"Lagu Kitkitkit": Sentuhan Moden Shahnon Ahmad

"Trend perwatakan dan seting karya-karya prosa kita ini pun masih tradisional. Yang dipentingkan bukan kejiwaan manusia, bukan pemikiran manusia yang serba sofistikated, tapi rata-rata kita bentangkan soal-soal external yang stereotaip pada watak-watak kita..."
(Shahnon Ahmad)

"I think action generally unreal... It's the thing we do in the dark that is more real, the thing we do because people's eyes are on us seems to me histrionic, small boyish."
(Virgina Woolf)

Dalam genre cerpen di negara ini, Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhamad, dan Keris Mas merupakan perintis kepada cerpen berbentuk moden. Mereka kita boleh anggap sebagai datuk cerpen moden Malaysia. Kalau mereka datuk, maka Shahnon Ahmad adalah bapak kita. Seorang cerpenis akan sentiasa berfikir sepanjang hidupnya tentang sumbangan yang dia telah berikan kepada sastera negara. Dia akan risau memikirkan cerpen-cerpennya yang belum tajam dan sempurna. Tetapi apabila kita ada Shahnon, seseorang cerpenis tidak perlu lagi risau kerana Shahnon telah tajamkan genre cerpen kita setajam-tajam yang mungkin, sehalus-halus yang mungkin, dan seindah-indah yang mungkin. Perkara ini jelas dalam cerpen-cerpennya yang terkemudian seperti Kalbu, Tak Keruan, Kelapa Nan Sebatang, Dongeng Merdeka, dan Lagu Kitkitkit.

Di tangan Shahnon, realiti dalaman orang perseorangan menjadi keutamaan. Plot telah turun ke tangga kedua dan strukturnya sangat minimal. Plot tidak lagi ditolak oleh aksi fizikal semata-mata, tetapi lebih dipengaruhi oleh perubahan perasaan atau perubahan pemikiran. Virgina Woolf melihat aksi luaran watak sebagai "unreal" kerana baginya personaliti manusia tersembunyi dalam diri kita. Shahnon Ahmad (seperti Anton Chekhov) telah menunjukkan dalam cerpen Lagu Kitkitkit bahawa kenyataan Virgina Woolf tidak semestinya benar. Dengan menggunakan sudut pandangan objektif, sebuah cerita masih dapat menggambarkan kepada pembaca psikologi watak asalkan setiap imejan dipilih dengan tepat.

Lagu Kitkitkit tidak bermula dengan permasalahan atau naratif yang memperkenalkan protagonis seperti yang kita lazim temui pada cerpen-cerpen konvensional; tetapi Shahnon telah melukiskan suatu suasana yang ironi. Seorang anak kecil bernama Montel sedang "melonjak-lonjak riang, seriang maut" di saat ibunya terlentang sakit dan menanti panggilan maut. Ibu Montel turut tenang dan gembira menghadapi kematian kerana keriangan Montel itu sangatlah jujur seolah-olah memberitahunya bahawa kedatangan maut bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Setiap yang hidup akan kembali kepada Allah yang Maha Pencipta. Asalkan manusia itu telah melaksanankan tanggungjawabnya, maka kematian patut disambut dengan gembira kerana dia akan dibawa ke alam kehidupan yang lebih sempurna. Di bahagian ini, tidak ada sebarang konflik atau permasalahan. Tetapi hati kita melekat pada cerita kerana Shahnon telah melukiskan suasana dan wataknya dengan berkesan:

‘Montel koyak kelopak mata kiri mak. Pucat mata itu berurat hijau; berbatas, bercabang, dan beranting.

“Mak! Itu dah orang datang.”

Mak hanya tersenyum. Mak hanya boleh tersenyum.’

Perulangan sememangnya teknik yang digemari oleh Shahnon. Adakalanya teknik ini boleh membosankan pembaca, tetapi apabila dalam perulangan itu ditambah diksi seperti "boleh" dalam petikan di atas, maka ia memberikan penekanan yang indah.

