Perbualan Dengan Aidil Khalid Yang Bukan Aidil Khalid



*
Semasa saya menulis perbualan ini penulis yang bernama Aidil Khalid masih hidup. Perbualan ini sebenarnya ialah perbualan saya dengan diri saya sendiri. Seperti Cynthia Ozick pernah mencipta perbualan dengan dirinya melalui watak Henry James. Atau perbualan Philip Roth dengan Philip Roth dalam buku Reading Myself and Others. Hasan Aspahani, seorang pencandu puisi tahap kritikal, pernah mencipta perbualan menarik antara dirinya dengan gergasi-gergasi puisi Indonesia iaitu Chairil Anwar, Sapardi Djoko Damono, Sutardji Calzoum Bachri dan Goenawan Mohamad. Membaca pendapat penyair-penyair besar ini membuat Hasan kelihatan seperti budak nakal yang sedang dirotan oleh pengetua sekolah. Tetapi perbualan seorang manusia dengan dirinya memang suatu bentuk sadisme perasaan dan minda. Shahnon Ahmad sudah tentu lebih arif untuk menceritakan kepada kita tentang sadisme yang dia lakukan - dan kemudian cuba tinggalkan - melalui penulisan.

Di zaman pascamoden ini seorang penulis sentiasa mempersoalkan batas hubungan antara dirinya dengan alam. Batas hubungan antara dirinya dengan bahasa. Lalu, mahu atau tidak, dia akan menghadirkan dirinya dengan jelas dan nyata dalam karyanya. Dia menjadikan dirinya Hamlet yang menonton teater yang dicipta oleh Hamlet sendiri. Dia menjadi seperti seorang pelakon rancangan realiti TV yang mencari dan mencipta identitinya berdasarkan pendapat penonton umum. Roslan Jomel sangat memahami dilema ini. Dalam setiap cerpennya itu dia seperti sentiasa mencerminkan diri melalui watak-wataknya. Lebih ekstrem ialah pembedahan diri yang dilakukan oleh Fernando Pessoa. Kalau boleh dibuka pintu mindanya kepada kita, maka, dunia ini akan dihuni oleh ribuan alter-ego atau heteronym ciptaannya. Pessoa itu bukan sekadar sadis, malah dia telah membunuh diri untuk bersatu dengan alam. Bersatu dengan bahasa.

Pessoa mencipta Bernardo Soares sebagai teman perbualan. Jadi saya mencipta Aidil Khalid - tanpa perlu membunuh Aidil Khalid yang sebenar - untuk saya berbual dengan satu sudut dalam diri saya yang, saya kira, amat digemari dan paling kerap dijadikan bahan inspirasi oleh para sasterawan kita. Dari bahagian ini juga lahirnya sastera Malaysia itu sendiri. Kita namakan sahaja bahagian ini sebagai intelektual. Atau, kalau nak lebih glamour, kita boleh panggil ia sebagai wacana. Bagaimana pula dengan pemikiran? Dan seterusnya falsafah? Dan, kita jangan lupa, ilmu? Persoalan-persoalan ini sebenarnya sudah dijawab oleh Aidil Khalid - yang sebenar, bukan ciptaan saya - dalam perbualan kritikalnya bersama Mohd Affandi Hassan. Sudah lama kita tidak mendengar Affandi berpolemik dengan penulis lain. Aidil itu sendiri bukanlah tukang polemik tetapi seorang peguam sastera (orangnya pun memang seorang peguam) yang kalau diusik, apatah lagi dicabar, akan membalas dengan hujah-hujah yang sistematik. Dan ketika saya mencipta Aidil Khalid, memang watak sebegitu yang saya inginkan: seorang penulis berfikiran sistematik. Malangnya saya bukan seorang peguam. Jadi Aidil Khalid dalam perbualan ini tidak lebih daripada cerminan terhadap diri saya.

Perbualan Aidil dengan Affandi mengingatkan saya kepada perbualan panas yang pernah berlaku antara Saul Bellow dan Gunter Grass. Turut hadir dalam majlis pada masa itu ialah Salman Rushdie, Adam Zagajewski, Allen Ginsberg, dan Nadine Gordimer. Dari sudut politiknya, Grass mempersoalkan kebebasan demokrasi yang, menurut Bellow, telah membolehkan majoriti rakyat Amerika membuat apa sahaja yang mereka suka. Bagi Grass, pendapat Bellow itu tidak melukiskan senario sebenar golongan terpinggir dan miskin di Amerika. Malah kebebasan demokrasi Amerika itu dikatakan -pendapat ini turut dikongsi oleh Rushdie - hasil daripada eksploitasi Amerika terhadap negara-negara lain di dunia. Dari sudut sasteranya, perbualan antara Bellow dan Grass ini sebenarnya berkisar tentang fungsi penulisan sebagai pembagunan rohani (Bellow, Updike, Zagajewski) dan alat kritikan sosial (Grass, Rushdie, Breytenbach). Ada juga yang memilih jalan tengah seperti Nadine Gordimer dan Allen Ginsberg. Dan Adam Zagajekwski itu sendiri pun pernah menulis puisi bernada kritikan sosial sebelum beralih kepada puisi yang lebih bersifat mistik atau pembangunan rohani. Hal sama boleh dilihat dalam karya Bellow, Updike, dan Rushdie.

