Goenawan, Jassin, & Montaigne


Antara semua ahli falsafah, Blaise Pascal ialah yang paling tidak menyenangi tulisan Michel de Montaigne (seorang lagi ialah Rene Descartes tetapi dia mengelak lebih jauh dari bayang Montaigne berbanding Pascal). Membaca Pensees ialah seperti membaca sisi gelap dari kumpulan esei Montaigne; ia adalah seperti Macbeth yang dirasuk oleh hantu pemikirannya; atau Hamlet yang dirasuk oleh hantu ayahnya (dalam kes Pascal, hantu itu ialah Montaigne). Ketakutan dan kritikan Pascal terhadap Montaigne berlaku kerana dia melihat dirinya dalam diri Montaigne. Kalau Montaigne berasa simpati ketika melihat seekor anjing lemas di dalam air, Pascal sebaliknya berada di tempat anjing itu ketika berdepan dengan Montaigne. Tidak ada sesiapa yang boleh menyelamatkan Pascal daripada ketakutan ini.

Kecuali mindanya sendiri. Dia memilih untuk menulis. Dia memilih untuk mengkritik Montaigne bagi meruntuhkan tembok skeptik yang dibina begitu kukuh oleh Montaigne. Tetapi dia gagal. Ramai penulis yang gagal sebenarnya apabila berdepan dengan Montaigne; bapak kepada semua penulis esei dan pengkritik yang lahir ke dalam sastera. Kritikan Montaigne itu bukan seperti kritikan yang kita faham sekarang; dia tidak pernah berkhutbah; dia tidak pernah mengajar; dia tidak pernah menghina apatah lagi merendahkan maruah manusia lain; dia tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan kepada dunia suatu ilmu atau gagasan atau falsafah; dia hanya ingin melukiskan dirinya dengan sejelas mungkin kepada kita. Kritikan Montaigne ialah kritikan terhadap diri Montaigne. Dia ialah manusia pertama yang melakukannya secara terbuka dan bijaksana. Dan tradisi ini berterusan sampai sekarang. Dalam penulisan prosa mahupun puisi.

Sesungguhpun Montaigne ialah manusia yang paling arif tentang misteri dan raut wajah hati manusia, dia bukanlah orang yang kita boleh gelar sebagai pengkritik. Dia bukan Sainte-Beuve atau H. B. Jassin. Kebijaksanaan Montaigne terpahat bukan melalui buku semata-mata, tetapi juga melalui pergaulannya dengan dunia. Kita kena ingat yang Montaigne hidup di Perancis pada abad ke-16; dia tidak ada James Joyce untuk mengajarnya tentang novel atau Franz Kafka untuk menceritakan padanya parable orang Yahudi; dia hanya ada karya klasik dari penulis seperti Plutarch dan Cicero sebagai panduan untuk dia pelajari bagaimana untuk hidup dan mati. Selebihnya Montaigne belajar tentang kehidupan dari persekitaran masyarakat dan pergolakkan politik di Perancis pada masa itu.

Tentang tabiat pembacaan Montaigne, dia ialah orang yang sangat cerewet, malah kita boleh kata malas. Dia akan hanya baca karya yang dia suka dan memberikan inspirasi - karya yang boleh menjadikan dia lebih bijaksana. Itupun dia tidak boleh membaca buku lebih daripada sejam. Kalau Montaigne itu seorang sarjana di zaman sekarang, kita sudah boleh membayangkan dia tertidur atas meja selepas sejam mendengar pensyarahnya menceritakan makna dalam puisi epik Dante. Bacaan atau pengajaran ilmu seperti ini terlalu berat untuk minda kita. Buat apa nak membuang masa? Kalau sebuah buku itu susah sangat untuk difahami isinya, tutup sahaja, dan cari buku lain. Montaigne sentiasa memilih jalan hidup yang sederhana. Terutama sekali dalam soal pembacaan.

Sebagai seorang pemilik tanah yang tinggal dan menulis dalam menara sebuah kastil, barangkali jalan hidup sebegini adalah mudah untuk ditempuhi. Tetapi sukar untuk membayangkan seorang pengkritik sastera melalui kehidupan yang sama. Montaigne mengajak manusia untuk keluar dan menjadi pengembara; dia sendiri telah mengembara sampai ke Rome dan Venice. Kepelbagaian ragam manusia ialah tempat Montaigne mengenali kehidupan. Buat seorang pengkritik, dia tidak ada masa untuk makan angin di luar negara dan memerhatikan setiap manusia yang melintas depan matanya. Semua itu terlalu membosankan. Terlalu mentah. Seorang pengkritik hanya inginkan yang terbaik dan terindah daripada kehidupan. Dan dia akan dapatkannya melalui sastera.

