Kesegaran Bahasa dalam Puisi


Warna Malam
Oleh Muhammad Haji Salleh



warna malam berlampir
selapis senja kala
yang dikupas dari kulit bulan


kita tidur berbantalkan pelangi
pada tilam malam.




Mencari kesegaran bahasa dan ketajaman pemikiran merupakan perkara yang rumit bagi mana-mana penyair. Ada penyair, seperti Muhammad Haji Salleh, mampu menghasilkan dalam satu hari dua hingga tiga puisi. Bagi Usman Awang, seorang penyair itu tidak boleh duduk dan terus tulis tanpa sebarang inspirasi. Dia mesti turun ke dalam masyarakat dan nanti inspirasi itu akan datang sendiri. Cara penulisan Usman Awang mungkin sesuai untuknya atau penyair yang lain, tapi saya lebih percaya bahawa inspirasi itu datang hasil usaha gigih di atas kertas. E.E Cummings menulis satu puisi dengan 100 hingga 200 versi sehingga dia benar-benar puas hati.


Sekarang kembali ke soal kesegaran bahasa. Dalam puisi, dengan ruangnya yang sangat terhad, kesegaran bahasa sangatlah penting kerana kata-kata klise pasti dipandang sekali lalu sahaja oleh pembaca. Cuba perhatikan puisi "Warna Malam" di atas, metafora yang digunakan oleh Muhammad Haji Salleh iaitu "tidur berbantalkan pelangi" dan "tilam malam," memang sangat segar dan memikat rasa estetik kita. Cuba bayangkan kalau penyair hanya menulis, "dia tidur dengan mimpi indah di malam hari," sudah pasti rasa estetik kita tidak akan terangsang. Selain kesegaran bahasa, penyair telah memilih diksi yang taksa iaitu mempunyai pelbagai lapisan makna. "Bulan" dalam baris tiga bait satu boleh ditafsir sebagai harapan, keimanan, cinta, Tuhan, dll. Sekiranya orang yang bercakap dalam puisi ini ialah seorang alim ulama, maka bait pertama itu boleh ditafsir sebagai harapan atau pintu taubat yang sentiasa terbuka walaupun seseorang itu telah banyak melakukan dosa ("malam"), asalkan dia mampu melihat warna-warna keimanan yang tersembunyi di sebalik kegelapan. Dalam bait kedua digambarkan bahawa dosa itu suatu perkara yang indah ("pelangi") dan selesa seolah-olah ia adalah sebuah "tilam." Maka, setiap insan yang ingin bertaubat mestilah terlebih dahulu bersedia mengorbankan keidahan yang bersifat sementara ini.


Mencipta bahasa yang segar dan indah mestilah menjadi matlamat setiap penyair. Namun, hakikatnya agar sukar sekali untuk menemui puisi-puisi seperti ini. Kebanyakkan puisi yang disiarkan di akhbar atau majalah hanya mengulangi metafora atau simbol yang sudah klise. Paling malang sekali, para penyair kita amat gemar memasukkan kata-kata abstrak ke dalam sajak mereka dalam jumlah yang banyak. Tidak salah jika ingin meletakkan kata-kata abstrak dalam puisi, tapi ia mesti digunakan dengan cermat kerana pancaindera manusia tidak boleh menangkap idea-idea besar dalam jumlah banyak. Adalah lebih mudah jika seorang penyair itu menghidangkan imej-imej konkrit kepada pembaca kerana ia lebih mudah dikunyah seperti yang terdapat dalam puisi di atas. Tidak ada satu pun kata-kata abstrak di dalamnya. Inilah contoh sebuah puisi yang indah dan kaya dengan pemikiran.


Comments

roslan jomel said…
Saya percaya, kamu akan berjaya sebagaimana SN muhammad haji Salleh.

Tidak ada jalan komplasen mencipta karya yang baik buat pembaca-pembacanya.

Sebab itu, karya sastera sering menuntut penciptanya tidak lagi bergantung kepada bakat semata-mata.

* Bakat sekadar 30 peratus, kerja keras, mungkin lebih daripada 100 peratus kot...

Nota kaki(*Pengubahsuaian daripada kata-kata cerpenis kaguman saya, William Faulkner) He he he..
rahimin idris said…
saya juga suka puisi SN muhammad hj. salleh. puisinya banyak yang pendek-pendek. mungkin sebab beliau bermula dengan sastera inggeris. puisi pendek memang mencabar dan mengundang tafsiran tak habis-habis. contohnya puisi sitor situmurang -- malam lebaran, bulan di atas kuburan...
Nazmi Yaakub said…
judul entri ini agak mengelirukan. awalnya saya memikirkan bahawa entri ini ditulis oleh SN Prof Dr Muhammad Hj Salleh. rupa2nya hanya puisi milik Muhammad.
Wan Nor Azriq said…
Terima kasih roslan,rahimin,dan nazmi yaakub atas pendapat dan teguran anda :).

Saya separuh setuju dengan kata-kata faulkner yang telah diubahsuai itu hehe :)

ya,puisi pendek memang selalunya lebih padat dan memerlukan lebih banyak tafsiran.Pantun dan haiku adalah dua bentuk puisi pendek yang sangat ekonomi,indah,dan berurat-urat pemikirannya.

terima kasih sdr nazmi atas teguran itu.Saya akan tambah tajuk pada entri ini nanti.
aL-MaRBaWi said…
lama tak ketemu saudara azriq!

oh ya saya sudah tukar link URL saya sebab blog lama sudah saya padam untuk terbitkan versi kedua.

nampaknya ketika ini saya agak sibuk dengan tugasan. masa untuk berkarya agak terhad juga. harap dapatlah kiranya saya menyiapkan beberapa karya untuk saya hantar ke media.

saya juga ada hantar dua karya ke esastera.com. sudilah kiranya azriq baca ya

URL baru: http://almarbawi2.wordpress.com
lutfi said…
Azriq, Muhammad Hj. Saleh ternyata penyair yang baik. Walaubagaimanapun, saya lebih menghormati Muhammad Hj Saleh sebagai seorang pengkaji sastera. Kajiannya tentang sastera tradisional agak memukau dan kritis. Tentang sajak-sajaknya, saya rasa kualiti Muhammad Hj Saleh agak menurun.
Azriq, sdr. banyak menulis tentang estetika dalam dunia sastera. Apa pula pandangan sdr. tentang politik, kekuasaan, dan kaitannya dengan kesusasteraan?
Salam
Mawar said…
Azriq,
maaf, lewat sekali kanda ziarah rumahmu. muhammad merupakan guru kanda sejak mula tiba di kampus bangi. guru yang selalu membijaksanakan, hingga kini.

Popular Posts