*
Azriq*: Sudah habis baca novel Cormac McCarthy The Road?

Aidil: Belum (Minum Javachips Starbucks).

Azriq: Bukan taste awak saya rasa.

Aidil: (Ketawa) Betul. Saya tak boleh masuk dengan bahasa novel tu.

Azriq: Macam awak tak boleh baca novel Never Let Me Go.

Aidil: Dan juga Kafka On The Shore.

Azriq: (Ketawa) Itu memanglah. Tapi saya hairan juga awak tak boleh habiskan novel McCarthy sebab awak selalu sebut sebuah novel itu mesti kuat dengan nilai kemanusiaan. Bagi saya ini ialah novel yang tinggi nilai estetikanya. Hubungan antara watak ayah dan anak lelaki dalam novel itu memang padat dengan nilai kemanusiaan, walaupun, bukan itulah yang saya cari dalam sebuah novel, apatah lagi menilai kualiti seni sebuah novel atas dasar kemanusiaan.

Aidil: Setiap orang ada definisi sendiri tentang apa yang dikatakan sastera. Tidak ada definisi yang satu-satunya betul, dan tidak ada juga definisi yang salah. Sastera bukan akidah, yang hanya ada satu yang betul dan tidak boleh ada pluralisme di dalamnya. Kalau hendak diberikan tamsilan, sastera itu adalah seperti seekor gajah. Perumpamaan ini barangkali kedengaran janggal bagi khalayak penutur bahasa Melayu, tapi sebenarnya dalam perumpamaan Inggeris, ia selalu dipakai. “It is like an elephant,” begitu kata orang apabila mengungkapkan sesuatu yang sukar diberi definisi, “it is easier to be recognized than to be defined.”

Azriq: Jadi kalau Salina itu dituduh sebagai novel yang membela kejahatan, adakah maksudnya pandangan itu juga betul bagi menyokong tamsilan awak itu?

Aidil: Saya tak suka sebenarnya penggunaan istilah membela kejahatan. Kata yang lebih tepat ialah memaparkan kejahatan kerana kalau sama sekali pun ada kejahatan dalam novel itu, maka novel itu hanya memaparkan, bukan membela. Tentang tuduhan itu sendiri, saya tidak ada masalah asalkan tuduhan dilakukan secara beretika dan ada hujah yang menyokongnya.

