Hujung Minggu Bersama Penulis


*
Dalam sastera pun ada politik. Banyak sebenarnya. Politik arus perdana - apa itu arus perdana tanpa politik - dengan politik arus perdana. Underground, yang nampak seperti tidak ambil peduli akan isu politik, pun ada politiknya.

Dunia penulisan ialah karnival permainan retorik dan muslihat.

Saya bukan nak kata yang penulis itu berkerja macam orang politik, walaupun dia memang kadang-kadang turun ke tengah masyarakat macam orang politik. Walaupun dia kadang-kadang berkhutbah dan berdebat dan bermaki-hamun dan berpolemik macam orang politik. Walaupun dia kadang-kadang, memang, akan pengaruh orang itu dan pengaruh ini; angkat orang itu dan angkat orang ini; jatuhkan orang itu dan jatuhkan orang ini. Walaupun kadang-kadang, atau boleh kata selalu, dia inginkan lidah penanya itu menjadi lidah politik.

Tetapi penulis itu bukan orang politik. Dia hanya meminjam sebahagian atau semua kerja orang politik yang telah disebutkan di atas.

*
Malam Maskara. 23 Julai 2011. Menyusuri jalan gelap dibayangi pohon-pohon tempat kereta pengunjung melepaskan lelah yang diheret sepanjang hari dari tengah kota. Setiap bulan menyusuri jalan sama. Dan saya tertanya-tanya tentang majlis seni yang sering diadakan di bawah payung kegelapan.

Rumah Pena: lampu-lampu neon menghiasi dahi yang berkerut dan lusuh. Nissa Yusof hairan melihat kamar perdebatan di tingkat dua itu terang dengan kerusi-kerusi tersusun kemas seolah-olah ada majlis sastera sedang berlangsung dengan sendirinya tanpa penonton.

Persembahan pertama: Rahimidin Zahari. Saya mula mengenali penyair ini pada tahun 2007. Di menara DBP. Aidil Khalid turut ada masa itu. Rahimidin membacakan puisi Sungai Mekong. Sangat sedap didengar. Tetapi di Maskara dia membaca sajak dari buku terjemahan Sapardi Djoko Damono. Rahimidin di tengah pentas. Lampu sorot kuning terang jatuh pada sosok kanan tubuhnya membuat Rahimidin itu kelihatan seperti seorang pahlawan panggung di hujung usia. Suara Rahimidin itu dalam. Sedikit melankolia. Sekejap dia memandang ke arah kita bagai mencari ruang untuk melontarkan kata-kata. Sekejap memandang ke arah lain. Saya bersama rakan-rakan duduk menyandar di dinding. Nissa dan Hani Salwah sibuk melihat gambar di telefon bimbit. Raihani serius: seorang penyair mendengar dan menjiwai bacaan puisi seorang penyair yang lain. Kamar Maskara bagai terpisah sekejap dari kesibukkan kota di luar.

Dalam sebuah majlis saya ialah orang yang jarang akan ada di suatu tempat pada tempoh yang lama. Tambah lagi apabila perbualan dalam kumpulan menjadi ramai. Saya suka mengasingkan diri sekejap. Di Maskara selalunya saya akan lari ke penjuru rumah Pena menghadap satu lagi rumah sastera yang, setiap kali saya tatap, mengingatkan saya pada rumah seram dalam cerita-cerita Edgar Allan Poe. Bukan itu sahaja rumah sastera kita. Ada banyak lagi. Di Kuala Lumpur sendiri. Malah di negeri-negeri lain juga. Tetapi berapakah bilangan rumah yang masih dihuni oleh orang sastera? Kalau ada, saya kira, hanya seorang dua penghuni yang kalau terus menghuni - mereka memang ingin pun - akan menjadikan mereka mayat hidup seperti Roderick Usher.

Saya meninggalkan Maskara awal malam itu. Dalam perjalanan pulang dua suara bergema dalam telinga saya. Satu ialah suara Rahimidin Zahari yang mendeklemasikan puisi. Dan satu lagi ialah suara Rahimdin Zahari yang saya kutip dari kata-kata, bait-bait, dan tajuk-tajuk puisinya dalam buku Perahu Fansuri. Anehnya: dua suara ini saling bertentangan dalam diri saya.

