Keputusan Paling Penting Seorang Novelis
Henry James |
Menurut David Lodge, keputusan paling penting yang harus dibuat oleh novelis ialah menentukan sudut pandang cerita kerana ia akan mempengaruhi "bagaimana pembaca bertindak balas, secara emosi dan moral, terhadap watak dan tindakan mereka."
Walaupun ada benar kenyataan ini, tetapi saya tidak bersetuju. Pertama, bukan ada banyak pun sudut pandang dalam penulisan fiksyen. Dan kebanyakan fiksyen memilih sudut pandang ketiga terbatas sehingga ke tahap kita membaca sebuah novel tanpa menyedari sudut pandang yang dipilih oleh pengarang. Hanya apabila seorang pengarang memilih sudut pandang pertama dan kedua, baru pembaca mula terbuka mata sedikit. Itupun apa corak naratif yang belum diterokai oleh novelis-novelis terdahulu? Nak sudut pandang pertama yang mulut murai dan gila membuat komentar, Laurence Sterne sudah buat pada abad kelapan belas. Nak sudut pandang pertama yang pemerhati, Joseph Conrad dan F. Scott Fitzgerald sudah buat. Nak sudut pandang pertama majmuk (daripada pelbagai suara watak) pun ramai novelis sudah buat, dari Wilkie Collins sampai George R. Martin. Saya fikir kenyataan Lodge lahir daripada dirinya yang merupakan seorang fanboy tegar Henry James. Tidak dinafikan, Henry James mengubah cara kita berfikir tentang sudut pandang dalam novel-novelnya. Tetapi ini berlaku pada penghujung abad kesembilan belas, zaman ketika novelis hanya tahu menulis cerita sejarah dan realisme sosial secara bersiri. Novel belum menjadi permainan canggih seperti sekarang.
Satu lagi sebab saya tidak bersetuju dengan Lodge ialah penggunaan sudut pandang tidak membezakan seorang novelis dengan cerpenis. Kalau sudut pandang penting dalam sebuah novel, maka ia juga penting dalam sebuah cerpen. Selain itu, bukan semua novelis mempunyai kecenderungan teknikal seperti Lodge dan James. Bagi kebanyakan novelis, sudut pandang hanya alat atau mikrofon untuk menyampaikan cerita. Kita tidak fikir tentang sudut pandang apabila kita membaca Pramoedya Ananta Toer, Budi Darma, S. Othman Kelantan, dan Abdullah Hussain. Sudut pandang bukan unsur paling penting yang menjadikan karya mereka hebat. Sementara bagi pengarang teknikal seperti Italo Calvino dan J. M. Coetzee, kita tidak dapat lari daripada permainan penceritaan mereka, termasuk penggunaan sudut pandang. Oleh itu, adakah novelis patut mengambil mudah mengenai pemilihan sudut pandang? Ia bergantung pada novelis itu juga akhirnya. Kalau dia seorang pengarang teknikal yang ingin menambah pendekatan baru kepada penulisan dan pembacaan fiksyen, maka dia harus mengambil berat tentang sudut pandang dan juga semua unsur fiksyen yang lain.
Bagi saya keputusan paling penting yang harus diambil oleh seorang novelis ialah menyusun halaman buku. Halaman menentukan rentak, halaman menentukan pasang surut emosi pembaca — halaman menentukan aliran waktu dalam sebuah novel. Dan penulisan novel, secara asasnya, ialah perlawanan naratif menentang waktu.
Comments