Seminar A.Samad Said: Renungan Kembali

Hari ini telah selesai Seminar Pemikiran SN A.Samad Said yang berlangsung selama tiga hari di dewan seminar DBP. Banyak ilmu, maklumat dan nasihat yang saya dapat daripada seminar ini. Sebagai kritikus muda, seminar seperti ini memang memberikan saya pengajaran berdasarkan pemerhatian saya ketika para pembentang membuat ulasan dan kritikan terhadap karya Pak Samad. Satu perkara yang menarik perhatian saya sepanjang seminar ini ialah hubungan antara khalayak sastera dan para penulis, dengan para kritikus sastera. Saya mendapati hubungan dua pihak ini masih renggang dan dingin.

Salah satu tugas utama seorang pengkritik ialah menjadi jambatan antara penulis dan pembaca. Sesebuah karya sastera akan dianalisa dan dinilai berdasarkan pendekatan ilmu yang tertentu. Teori atau pendekatan yang digunakannya bukanlah nilai muktamad sesebuah karya; ia hanya bertujuan membantu pembaca dan juga penulis melihat karya itu daripada perspektif yang mungkin tidak dapat digarap melalui pembacaan biasa. Misalnya, Encik Mohamad Daud telah mengkritik novel Hujan Pagi menggunakan pendekatan Studi Budaya. Kritikannya itu hanya melihat novel Pak Samad daripada aspek budaya, dan penilain juga dibuat berdasarkan ciri-ciri yang diutamakan oleh teori tersebut. Maka, adalah tidak wajar apabila kajian Encik Mohamad Daud dikritik berdasarkan teori lain. Perkara ini sebenarnya telah berlaku dari hari pertama seminar. Para penulis atau peminat sastera telah bangun mempersoalkan pembentangan pengkritik padahal mereka sendiri tidak faham bahawa pengkritik menggunakan teori tertentu dalam menilai karya. Perkara yang paling memualkan mata saya ialah apabila ada sesetengah penulis mapan yang bangun menanyakan soalan secara sinikal, dan mempromosikan bendera kiri yang dipegangnya sekarang dalam arena politik. Peduli apa anda kiri atau kanan, itu hak andalah; tak perlulah nak melalak dalam gelanggang sastera mengalahkan babun yang baru keluar dari hutan. Saya sendiri tidak faham kenapa makhluk-makhluk kiri ini suka sangat buat bising di sana-sini; sampai bendera masih digantung di atas garaj kereta sehingga menyusahkan jiran tetangga di tempat saya nak lalu-lalang. Sungguh sedih apabila budaya babun puak kiri merebak ke dalam gelanggang sastera. Sebagai seniman, kita sepatutnya lebih berbudi bahasa, dan menjadi contoh tauladan kepada masyarakat.

Bagi para kritikus, ada juga dikalangan mereka pada seminar itu yang terlalu ego dan prejudis. Tidak ada yang muktamad dalam sastera. Ini prinsip yang saya selalu pegang. Sastera itu bukanlah medium ilmiah yang kering dan boleh ditelan dengan sekali baca. Ia adalah seni halus yang indah dan mengandungi pemikiran kehidupan yang tersirat. Hakikat ini kurang disedari oleh sesetengah kritikus, terutama sekali mereka yang bukan sasterawan; kerjanya kritik sahaja dengan menggunakan logik akal sehingga hati jadi kering apabila hendak menggarap keindahan seni sebuah karya sastera. Selain itu, para kritikus tidak bolehlah bersikap prejudis terhadap sesebuah karya mahupun penulisnya hanya kerana karya itu tidak menepati teori yang dia anuti. Semua teori sastera itu adalah ciptaan manusia, dan setiap yang dicipta oleh manusia tidak akan pernah sempurna. Sama juga halnya dengan karya sastera. Betapa murni sekali pun hasrat kita hendak menilai atau menulis berdasarkan pendekatan Islam, sesebuah karya sastera tidak akan pernah sempurna. Maka, apabila ada kritikus yang mempertikaikan kedudukan Pak Samad sebagai sasterawan negara saya berasa amat sedih. Sedih kerana kritikus itu hanya melihat karya Pak Samad berdasarkan satu perspektif, padahal sumbangan-sumbangan Pak Samad yang lain tidak dipandang langsung. Kritikus ini juga hanya berlagak pandai dengan mengutip pendapat orang lain di seminar itu, padahal diri sendiri itu nampak sangat belum cukup ilmu dan tidak menghayati karya Pak Samad sepenuhnya. Ini masalahnya apabila kritikus bukan orang seni. Main belasah ikut suka hati sahaja.

Masa ialah kayu ukur paling utama bagi menilai kewibawaan seorang penulis dan juga karya-karyanya. Masih terlalu awal untuk kita memberikan hukuman atau penilain jitu kepada Pak Samad. Biarlah masa yang menentukan kewibawaan Pak Samad. Usia sasteranya masih muda.

Comments

lutfi said…
teringat kata-kata Hashim Awang dalam salah satu seminar yang diadakan beberapa tahun lepas, beliau juga menyentuh tentang sikap kritikus sastera di negara kita. Katanya, saat mereka membuat kajian, inilah orangnya (sasterawan dan penulis) yang menjadi rujukan dan bahan kajian. Tetapi, setelah dapat PHD, dan menjadi kritikus, mereka hanya terperap dalam bilik kuliah. Sehinggakan, seminar-seminar akan dihadiri jika membentang kertas kerja sahaja.
Wan Nor Azriq said…
Salam saudara lutfi dan saat omar,

Terima kasih kerana memberikan komen di ruangan ini.Betul apa yang disebutkan oleh saudara lutfi: banyak kritikus lebih suka hidup terperap di pejabat fakulti dan masuk dewan kuliah mengajar tentang teori sastera dan seni penulisan;padahal mereka sendiri tidak berjiwa seni.

Tetapi ini tidaklah merujuk kepada semua kritikus.Tugas kritikan ini bukan kerja mudah;ia memerlukan penganalisaan yang panjang dan teliti.Para kritikus juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai jenis karya sastera daripada pelbagai jenis genre - yang lama mahupun yang baru.Jadi,kalau ada dikalangan kritikus yang tidak suka datang seminar, janganlah mudah menghukum kerana kritikus itu mungkin ada tanggungjawab yang lebih besar.
Setuju dengan Azriq!

Bagi saya banyak cara yang lebih baik untuk mengkritik sesebuah karya walaupun kritikan itu sebenarnya pedas.Bahasa yang baik menunjukkan ketamadunan sesebuah bangsa.
Hazwan Faisal said…
azriq, tak sempat sangat nak berkenalan dengan kau, setelah membaca tulisan kau, aku boleh cakap "wow"...
satu pandangan yang tuntas dan bernas, apa pun aku bersetuju dengan apa yang kau tulis, hanya masa akan membuktikan segalanya...
Wan Nor Azriq said…
Salam kak hani dan saudara tasik hijau,

Terima kasih kerana meninggalkan komen di ruangan ini.Betul apa yang kak hani katakan,memang ada banyak cara nak membuat kritikan.Pendekatan paling sesuai dengan budaya orang kita ialah memilih jalan sederhana.Tidak terlalu kasar dan tidak terlalu lembut - semuanya bergantung kepada kualiti karya yang dinilai.Tetapi adakalanya seorang kritikus perlu juga agresif apabila berhadapan dengan karya yang dilihatnya bakal mencemarkan imej sastera kita.

Kepada saudara tasik hijau, terima kasih atas pandangan yang diberikan.Mungkin kita dapat berkongsi pendapat lagi pada masa akan datang.

Popular Posts