Dari pagi hingga ke malam. Dari perasaan riang hingga ke perasaan sedih. Dari mata terbuka hingga ke mata tertutup. Dan dari hidup hingga ke mati. Begitulah perjalanan plot cerita ini. Hanya dalam masa satu hari. Hanya dengan dua watak penting. Dan hanya dalam sebuah rumah. Makna sebuah kehidupan, dan nilai sebuah kematian diceritakan kepada pembaca secara ringkas, tetapi mendalam. Shahnon telah membina plotnya seperti sebuah lagu. Pada mulanya, Montel menyanyikan lagu kitkitkit dengan tenang dan riang. Setelah masa berlalu, orang semakin ramai, hari semakin tinggi, dan maut semakin dekat, nyanyian Montel bertambah rancak: "Mak-sa-kit! Mak-sa-kit. Mak-sa-kit. Mak-sa-kit; kit-kit-kit. Kitkitkit; kitkit."

Apabila hari sudah gelap, dan bacaan ayat suci mula kedengaran, nyanyian kehidupan mula kehilangan nyawa. Montel, seperi ibunya, terpaksalah memejamkan mata kerana begitulah lumrah kehidupan. Setiap yang hidup pasti akan memejamkan mata. Dan setiap lagu indah pasti akan ada penghujungnya. Lagu itu boleh sahaja dinyanyikan kembali apabila Montel membukakan mata, tetapi tidak akan ada telinga ibu yang setia mendengar, kerana "mak tidak akan bangun lagi."

Montel itu sihat, Montel itu comel, dan Montel itu kehidupan dalam Lagu Kitkitkit. Kita tidak suka mengingati kematian kerana kematian itu ibarat cermin jiwa yang makin hari kian pudar, dan akhirnya gelap. Ketika para tetamu datang menziarah, ibu Montel mengingatkan mereka akan kematian, dan Montel menjadi simbol kehidupan. Maka diusap kepala, dicubit pipi, dan ditepuk ubun-ubun lembut Montel, kerana kecantikan kehidupan ingin dirasai di saat wajah kematian berada di depan mata.

Montel dilukiskan oleh Shahnon dengan warna-warna asas kemanusiaan, tetapi gabungannya menceritakan psikologi perasaan yang kompleks. Tidak banyak yang kita tahu tentang Montel: dia hanya tinggal bersama ibunya, hidup terasing daripada masyarakat, dan sebelum "matahari terbit, sudah sembah perdu getah" bersama ibu. Kekurangan ini sebenarnya membolehkan Shahnon memfokuskan cerita kepada hubungan kasih sayang antara Montel dengan ibunya. Nyanyian kitkitkit oleh Montel merupakan sindiran anak kecil terhadap kematian, kerana maut tidak dapat memutuskan benang kasih sayang antara anak dan ibu. Montel itu nampak seperti tidak peduli akan kesakitan ibunya, tetapi kelakuan Montel boleh ditafsir sebagai memberi harapan melalui nyanyian. Harapan Montel ialah ibunya akan sihat semula, dan harapan itu sangatlah dalam sehingga ia mengalir ke dalam minda bawah sedarnya. Ketika Montel memejamkan mata, ibunya telah datang memberikan ciuman dan dakapan. Montel itu bukan watak bulat, dan bukan watak bulat yang kita cari sebenarnya dalam sebuah fiksyen, tetapi watak yang dapat memikat perasaan dan rasa ingin tahu akan misteri kehidupan manusia.

Sumbangan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad kepada genre cerpen kita, dari dulu hingga sekarang, memang sukar ditandingi. Keindahan bahasanya, ketinggian pemikirannya, dan keunikan ceritanya bakal menjadi permata klasik buat tatapan generasi akan datang. Salah satu permata itu ialah Lagu Kitkitkit yang merupakan antara cerpen terbaik negara kita.

Catatan
a) Charters,Ann (1987). The Story and It's Writer: An Inroduction to Short Fiction. New York: St. Martin's Press
b) Shahnon Ahmad, "Kegiatan Sastera Melayu 'Moden' Masih Tradisional?" Dewan Sastera, Mac 1973, hlm 11
c) Shahnon Ahmad (2005). Tonil Purbawara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Comments

Anonymous said…
Salam Azriq, terima kasih memautkan Bukuria di laman Kritikus Sastera.

Popular Posts