"Frankenstein": Suatu Sorotan



Baru-baru ini seorang teman penulis menanyakan saya, "Adakah novel Frankenstein sebuah fiksyen sains?" Pada mulanya, saya katakan bukan kerana saya lebih cenderung melihatnya sebagai sebuah novel Gothic seram atau sastera serius. Tetapi, bagi memberikan keadilan kepada novel itu, saya baca sekali lagi. Hasilnya, saya mendapati novel ini memang ada struktur archetype sebuah fiksyen sains - hanya unsur-unsur dalamannya yang tidak menepati ciri-ciri fiksyen sains moden.


Apabila kita membaca novel-novel fiksyen sains klasik seperti The Time Machine dan The Island of Doctor Moreau, kita mendapati pengarang FS (Fiksyen Sains) cenderung untuk memaparkan kesan buruk penggunaan sains dalam kehidupan manusia. Watak Dr.Moreau dan Victor Frankenstein menyalahgunakan rasionaliti dan ilmu sains bagi melawan hukum alam. Victor cuba menjadi Tuhan dengan mencipta manusia. Doktor Moreau juga ingin jadi Tuhan, tetapi dia tidak cipta manusia, dia sebaliknya melakukan eksperimen ke atas haiwan. Struktur plot dalam novel-novel klasik ini masih digunakan sehingga sekarang oleh pengarang FS. Misalnya, di Malaysia kita ada Rahmat Haroun yang menulis novel Di.Ar.Ti.


Usaha untuk mengkategorikan Frankenstein sebenarnya sama susah dengan nak memberikan definisi tepat kepada FS. Di kedai-kedai buku besar, Frankenstein berada di rak yang berbeza-beza. Ada kedai buku yang kategorikannya sebagai novel seram, ada yang letak di sudut FS, dan ada yang letak di rak sastera serius. Saya lebih suka novel ini dikategorikan sebagai sastera serius memandangkan sumbangan pentingnya kepada genre FS dan seram, serta isu ceritanya yang masih relevan sehingga hari ini.


Satu teknik naratif yang menarik dalam novel ini ialah pembingkaian. Plot dimulakan dengan naratif Robert Walton, diikuti oleh Victor Frankenstein, raksasa Frankenstein, dan akhirnya kembali semula kepada Robert Walton. Mary Shelley telah menggunakan surat sebagai medium bagi penceritaan Robert Walton. Ini telah memberikan rasa 'real' kepada pembaca kerana surat sering dilihat sebagai sebagai catatan sebenar pengarang. Teknik ini juga memberikan tiga plot dalam satu novel: plot Robert Walton, plot Victor Frankenstein, dan plot raksasa Frankenstein. Penggunaan teknik bingkai oleh Shelley tidaklah sehebat Emily Bronte dalam Wuthering Heights - antara novel Gothic terakhir zaman Romantisisme. Wuthering Heights ternyata lebih kompleks binaan plotnya, dan disokong oleh watak-watak yang berkesan, berbanding dengan Frankenstein yang mempunyai watak-watak dangkal. Kita lebih cenderung untuk bersimpati dengan raksasa Frankenstein berbanding watak utama iaitu Victor.


Novel ini bukanlah novel yang terbaik dalam kanon sastera Inggeris. Namun, kedudukkannya dalam genre seram dan FS sebagai sebuah kanon klasik memang tidak boleh dinafikan.

Comments

Popular Posts