Mencari Buku Yang Sempurna (Bahagian Satu)


Rekaan sampul ialah benda pertama saya akan perhati apabila menarik keluar buku daripada rak. Kalau ia terlalu komersil atau generik, ada kemungkinan besar saya akan hilang selera untuk membelek apatah lagi membelinya. Justeru, saya menghadapi kesukaran membeli karya-karya klasik terbitan Penguin dan Vintage Classic kerana sampul buku yang terlalu jelik dan membosankan. Saya lebih rela memburu buku-buku terpakai, terutama sekali buku-buku lama Penguin yang mempunyai cetakan warna jingga pada kulit depan dan belakangnya. Selain itu, buku lama selalunya mempunyai lukisan yang dibuat khas untuk edisi itu. Sementara buku-buku kontemporari hanya mengambil lukisan atau foto terkenal sebagai hiasan sampul. Berikut saya kongsi beberapa buah buku yang saya anggap sempurna dari segi pengalaman estetik membeli dan membacanya. Ini ialah buku-buku yang saya tidak pernah bosan pegang dan membawanya ke mana-mana, walaupun ia bukanlah karya terbaik pengarang itu. 


Ketika zaman universiti, saya sudah ada sebenarnya kumpulan cerpen Franz Kafka. Tetapi tekstur kertas edisi itu terlalu nipis dan lincin; font terlalu besar; dan sampulnya sekadar letak grafik sebatang pen dakwat basah. Akibatnya, saya bukan sahaja jarang membuka buku itu, saya hilang semangat untuk membaca cerpen Kafka. Hanya apabila Picador menerbitkan edisi terbaru ini, saya kembali menikmati cerpen Kafka serta pengenalan bagus oleh Joshua Cohen. Pertama, saya tertarik pada gaya minimalis lukisan sampul yang berjaya menangkap imej, simbol, dan kepelbagaian parable mimpi Kafka. Saiz buku dan kualiti kertas selesa untuk dipegang. Kemudian pilihan dan cara Cohen menyusun cerpen dalam buku ini kelihatan kemas, mempunyai struktur naratif, dan berselang-seli di antara cereka pendek dan panjang. 


Saya menunggu lebih daripada 10 tahun untuk membaca Sputnik Sweetheart, salah satu karya awal terbaik Murakami. Masalah saya ialah masalah sampul buku. Saya tidak sanggup membaca novel paperback yang ada gambar perempuan separuh bogel terlentang di atas tilam. Edisi khas kulit keras Sputnik Sweetheart bukan sahaja cantik untuk diletak di atas rak, kertasnya senang dibelek, dan lukisan luarnya memberi keadilan sewajarnya kepada mood dan imaginasi Murakami. Saya anggap Sputnik Sweetheart sebagai salah satu novel pulau dan makan angin terbaik yang pernah dihasilkan oleh mana-mana pengarang. 


Sukar nak membayangkan buku Susan Sontag tanpa ada fotonya di kulit depan. Siapa lagi pengarang wanita yang mampu menggoda pembaca dengan karisma dan renungan intelektualnya? Ini ialah catatan-catatan diari awal beliau; namun setiap satunya sudah matang dan enak dibaca berulang kali. 


Kalau nak pilih buku Fernando Pessoa terbitan New Directions, terpaksa letak kesemuanya. Tapi saya paling suka The Complete Works of Alberto Caeiro. Satu-satunya penyair yang mengajar kita melihat melalui puisi. Kalau saya terkandas di atas bulan, saya ingin meneropong bumi dengan buku Pessoa di atas riba. 



Saya jarang membeli novel grafik. Tetapi Nocturnos oleh Laura Perez begitu memukau dari segi lukisan, mood, dan emosi keterasingan manusia di puncak malam. Melihat dan membaca novel grafik ini terasa seperti menjenguk ke dalam mimpi seseorang. Kalau saya ada masalah tidur malam, saya tahu buku apa nak cari sebagai ubat penawar.   

        

Comments

Popular Posts