Sebelum kemunculan H. B. Jassin di Indonesia, pengkritik sastera paling gigih ialah Sainte-Beuve (juga seorang Perancis). Hidup dan matinya, seperti Jassin, ialah untuk menyelesaikan urusan kesusasteraan. Namun, mengikut kata Goenawan Mohamad dalam eseinya, urusan ini tidak pernah selesai, walaupun selepas Jassin telah meninggal dunia. Sepanjang masa sebuah novel baru akan dicetak, dan setiap minggu akan ada cerpen dan puisi diterbitkan dalam akhbar. Seorang pengkritik tidaklah wajib membaca semuanya; masa dia terhad; usianya singkat; jumlah manusia di dunia ini terlalu ramai untuk dia kenali. Biarlah masa itu digunakan pada karya yang berbaloi untuk dibaca. Biarlah dia memisahkan diri sekejap dari urusan dunia di luar kamar penulisannya. Biarlah dia bersama sastera, dan hanya bersama sastera, untuk dia lebih mengenali wajah sastera yang dicintainya.

H. B. Jassin pernah dituduh sebagai orang yang buta kepada urusan di luar sastera. Goenawan menjelaskan bahawa "ia seperti mengabaikan politik, dan seakan-akan memisahkan isi tulisan dari perbuatan." Tetapi sama juga halnya dengan Sainte-Beuve. Atau di zaman ini, Harold Bloom. Urusan remeh tentang hal-hal keduniaan tidak penting lagi buat seorang pengkritik. Dia hanya inginkan kebenaran sastera. Seperti seorang penyair itu inginkan kebenaran melalui suara kata-kata. Tidak ada gunanya seorang penyair itu turun bermandi darah di depan bangunan parlimen kalau dalam puisinya dia hanya bermandikan kata-kata yang polos dan prosaik.

Mana-mana seniman harus menempuhi kehidupan yang padat. Dia tidaklah semestinya masuk penjara seperti Cervantes dan Dostoyevsky. Gustave Flaubert, James Joyce, dan Marcel Proust menempuh kehidupan biasa, dan ada waktunya membosankan, seperti kebanyakkan orang. Tetapi cuba lihat hidup mereka betul-betul. Tidak ada satu hari yang terpisah daripada sastera.

Ini ialah deskripsi Goenawan tentang kehidupan Jassin sebagai pengkritik:

"Sejak hampir 50 tahun yang lalu sosok ini, yang pemalu dan sopan tapi sebenarnya penuh api, menulis tinjauan tentang karya-karya sastra, memperkenalkannya ke khalayak ramai, memberi tempat bagi penyair dan novelis baru, mengajar, menghimpun tiap carik tulisan atau dokumen yang dianggap penting tentang sastra dan sastrawan, mendengarkan pujian dan makian - bahkan ancaman - terhadap dirinya, semuanya untuk kesusastraan Indonesia modern. Penyair Taufiq Ismail dengan tepat menyebut bahwa dalam usia ke-70 itu, hidup H. B. Jassin bukan hidup yang panjang, tapi padat. Buat apa? Karena apa? Jawabnya: kesusastraan. Satu urusan yang serius."

Kita yakin ia memang sangat serius. Goenawan pasti lebih tahu setelah menulis esei tanpa henti untuk TEMPO. Bukan semua tulisannya itu ialah kritikan sastera, dan Goenawan sendiri bukanlah pengkritik yang bagus. Namun sebagai penulis esei - sebagai seorang penyair yang menulis prosa seolah-olah dia menulis puisi - dia ialah yang terbaik di Indonesia. Mengatasi Jassin. Malah mana-mana penulis esei dan pengkritik di Malaysia. Di tangan Goenawan, pena sastera Indonesia akhirnya menulis, menulis, dan menulis di halaman buku sastera dunia.



Comments

MARSLI N.O said…
Semoga Wan Nor Azriq juga ke sana. Cuma tidak perlu berpaling.

MARSLI N.O

Popular Posts