Cerpen Hafizah Iszahanid: "Menjadi Ana"
"Menjadi Ana" (Dewan Sastera Januari 2022) ialah cerpen Melayu pertama saya baca untuk 2022. Dari dulu sumber cerpen di negara ini tidak pernah kering. Kita tidak akan sempat membaca kesemuanya. Di antara banyak cerpen yang terbit di Malaysia setiap tahun, jarang ada cerpen berbentuk realisme yang memikat. Mungkin sebab cerpenis realisme sudah semakin kurang. Ramai penulis muda lebih berminat mengarang satira (mengeluh) dan metafiksyen (yang bukan metafiksyen sangat pun). Tetapi Hafizah Iszahanid ialah sebilangan kecil daripada pengarang Malaysia yang matang dan mahir menggambarkan realiti kehidupan manusia, terutama sekali dari sudut pandang wanita. Cuba kita lihat pembukaan kepada cerpen "Menjadi Ana":
Jalan masuk ke kampung ini lurus sahaja dan tidak jauh, hanya kurang dua kilometer dari jalan besar. Namun, jalan masuk itu beralun dan jika kamu berdiri di jalan besar, kamu hanya akan melihat gunung yang berbalam dan kabus yang memutih. Hanya jika kamu benar-benar melihat, kamu akan dapat melihat perkampungan ini yang luas terbentang dalam celah kabus pergunungan dan hijau pohon.
Jika kamu memutuskan mahu ke kampung ini, rumah pertama yang kamu jumpa adalah rumah saya. Rumah kecil bertiang enam, beratap rumbia dan punya anjung yang menghadap jalan. Rumah itu punya empat anak tangga, dan di tangga kedua, kamu akan menemui saya duduk di situ hampir setiap pagi, tengah hari dan petang sejak suami saya hilang entah ke mana.
Mudah dan langsung ke konflik utama — seorang isteri menanti kepulangan si suami. Lebih menarik ialah sudut pandang yang dipilih Hafizah; ia seolah-olah wanita ini sedang bercakap dengan kita, dan kita dibawa masuk ke dalam dunianya yang sedih dan murung. Setiap kali saya mula membaca sebuah cerpen, itu yang saya cari — suara — kerana suara yang unik dan segar datang seperti kilat dalam kepala. Ia membuat kita terjaga dan ingin terus membaca.
Comments