*
Saya suka membaca semula tulisan Yoshida Kenko apabila memikirkan tentang masa silam:

"In hours of quiet thought one cannot but be overcome by longing for the past. When, to while away the long nights after folk have gone to rest, we go through our old belongings, sometimes, as we throw away such scraps of paper as we do not want to keep, the handwriting of one who is no more, or an idle sketch maybe, will catch the eye and vividly recall the moment it was made. It is affecting, too, after the lapse of many years, to come across the letters even of one who is still living, and to call to mind the year and the occasion when they were written. The things they were wont to use have no heart, yet remain unchanged throughout the long, long years. A melancholy reflection."

*
Borak Buku. 24 Julai 2011. The Coffee Bean Kl Sentral. Saya membisikkan kepada Roslan Jomel tentang pengaruh penulisan yang kadang-kadang akan menyebabkan karya seorang penulis itu nampak seperti meniru karya orang lain. Itu belum ambil kira research yang seorang penulis buat sebelum mula menulis sebuah buku. Bukan cerita baru untuk kita dengar tentang seorang novelis yang menukarkan fakta dan menjadikan ia fiksyen. Nabokov banyak melakukan ini. Apatah lagi Shakespeare. Masa itu Rebecca Ilham duduk di depan kami. Dia baru sahaja menceritakan tentang cerpen Seno Gumira Ajidarma yang dikatakan meniru satu cerpen Leo Tolstoy.

Pada tahun 2006 Ian McEwan dituduh melakukan plagiat dalam novelnya Atonement. Antara novelis yang keluar mempertahankan McEwan ialah Thomas Pynchon. Ini ialah surat yang ditulis Pynchon kepada penerbit bukunya di England:

"Given the British genius for coded utterance, this could all be about something else entirely, impossible on this side of the ocean to appreciate in any nuanced way-- but assuming that it really is about who owns the right to describe using gentian violet for ringworm, for heaven's sake, allow me a gentle suggestion. Oddly enough, most of us who write historical fiction do feel some obligation to accuracy. It is that Ruskin business about "a capacity responsive to the claims of fact, but unoppressed by them." Unless we were actually there, we must turn to people who were, or to letters, contemporary reporting, the Internet until, with luck, we can begin to make a few things of our own up. To discover in the course of research some engaging detail we know can be put into a story where it will do some good can hardly be classed as a felonious act-- it is simply what we do. The worst you can call itis a form of primate behavior. Writers are naturally drawn, chimpanzee-like, to the color and the music of this English idiom we are blessed to have inherited. When given the choice we will usually try to use the more vivid and tuneful among its words. I cannot of course speak for Mr. McEwan's method of proceeding, but should be very surprised indeed if something of the sort, even for brief moments, had not occurred during his research for Atonement. Gentian violet! Come on. Who among us could have resisted that one?"

*
Solaris berada agak jauh dari pusat bandar. Kalau tidak ada kereta memang susah nak ke sana. Bangunannya moden dan rumit; satu blok bangunan bertindan atas blok bangunan yang lain; jejantas bersilang-silang bagai urat nadi. Majlis pada malam itu: tayangan filem pendek. Saya datang untuk bertemu dengan Ridhwan Saidi. Dia duduk satu baris di belakang saya. Masuk Aloy dan Fazleena ke tengah pentas sebagai pengacara. Nik Adam Ahmad masih sibuk membetulkan microphone. Di depan sekali ialah seorang budak lelaki bersama sebuah gitar.

Saya melihat sekeliling seolah-olah akan nampak seseorang yang saya akan kenal di situ. Padahal memang tidak ada.

