Javier Serena: The Last Word On Earth
Sesiapa yang membaca novel Javier Serena The Last Word Earth akan tahu inspirasi novel ini ialah sosok pengarang terkenal Chile Roberto Bolano. Serena tidak menyembunyikannya. Beliau nak kita tahu. Judul novelnya sendiri adalah spinoff kepada judul kumpulan cerpen Bolano The Last Evening On Earth (antara buku kumpulan cerpen terbaik saya pernah baca). Tokoh yang dicipta oleh Serena bernama Ricardo Funes, seorang penulis kelahiran Peru yang kemudian membentuk gerakan penulis radikal di Mexico (juga sama seperti Bolano). Funes sangat obses menulis, namun Funes gagal berulang-ulang kali sebelum akhirnya nama beliau meletup di pentas sastera antarabangsa. Funes ketagih merokok (sama); suka mengumpul mainan tentera (sama); suka minum teh chamomile (sama lagi); Funes suka melihat laut untuk lapangkan fikiran (ya... sama). Dari satu sudut, seronok juga melihat Bolano diterjemahkan ke dalam bentuk fiksyen. Tetapi saya tidak faham kenapa Serena tidak all out dengan riwayat Bolano. Sesiapa mengikuti tulisan dan kehidupan Bolano akan tahu, beliau bukan saja gila menulis, tapi rakus membaca. Tidak ada langsung rujukan kepada pengarang lain dalam dunia Funes. Mungkin Serena takut kalau misalnya, muncul seorang Sergio Pitol atau Paul Auster dalam novel beliau, ia akan menghilangkan ilusi fiksyen. Baik. Tapi kenapa tidak ada rujukan kepada pengarang-pengarang yang sudah lama mati? Saya rasa kalau disebut dalam cerita itu Funes suka membaca Baudelaire dan Rimbaud, ia tidak akan menjejaskan pun realiti dunia tersebut.
Di sebalik kekurangan tersebut, saya tetap puas hati membaca novel ini. Saya suka mengikuti rutin harian Funes di pekan kecil beliau tinggal bersama isterinya. Novel ini juga pengubat yang bagus buat penulis muda yang masih sedang merangkak-rangkak mencari tempat dalam "kanon sastera," namun enggan tunduk kepada tekanan editor dan selera pembaca. Ini bukan sahaja homage kepada Bolano, tapi semua pengarang radikal dan kurang ajar di luar sana.
Comments