Azriq: Yang penting bagi saya ialah cara kita memandang suatu objek seni. Tak kisahlah dari sudut kiri, kanan, atas, atau bawah. Yang penting ialah keindahan objek seni itu dinilai pada bentuknya dan juga kesan pada mata individu yang memandangnya. Ambil contoh sebuah lukisan dengan pemandangan kampung di Kedah. Dalam lukisan itu ada sebuah rumah di tengah sawah, budak-budak berlari-lari mengejar burung-burung putih berlatarkan langit biru yang diterangi samar-samar merah mentari menggunakan warna minyak yang tebal dan garisan berus besar pada permukaan warna langit dan hijau sawah. Seorang pemerhati mungkin akan kata lukisan ini cantik atas dasar lukisan ini membangkitkan rasa nostalgia dalam dirinya. Seorang lagi kata dia suka lukisan ini sebab ia memaparkan dengan jelas realiti sosial masyarakat Melayu di kampung dan ia membuktikan ideologi realisme sosial yang diperjuangkan oleh Kassim Ahmad. Dan datang seorang pemerhati yang kata lukisan ini macam mitos fantasi dalam Lord of the Rings. Atau bayangkan pemerhati itu ialah seorang teman terdekat si pelukis yang selepas mengetahui tempoh diperlukan untuk siapkannya terus berasa simpati lalu memilih untuk menyukai lukisan itu. Dan, untuk bagi lagi kompleks, kita bayangkan dalam lukisan itu ada sebuah masjid dan kubahnya itu mendapat pancaran yang terang-benderang dari garis cahaya yang menebuk awan bagai panahan dari syurga. Ini kalau dilihat oleh seorang pejuang teori Persuratan Baru pasti akan dinilai, dan mungkin diangkat, atas dasar lukisan itu tinggi dengan nilai Islamik. Ya, setiap seorang dari pemerhati ini pasti akan kata yang pendapat mereka tentang lukisan itu betul. Tetapi tidakkah awak rasa yang mereka sebenarnya tidak melihat pun lukisan itu sebagai sebuah lukisan? Penyokong PB itu, misalnya, hanya lihat dari aspek simbolik masjid itu yang kononnya membawa nilai Islamik. Simbol itu barangkali memberi kenikmatan intelektual dan kepuasan seni buatnya. Namun, hanya kerana ia memberikan kenikmatan, itu tidak bermakna ia adalah objek seni yang indah. Dan hanya kerana kita rasa dalam satu objek seni itu ada benda kotor, ia juga tidak bermaksud yang ia adalah tidak indah. Salina misalnya. Dalam hal ini saya bersetuju dengan awak. Walaupun novel ini ada watak pelacur dan mungkin benda-benda kotor yang lain, tetapi sebagai sebuah novel, kita tidak boleh menafikan kekuatannya. Ia berbeza kalau kita baca novel Othman Kelantan Wajah Seorang Wanita. Dari segi moral dan ideologi, ini memang novel yang bersih. Malah ia mengangkat martabat wanita Melayu. Tetapi sebagai sebuah novel, ia adalah novel yang sangat lemah. Othman Kelantan itu sendiri novelis yang lemah. Dia diangkat jadi sasterawan negara atas dasar Malay power yang dipaparkan dalam novel-novelnya. Sebagai seorang seniman, kalau nak bandingkan dia dengan Shahnon atau Eka Kurniawan, di manakah kegeniusan dia dalam mencipta sebuah novel? Tidak ada saya kata!

Aidil: Azriq, awak cakap seolah-olah dalam seni itu bentuk mempunyai kuasa mutlak. Padahal seni itu tidak boleh terpisah daripada masyarakat. Rasa saya seseorang pengarang sebenarnya boleh jadi seorang seniman, boleh juga jadi seorang propagandis.

Novel Salina karya Sasterawan Negara Pak Samad Said itu adalah sebuah novel yang dihasilkan oleh seorang pengarang seniman – hal ini kerana sebagai sebuah novel yang ditulis dengan aliran realisme, ia telah berjaya memaparkan watak-watak manusia dengan segala warna dan warninya dengan sangat jujur dan tulus tanpa sembunyi-sembunyi dan pengarang tidak sama-sekali bersifat hipokrit hanya untuk menonjolkan yang muluk-muluk. Watak-watak dalam novel itu terasa amat dekat dengan diri pembaca, walaupun pembaca seperti saya barangkali belum lahir ketika zaman tersebut. Tetapi kerana yang dipaparkan adalah sifat kemanusiaan dengan segala reaksinya berdepan pelbagai keadaan dan situasi, maka ia sebenarnya ada dalam diri setiap manusia tanpa mengira bangsa; tanpa mengira umur; tanpa mengira zaman bahkan. Setelah menutup ke halaman terakhir, para pembaca akan berasa puas kerana naluri kemanusiaannya telah disentuh, diusap-usap, diramas-ramas, malah sesekali disepak terajang oleh pengarang sebelum akhirnya dibiarkan lepas bebas kepada pembaca untuk kembali menenangkan nalurinya sendiri.

Novel Tuhan Manusia karya Faisal Tehrani pula, pada pendapat saya, adalah sebuah novel yang dihasilkan oleh seorang pengarang propagandis – hal ini kerana sebagai sebuah novel yang ditulis dengan aliran dan gagasan persuratan baru, ia telah berjaya memaparkan watak-watak intelek yang berhujah dengan sifat penuh keilmuan bagi menyampaikan propaganda Islamnya dalam usaha menghentam aliran liberal yang menyimpang dari ajaran tradisional Islam. Ketika menulisnya, pengarang dengan penuh sedar ingin berdidaktik. Justeru peranan pengarang bukanlah lagi sebagai seorang seniman, sebaliknya telah berubah menjadi seorang intelek – seperti seorang pensyarah yang mensyarahkan ilmu kepada anak didiknya – begitulah pengarang menkhutbahkan pelajaran kepada para pembaca. Para pembaca yang dahagakan ilmu akan berasa puas membaca novel ini, dan setelah menutup ke halaman terakhir – sama ada bersetuju atau tidak dengan apa-apa yang dipropagandakan oleh pengarang itu – pembaca tetap akan menjadi lebih pandai daripada sebelumya.

