Membuka Bilik Perbualan di Kritikus Sastera

Perbualan antara dua sahabat baik: Paul Auster dan Enrique  Vila-Matas

Setiap tahun blog sudah menjadi semacam rumah usang kalau dibandingkan dengan laman-laman media sosial yang lain. Tidak lama lagi, rasanya, ia akan ditinggalkan terus, dan blog akan menjadi muzium, atau rumah hantu dengan potret-potret orang tua tergantung pada dindingnya. Sekarang pun saya rasa seperti sedang bercakap keseorangan dalam gelap. Mungkin blog ini, saya terfikir, memerlukan tetamu untuk membuat ia bernyawa semula. Jadi, selepas hampir tujuh tahun menguruskan blog Kritikus Sastera, saya mengambil keputusan untuk membuka sebuah bilik perbualan. 

Kalau nasib saya baik, hujung bulan ini saya akan dapat tetamu pertama Kritikus Sastera. Ia bukanlah wawancara: saya kira sebuah blog mempunyai semangat yang lebih terbuka berbanding media bercetak. Saya jarang keluar menemui penulis, dan kalau ada peluang untuk berjumpa, saya memang menantikan perbualan yang panjang tentang buku dan penulisan. (Bagi penulis yang lebih suka duduk di meja kopi bergosip, berkongsi asap rokok, berkongsi mantel gagasan, berkongsi racun kutukan, maaflah, saya memang akan mengelak jauh.) Perbualan antara penulis, selalunya, tidaklah menarik; buat pemerhati luar, dan mungkin juga buat dua orang penulis (atau lebih) di meja tersebut, kerana ada kemungkinan salah seorang daripada mereka telah datang untuk menghiburkan egonya. Kita tahu suatu perbualan telah bertukar menjadi one-man-show ialah apabila hanya seorang penulis mendominasi perbualan. Mungkin orang ini tidak sedar pun, kerana mungkin dia fikir, dia ialah yang lebih senior; dia yang lebih berpengalaman; dia yang lebih intelektual; dia yang lebih hebat bekarya dan menerbitkan buku. Sebab itu saya tidak berminat dengan wawancara kerana ia membuka ruang luas buat seorang penulis memansakan egonya (kalau ia memang belum pun dipanaskan sebelum wawancara itu bermula). Saya mencari perbualan yang tidak memerlukan mana-mana penulis berada dalam situasi berjaga-jaga untuk menghunuskan pedang sebaik saja rakannya baru mencuit hidung. 

Perbualan antara Rachel Kushner dan Hari Kunzru ialah jenis yang saya suka (boleh dibaca di sini).
  

Comments

Anonymous said…
Bila bilik perbualan itu sudah dibina, dan jika anda mendengar ketukan di muka pintu, benarkanlah saya masuk. Saya akan duduk diam dan mendengar apa-apapun di dalamnya; termasuklah suara-suara yang sunyi. Terima kasih.

SSani
Anonymous said…
Banyak yg nak masuk ni.

Popular Posts