Suara Kritikan Christopher Dominguez Michael


"Kita boleh lupa banyak benda, tapi kita tidak boleh lupa sastera Rusia."

Tulis Christopher Dominguez Michael dalam eseinya tentang novel terkenal Ivan Goncharov iaitu Oblomov. Kalau kebanyakan orang membaca Don Quixote secara tahunan (Faulkner ialah antara penulis yang saya tahu melakukannya), jelas Christopher Michael, dia sebaliknya memilih untuk mengulang baca novel Oblomov, dan yang memikat pembacaan Christopher ialah hubungan antara Oblomov dengan budak suruhannya, Zakhar (sejarah sastera ternyata sering menawarkan drama duet sebegini, seolah setiap watak fiksyen memerlukan tubuh kembar bagi mencerminkan kewujudan mereka). 

"Rasa cinta pada bentuk ini [iaitu kritikan]," kata James Wood, "ialah ciri utama untuk menjadi seorang pengkritik." Namun adakah itu sudah cukup? Kalau kritikan sastera ingin dianggap sebagai salah satu organ dalaman kesusasteraan, ia mesti bersedia, selalu, untuk diruntuhkan dan dimusnahkan dan dilupakan dan dicipta semula oleh pengkritik dari satu generasi ke generasi seterusnya. Cinta pada suatu bentuk itu ternyata indah, namun ia ada risiko untuk bertukar menjadi kemabukan sentimentaliti, dan mungkin juga menjadi suatu penyakit Oblomovka. Cinta pada suatu bentuk, dalam kata lain, mampu membataskan seorang pengkritik daripada membaca dengan lebih meluas dan teliti. 

Christopher Dominguez Michael (bersama Rodrigo Pinto, Vila-Matas, dan Bolano) ialah antara pengkritik yang tidak penat membina jambatan kepada pembaca untuk masuk ke dalam sastera. Wilayah dan tradisi tidak menjadi halangan buatnya. Kita bersedia untuk ikut dia ke mana saja kerana kita tahu cintanya pada sastera adalah sangat dalam. Kalau bukan belajar untuk mencintai (dan ingat sesuatu yang telah dilupakan) sastera, untuk apakah lagi kita membaca kritikan? Barangkali untuk melengahkan waktu dan tertidur di meja ketika hujan di jendela belum reda. 

Comments

Popular Posts