T. Alias Taib Masih Hidup


Bukan secara fizikal (kita tidak mungkin boleh melawan takdir). Tetapi kepengarangan T. Alias Taib. Saya memilih untuk menggunakan "kepengarangan" dan bukan "kepenyairan" kerana kita tahu T. Alias Taib bukan sekadar seorang penyair — beliau juga menulis cerpen, kritikan, esei, catatan, surat, dan poskad. Walaupun puisi adalah medium paling dominan dalam membentuk persona (dan legenda beliau), tetapi kepengarangan beliau tidak akan lengkap tanpa mengambil kira teks-teks minor itu. Kemudian datang persoalan paling penting saya ingin bangkitkan — adakah kepengarangan seorang pengarang hanya dibentuk oleh teks yang beliau hasilkan? 

Kalau menurut Bruno Latour, keberadaan kita dipengaruhi oleh benda-benda yang bertindak ke atas diri kita, kerana manusia dan benda bukan manusia dilihat sebagai terikat dan sentiasa berada dalam jaringan sosial yang sama. Istilah yang Latour gunakan ialah "pelakon" kerana makna diukur melalui tindakan dan kesan. T. Alias Taib ialah pelakon sama seperti Kuala Terengganu, ahli keluarga, Pasar Pengalaman, pen, pensil, kasut, dan Taman Permata ialah pelakon dalam jaringan kehidupan beliau. Kalau kita ingin berdiri bersama Roland Barthes dan angkatan pascastrukturalisme, maka keberadaan T. Alias Taib tidak lebih daripada hubungan dalam suatu sistem penandaan. Cuba kita lihat kembali satu bahagian daripada esei terkenal Barthes "The Death of the Author": 

Pengarang masih bermaharajalela dalam sejarah sastera, biografi para penulis, wawancara, majalah, sebagaimana pujangga persuratan ingin menyatukan diri mereka dan karya mereka melalui diari dan memoir.

Pendapat Barthes di sini ada benarnya; antara fenomena era moden ialah kegilaan manusia untuk memburu gosip dan fakta daripada kehidupan seorang seniman. Sebagai contoh, kita lebih tahu tentang legenda Salleh Ben Joned berbanding karya Salleh Ben Joned. Namun pandangan ini hanya boleh dipakai kalau kita menerima kepengarangan sebagai suatu benda yang statik dan terperangkap dalam ruang waktu. Pengalaman membaca puisi Salleh Ben Joned bagi orang Melaka sudah tentu tidak sama dengan pengalaman membaca bagi orang Iceland atau Kenya. Adakah orang Iceland akan terpesong jauh pembacaan mereka? Atau adakah pembacaan orang Melaka akan lebih tepat? Ada kemungkinan sahaja seorang remaja Kenya akan tersalah tafsir makna puisi Salleh; namun ada kemungkinan juga dia akan menemui potensi-potensi tersembunyi yang tidak dapat ditemui oleh seorang pembaca dari Melaka.      

Berbalik kepada kepengarangan. Ada dua pendekatan yang sering digunakan untuk menerangkan apakah itu seorang pengarang. Pertama, ialah apa saya sebut sebagai "melombong ke bawah." Maksudnya kita melihat kepengarangan sebagai tidak lebih daripada himpunan fragmen teks, sebuah teks, atau hubungan di antara teks. Kita temui ini dalam teori Kritikan Baharu, Strukturalisme, dan Dekonstruksi. Pendekatan kedua pula saya sebut sebagai "meniup belon ke atas." Kita jadikan pengarang hanya sebagai alegori atau simbol terapung. Pengarang ialah pujangga masyarakat; pengarang ialah pendakwah; pengarang ialah pendukung beban bangsa kulit putih; pengarang ialah pejuang golongan marginal. Kita temui ini dalam teori Marxisme, Pascakolonial, Studi Budaya, dan kebanyakan teori tempatan. Namun saya melihat kepengarangan bukan hanya himpunan fragmen teks (Piramid ialah antara karya terpenting T. Alias Taib, tapi kalau Piramid tidak wujud sekali pun, itu tidak bermakna kepengarangan T. Alias Taib terus lesap). Dan saya juga tidak melihat pengarang hanya sebagai alegori (kebangkitan populariti T. Alias menunjukkan kepengarangan beliau dua puluh tahun lalu tidak sama dengan kepengarangan beliau sekarang). 

Kalau saya tidak percaya kepada kedua-dua pendekatan ini, maka apa yang saya percaya? Saya percaya kepada biografi, saya percaya kepada objek, saya percaya kepada perhubungan, saya percaya kepada keterikatan, saya percaya kepada kebahagiaan, saya percaya kepada sifat semula jadi, saya percaya kepada potensi, dan saya percaya ada kewujudan di luar teks. Dalan esei berjudul "Literature and Biography," Boris Tomasevskij mengingatkan bahawa pengkaji sastera hanya patut memburu legenda seorang pengarang kerana "legenda itu adalah fakta sastera." Kalau kita nak cakap soal legenda, apakah legenda T. Alias Taib? Ada beberapa kita boleh senaraikan tanpa berfikir panjang: Seberkas Kunci, Piramid, Opera, penampilan beliau yang sangat kemas, kontroversi S.E.A Write Award, hubungan beliau dengan penyair-penyair muda, komik Mat Som.

Tetapi kenapa biografi seorang pengarang perlu terbatas kepada persona dan legenda beliau? Bagaimana dengan koleksi foto? Atau himpunan mancis dan pita kaset? Bagaimana dengan senarai buku di perpustakaan T. Alias Taib? Bagaimana dengan peta perjalanan harian beliau sekitar Kuala Lumpur? Bagaimana dengan Kuala Lumpur itu sendiri?    

Comments

Popular Posts