Lampu gelap. Muncul Vovin mengambil tempat di depan saya sebelah seorang gadis berkaca mata tebal. Filem pertama: dokumentari tentang para aktivis seni mandiri. Dua puluh minit tayangannya. Dua minit selepas tayangan bermula saya dapat rasakan jari-jari saya berpeluh. Saya melihat sekeliling. Seperti tadi saya seperti mencari seseorang dari wajah-wajah asing yang sedang menantap skrin putih dalam kegelapan. Saya lihat mereka dan saya dapat rasakan yang mereka sedang melihat diri mereka di skrin. Dokumentari itu bukan sekadar dokumentari. Mereka bukan sekadar melihat Aloy atau Fazleena atau Sinaganaga atau Pyanhabib bercakap di skrin. Mereka sedang melihat sebuah diari sedang dibacakan kepada mereka secara visual.

Dua puluh minit duduk dalam panggung itu membuat saya rasa seperti sedang melalui apa yang disebut oleh Roland Barthes apabila seorang penonton wayang itu seakan-akan terapung dari tempat duduknya. Selalunya ini berlaku akibat kesan hipnotik sebuah filem. Dan memang begitulah tujuan sebuah panggung dibina: tempat untuk manusia berkongsi rahsia mimpi mereka dalam gelap. Cuba anda bayangkan, udara sebuah panggung itu sejuk. Penonton boleh melunjurkan kaki, makan, minum, berdakapan, berkecupan, seperti berada di dalam bilik tidur. Menonton filem ialah seperti melakukan seks dengan minda kita sendiri.

Tetapi ramai sahaja manusia yang menafikan keinginan seks mereka apabila berdepan dengan sebuah karya seni. Tak kisahlah ia filem, muzik, lukisan, atau sastera. Manusia ialah manusia seks. Dan seks bukan sekadar kepuasan fizikal. Seks ialah ekspresi diri kita. Ia melengkapkan hubungan emosi kita dengan alam.

Ibarat babak cult - meminjam frasa pengkritik nakal Fadli Al-Akiti - dalam sebuah filem: kita menanti kehadirannya walapun setelah berulang kali menonton. Fadli misalnya mendapat kepuasan sadisisme apabila Jack Nicholson melempang Faye Dunaway dalam Chinatown.

Saya sendiri mencapai suatu - kita anggap sahaja katarsis - emosi aneh apabila menonton babak terakhir filem Bonnie and Clyde. Bagi saya babak itu macam persembahan waltz dalam masa 60 saat. Bentuk persembahannya adalah lebih kurang begini: Warren Beatty, dengan kacamata hitam berlubang sebelah, sedang mengunyah epal hijau sambil memandu kereta; Faye Dunaway (sekali lagi!) mengiringinya di sebelah; mereka bakal masuk pentas persembahan; pentas mereka ialah sebuah latar pastoral Amerika yang nampak macam termuntah keluar dari dunia John Steinbeck; seorang petani menahan mereka; kereta berhenti; Warren Beatty masuk ke tengah pentas; tiba-tiba burung menerpa ke udara; persembahan sudah bermula; si petani menyembunyikan diri; dua orang penari kita menatap, buat kali terakhir, mata masing-masing; satu tembakkan meletup dari balik semak; Beatty yang pertama melompat ke udara; epal hijau di tangannya berkecai; Dunaway menggelupur menahan terjahan ratusan peluru bagai seekor binatang korban; muzik tembakkan semakin kuat; masing-masing penari kita menari dengan rancak; Beatty berguling di atas tanah; Dunaway tergedik-gedik di dalam kereta; tirai ditutup dengan Dunaway menundukkan badan ke luar pintu kereta; Beatty memusingkan tubuh ke arah penonton, kacamata hitamnya masih melekat di muka, lalu dia rebah mengucup tanah merah yang berdarah. Tamat.

Dari mula kita memang diajak untuk membenci Bonnie dan Clyde, dua orang perompak bank dalam filem ini. Babak seks mereka, yang nampak macam seks tetapi bukan seks pun, tidak membuat kita rasa simpati. Siapa yang ingin bersimpati dengan perompak yang membunuh orang sesuka hati? Tetapi setiap kali sampai ke babak terakhir itu saya tidak dapat menahan diri dari rasa sedih. Kebencian yang diperam dari mula itu sudah hilang. Yang tinggal ialah suatu kepuasan. Suatu kesempurnaan emosi.

