa jenis binatang sekali pun, pada tiang gereja, seluruh nasib umat manusia akan diselamatkan daripada kesengsaraan. Hati manusia itu ibarat seorang kanak-kanak buta sedang mencari jalan keluar dari sebuah hutan yang tebal. Suara alam datang menjerit ke telinganya dari setiap penjuru; ia menjadi keliru; dan kalau tidak berhati-hati ia akan jatuh ke dalam lubang; tetapi apabila ia diajar untuk mentafsir dan mendengar dengan teliti, maka ia akan dibimbing untuk menemui kebenaran. Alam ini diciptakan hanya untuk dimusnahkan dan diciptakan semula oleh manusia."

Tiba-tiba dari celah semak melompat keluar seekor rusa dan ia berlari dengan kencang menuju arah matahari terbenam di kejauhan antara dua puncak gunung. Ketiga-tiga pemburu itu memandang antara satu sama lain dan seterusnya beredar.


Comments

Anonymous said…
Salam,

Pernahkah membaca The Three Fish karya Rumi? Kurang lebih tafsirannya begitulah, sama seperti cerita di atas. Percakapan menuju tiga angan-angan, dan melepaskan hal yang aktual. Atau paling dekat, kita jadi ingat ke anekdot2 dari Idries Shah. Seperti ini jugalah ia.

Sayang sekali, sastera Melayu kita tak lagi memacu ke arah gaya tulis seperti yang Sdr. Azriq lakukan dalam anekdot di atas.

Ada apa akhirnya dengan sastera kita? Seperti anjing yang menyalak? Atau rusa yang terlepas dari genggam? Atau tak lain dari tiga pemburu yang lugu?

Saya semakin terkenang-kenangkan Gibran. Rasa-rasanya, Gibran juga bercakap perkara yang sama. Ya! The Three Ants.

Mungkin seharusnya kita kembali berguru kepada semua, yang bukan manusia.


SS
Wan Nor Azriq said…
Saudara ss,

Saya pernah membacanya beberapa tahun lalu,kalau ingatan saya betul,dan,sebelum saya lupa,terima kasih kerana mengingatkan saya akan karya itu,walaupun,menurut fikiran saya,ketika menulis,dan juga selepas membacanya semula,saya tidak berniat untuk membawa,kalau tafsiran saya betul,sebuah cerita yang bersifat mistik seperti Rumi dan Gibran.

Tentang sastera Melayu,saudara ss,ia mengundang tafsiran berbeza,serta pandangan berbeza,dari pembaca berbeza,termasuk saya,dan dengan itu,barangkali,cerita ini akan menyediakan jawapannya tersendiri buat semua orang

Popular Posts