Nasihat Anton Chekhov Tentang Kekuatan Individu


Maxim Gorky dalam bukunya berjudul Perihal Sastera[i], ada menceritakan tentang pertemuannya dengan Anton Chekhov (gambar di sebelah) :

‘Suatu waktu, dia (Chekhov) duduk di depan jendela terbuka dan menerawang jauh, memandang laut, ia mendadak santak mengeluh,

“Kita terbiasa hidup dengan harapan akan cuaca yang baik, tanaman yang baik, percintaan yang manis, harapan-harapan menjadi kaya atau berkerja di pejabat dan menjadi ketua polis, akan tetapi saya tidak pernah melihat orang yang berharap menjadi lebih bijaksana. Kita berkata kepada diri kita sendiri, keadaan akan lebih baik di bawah tzar baru, dan di dalam masa dua ratus tahun pun masih baik, tapi tiada seorang pun mencuba untuk membuat keadaan yang lebih baik itu datang esok. Secara keseluruhan, hidup menjadi semakin bertambah kompleks, setiap hari dijalani dengan keinginan baik, tapi orang menjadi bertambah bodoh, dan terasing dari hidup dalam jumlah yang terus bertambah.”’

Kata-kata Anton Chekhov ini saya akan sentiasa ingat. Apa yang berlaku di Rusia pada zamannya ada sedikit persamaan dengan suasana politik di negara kita. Gelombang perubahan sedang merebak pantas dalam minda dan perasaan masyarakat. Suara-suara revolusi budaya kedengaran di kedai-kedai kopi, warung-warung kaki lima, di dalam teksi, di dalam bas, dan di pentas maya yang tiada tembok sekatan. Orang Melayu sudah bersedia menjatuhkan bangsa, dan saudara Islam mereka sendiri, padahal bangsa-bangsa lain sedang kencing di atas kepala mereka. Atas nama perubahan, kita bersedia menjual kedaulatan bangsa, kita bersedia menjual maruah bangsa, dan kita bersedia menjual kesucian agama. Ke mana perginya individu-individu yang akan mempertahankan kedaulatan agama dan bangsanya?

Saya tidak berhasrat untuk memberikan khutbah politik yang panjang, tetapi sekadar mengingatkan pembaca tentang kata-kata seorang sasterawan yang melihat negaranya itu semakin hilang kekuatan individu. Anton Chekhov yakin kepada kekuatan individu bagi membawa perubahan, seperti juga saya yakin bahawa kekuatan sebuah negara bermula dengan seorang individu.

Prof. Dr. Hamka sendiri pernah berkata[ii]:
“Kemajuan peribadi suatu bangsa atau kemerdekaanya, sekali-kali tidak akan tercapai, kalau lebih dahulu belum ada kemajuan dan peribadi orang seorang.”


[i] Dipetik daripada Anton Chekhov, terjemahan H.G Sudarmin (1986). Anton Chekhov: Kumpulan Cerita Pendek. Jakarta: P.T Pantja Simpati. Penulis telah melakukan beberapa pengubahsuaian ke atas terjemahan H.G. Sudarmin.
[ii] Prof. Dr. Hamka (2007). Peribadi. Selangor: Pustaka Dini.

Comments

salam azriq, barulah kak ina berkesempatan utk meninggalkan jejak. Menarik sekali tulisan azriq. Sebuah negara pasti dibina dengan batu bata setiap wangsa. Jika satu dua bata rengsa, bangsa itu tidak mudah mencipta sejarah nusa, mendaulatkan agama dan bangsa.
Luas pembacaan. Satu-satunya novel rusia yang pernah dibaca ialah Leo Tolstoy: Haji Murat terjemahan Victor Pogadaev. Mutu terjemahannya agak bagus.
Mohon izin utk sambungkan blog sdr ke blog kak ina ya.
Wan Nor Azriq said…
Salam kak ina,
Terima kasih kerana melawat blog saya :).Saya belum baca lagi "Haji Murat."Kalau kak minat Tolstoy, cubalah baca "Anna Karanina," salah satu novel terbaiknya.
Ya,saya sangat berbesar hati kalau kak nak sambungkan dengan blog saya :)
Azriq,

alamat blog kak hani dah berubah...jemput jenguk!

Popular Posts