Roland Barthes: Manifesto Menulis Novel
The Submissive Reader, oleh Rene Magritte |
"Its therefore possible that the Novel will remain at the level of - or be exhausted and accomplished by - its Preparation. Another title for this course (which will go on for several years, circumstances permitting) could be 'The Impossible Novel.'"
Tetapi kuliah Barthes tentang Persediaan untuk Sebuah Novel tidak berlanjutan selama bertahun-tahun seperti yang dia bayangkan, kerana pada tahun 1980 dia dilanggar oleh sebuah van ketika berjalan keluar daripada universiti yang dia memberikan kuliah tersebut. Dan ada kemungkinan "Novel" yang Barthes maksudkan itu bukan novel yang kita faham secara umum, tetapi merujuk secara spesifik kepada novel yang Barthes merancang (dan tidak pernah mula) untuk tulis. Lalu sebagai persediaan (atau perancangan tentang perancangan yang tidak pernah terlaksana), dia memberikan sejumlah kuliah antara tahun 1970 dan 1980 tentang Persediaan untuk Sebuah Novel.
Ketika membaca kuliahnya, saya terfikir, kenapa penulis Perancis begitu bimbang dengan penulisan? Atau kita boleh kata: kenapa memikirkan tentang penulisan lebih penting (dan menakutkan, barangkali) daripada penulisan itu sendiri? Seolah-olah menulis tidak penting (atau tidak bermakna) kalau penulisan itu tidak mempertimbangkan kesukaran penulisan tentang penulisan. Sekali lagi: hubungan sindrom Oblomov dengan kesukaran untuk menulis.
Saya tidak percaya pada sebarang manifesto. Tetapi tanpa Barthes sedari, dia telah memberikan suatu manifesto (atau ramalan) kepada penulisan novel di masa depan: The Impossible Novel. Bagi saya, ia bukan lagi tentang proses untuk menulis sebuah novel, tetapi persediaan (dan ketiadaan persediaan) untuk melakukan proses tersebut. Persediaan untuk menulis sesuatu yang tidak boleh lagi ditulis, melainkan dirancang sehingga ke tahap mustahil dan lelah.
Comments