*
"Nature seems (the more we look into it) made up of antipathies: without something to hate, we should lose the very spring of thought and action."
(William Hazlitt)

Susan Sontag pernah kata yang idea sastera itu muncul sebagai reaksi kepada idea sastera yang lain. Maksudnya sesuatu idea itu tidak pernah muncul dengan sendirinya. Jadi bagaimana pula dengan keaslian pemikiran? Kekuatan estetika? Pengembangan atau penciptaan suatu tradisi yang baru? Montagine menuntut manusia untuk melihat ke dalam dirinya. Tetapi dalam hal ini saya lebih suka beralih kepada seorang lagi penulis Perancis iaitu Paul Valery. Baginya manusia itu sentiasa menulis atas minda manusia yang lain. Adalah tidak cukup kalau kita sekadar membaca pemikiran seorang penulis. Tetapi kita mesti terlebih dahulu mengizinkan penulis itu untuk membaca minda dan perasaan kita. Ini menjadi susah apabila penulis itu bukan dari kalangan kita. Bukan orang Timur. Bukan orang Melayu. Bukan orang Islam. Akan timbul satu rasa takut dalam diri yang orang ini akan menjajah kita semula. Barangkali kita masih dijajah. Kehadiran suara asing itu hanya sekadar untuk mengukukuhkan lagi tembok penjara yang memang sudah sedia terbina dalam roh sebuah bangsa terjajah seperti kita. Maka lahirlah benteng atau kubu pemikiran yang dipanggil sebagai pascakolonial.

Saya tidak nampak bagaimana seorang manusia itu dapat mengenali dirinya apabila dia membataskan diri pada kehidupan. Dia lebih suka menjadi katak di dalam balang kaca. Asalkan kita berada di dalam balang dengan label yang betul kita sudah berpuas hati. Begitu juga dengan minda kita. Sebaik sahaja kita menutup satu sudut dalam minda kita, maka kita sudah tutup bahagian itu untuk tumbuhnya bahasa. Padahal seni itu hidup bebas dalam diri kita. Ia memerlukan padang luas untuk melompat-lompat dari satu sudut pemikiran ke sudut pemikiran yang lain. Dari situ akan munculnya bahasa.

*
25 Julai 2011. Starbucks. Bertemu dengan Sufian Abas. Katanya Sang Freud Press bakal ditutup. Dia sekarang ingin fokus pada SeLUT Press. Sufian menceritakan tentang Borges yang sangat memberikan kesan kuat pada penulisannya. Dia tidak menyenangi sastera dari Perancis. Tetapi sastera Malaysia dan Indonesia itu lebih membosankan buat Sufian. Hanya Eka Kurniawan yang dapat memikat seleranya. Pertemuan dengan Sufian membuat saya berfikir tentang buku-buku yang saya sendiri baca. Buku-buku yang saya pernah puji. Buku-buku yang saya tidak dapat habis membaca. Buku-buku yang sampai sekarang saya masih ulang membaca. Sudah tentu setiap orang mencari benda berbeza dalam sebuah buku. Seperti Sufian saya turut meminati Borges dan Saramago. Tetapi saya yakin kami mencari nikmat seni yang berbeza dalam buku kedua-dua penulis itu. Saya kira hidup ini ada banyak muslihat politik yang hadir dalam diri kita. Setiap manusia itu ada agendanya, ada peribadinya, ada sejarah hitamnya - ada politiknya. Kita sendiri pun sama. Dan dari sudut politik itu juga, akhirnya, kita saling menulis atas minda dan pemikiran masing-masing.


Comments

fadz said…
terima kasih untuk tulisan yang begitu indah, dan, haha mengutip kenakalan saya..
Rahimidin Z said…
tulisan yang saya suka. malam itu, yang saya baca bukan sajak saya, tetapi sajak dari buku terjemahan Sapardi Djoko Damono.
Wan Nor Azriq said…
terima kasih abang rahimidin.pembetulan sudah dibuat.

Popular Posts