Azriq: Menjadi lebih pandai atau menjadi lebih ego daripada sebelumnya? Awak harus faham Aidil bahawa kita kadang-kadang mudah menjadi buta apabila suatu teks itu sekadar mengukuhkan prinsip atau keegoan kita berbanding menjadikan kita manusia lebih bijaksana. Ia adalah seperti mereka yang membenci novel Conrad dan menyukai novel Chinua Achebe atas dasar novelnya itu membawa pandangan penulis negara pascakolonial. Atau mereka yang menyerang Shakespeare kerana dalam drama The Tempest itu dia dikatakan merendahkan martabat orang dari kepulauan Carribbean. Kalau begitu kita patut haramkan sahaja pembacaan karya-karya sastera dari Barat kerana memang terang tidak ada sama sekali ilmu Islamik dan nilai orang Melayu di situ. Awak selalu sebut pentingnya nilai kemanusiaan dalam sebuah karya sastera, tetapi pernah awak fikir bagaimana seorang pembaca sebenarnya membentuk nilai itu dalam dirinya? Awak kata didaktik itu bagus. Saya tidak ada masalah dengan didaktik. Dostoyevsky dan Thomas Mann ialah antara penulis yang sangat didaktik (antara sebab juga Nabokov tidak menyukai mereka). Tetapi adakah garisan didaktik mereka itu berhenti di satu lapisan minda kita? Dengan Faisal itu yang saya rasa. Didaktiknya itu hanya memberikan saya satu lapisan ilmu. Kalau dia ikat jiwa saya dengan tali didaktiknya dan dia campakkan saya ke dalam laut, sekejap sahaja tali itu akan terputus dan saya sudah dapat berenang naik ke permukaan. Tetapi bukan itu yang saya nak! Saya nak Faisal membunuh saya dengan tali didaktiknya. Ya, biarkan saya terbenam ke dasar lautan yang diciptanya. Biarkan saya mati kalau boleh. Semoga apabila saya hidup semula saya akan menjadi Faisal Tehrani. Dan bukankah itu keinginan setiap penulis? Setiap seniman? Iaitu untuk menghamilkan pembaca dengan imaginasinya? Kaedah tidak penting bagi saya. Asalkan kata-kata seorang penulis itu boleh hidup dan bergerak liar dalam diri saya itu sudah cukup. Nilai kemanusiaan itu ialah makna dan rasa keindahan yang dibentuk dalam diri seorang manusia. Ia bukan sekadar idea atau ilmu. Ia adalah metafora. Pandangan hidup seorang manusia. Ilmu mungkin boleh mengasahkan pemikiran dan mengukuhkan keegoan seorang manusia. Tetapi tanpa metafora, seorang manusia itu akan terpisah dengan alam di sekelilingnya.

Aidil: Jadi bagi awak Faisal itu bukan novelis yang bagus? Antara Faisal dan Shahnon, saya lebih menyenangi bahasa Faisal. Shahnon itu hanya mengulang tanpa henti. Bahasa Faisal lebih jelas. Sastera itu ditulis bukan untuk seronok sendiri. Sasterawan macam Shahnon itu saya panggil sasterawan totok. Sasterawan totok adalah golongan sasterawan yang tak memikirkan aspek komersil dan hanya memikirkan keegoan nafsu seninya semata-mata. Sasterawan totok adalah golongan sasterawan yang tak pernah mahu berkompromi dengan keinginan dan kehendak pembaca dan pasaran.

Azriq: Nisah Haron? Atau Becky?

Aidil: (Ketawa) Itu belum boleh panggil lagi sasterawan.

Azriq: (Minum Dark Mocha Starbucks) Ada kawan-kawan kita yang baru terbit satu dua karya dah rasa diri mereka sasterawan. Siap buat bengkel penulisan lagi.

Aidil: Awak dah baca Dewan Sastera bulan ni?

Azriq: Perlukah baca? Ada karya siapa?

Aidil: Kemala.

(Sama-sama diam sambil tersenyum)

Azriq: Nak beli. Tetapi sampai sekarang belum cetak.

Aidil: Kasihan Kemala.

Azriq: (Senyum) Ya.


* Azriq dalam perbualan ini - seperti watak Aidil Khalid - juga sekadar hiperbola yang kata-katanya itu hanya untuk menjadikan perbualan ini lebih bernada polemik dan berilmu.

Comments

MARSLI N.O said…
Saya sangat suka membaca sejumlah metafora yang dilontarkan.

MARSLI N.O
Wan Nor Azriq said…
Terima kasih Encik Marsli N.O.

Popular Posts