Kritikan Proses: Membaca Puisi Moechtar Awang


2 SAJAK LUKA
Oleh Moechtar Awang

masjid

terdiam
di mulut bilal yang sepi
terpacak
di perut bumi yang parah
senyap
di bawah kepak malaikat
yang patah

manusia

mengheret
serpihan usia yang lusuh
menggonggong
nafas maya yang berputar
rohnya
mengucur luka musim purba
lalu berlutut
ke pintu syurga
mengunyah doa

* * *

Saya sedang membaca puisi Moechtar Awang "2 Sajak Luka." Tetapi pembacaan ini ialah pembacaan yang sudah berlaku. Saya sekadar masuk kembali ke bilik yang saya sudah tinggalkan. Saya sedang menunggu pembacaan seterusnya untuk bermula. Tetapi sebelum itu, saya menanti suatu pembukaan. Dan juga suatu kehadiran. Kedatangan. Ke dalam pembacaan. Apakah atau siapakah yang bakal datang ini? Ralph Waldo Emerson menyebutnya sebagai "sahabat yang tidak diketahui." Jacques Derrida menyebutnya sebagai "rahsia." Tetapi fikiran saya terbang terlalu jauh. Ada contoh lebih dekat iaitu petikan daripada puisi Rudi Mahmood:


kau akan mendengar suara tajam
dari tengah lautan
yang terkurung antara ribut
ketika si tanggang yang terhukum
oleh syair dan gurindam itu
kau akan menjerit
mengatakan tentang duka
sepanjang aku di sini
katakan saja
sebaik aku tiba
kau sebetulnya lampu
di tengah pelabuhan itu. 


Saya bangun lalu saya merapatkan telinga ke dinding puisi Moechtar Awang. Ada lebih daripada "suara tajam dari tengah lautan." Ada suara di atas suara, suara di bawah suara, suara di dalam suara, suara tanpa suara. Ada kebisingan. Bak kata Latiff Mohidin, "setiap ruang telah penuh." Saya mendengar suara pembacaan sebelum saya mendengar suara-suara pembacaan. Latiff menulis lagi:


setiap ingatan telah penuh
oleh banjiran suara-suara sepi


Saya sedang membaca puisi Moechtar Awang "2 Sajak Luka." Tetapi saya juga sedang membaca nama Moechtar Awang. Bukan nama yang tertulis di kulit depan bersama judul bukunya QAF. Dan bukan juga nama dalam biodata pengarang yang terletak di kulit belakang buku. Saya membaca nama yang tidak boleh dibaca; nama yang bukan nama; nama yang melekat bagai hantu pada dinding-dinding kata. Tidak ada kod-kod hermeneutika Barthes di sini. Hanya isi buta yang melupakan kulit. Nama tidak bernama ini ialah Moechtar Awang, tetapi bukan Moechtar Awang lahir di Kota Bharu pada 19 Februari 1956 sebagai Mukhtar bin Awang. Nama tidak bernama ini juga bukan nama yang tertulis bersama judul QAF. Adakah nama tidak bernama ini "manusia" yang ditulis oleh penyair? Manusia tanpa nama; manusia semua manusia. Saya harus berhati-hati menggunakan kata "penyair" (dan "manusia") kerana ia seolah-olah percubaan untuk menutup nama tidak bernama dengan nama yang lain. 

Saya sedang mengumpul dan menyenaraikan beberapa perkataan daripada puisi "2 Sajak Luka": "mulut," "terdiam," "menggonggong," "mengucur," "mengunyah." Apa yang sedang dimakan dan ditelan dalam baris-baris puisi ini? Tuhan? Manusia? Bahasa? Manusia? Doa? Mungkin waktu kerana hanya waktu yang boleh menelan "serpihan usia yang sudah lusuh." Tetapi waktu bukan sesuatu yang saya bawa dari luar ke dalam teks ini. Waktu ialah suara di dalam dinding. Waktu ialah kebisingan yang menelan kesepian. Waktu ialah parasit yang mengunyah puisi dari dalam. 

Saya sedang membaca puisi Moechtar Awang; tetapi saya sebenarnya sedang menghulurkan tangan ke dalam kegelapan. Saya sedang menjadi penunggu dalam puisi Rudi yang mencari lampu di tengah pelabuhan. Barangkali ini ialah apa Emerson maksudkan. Membaca ialah menerima jemputan persahabatan. Tetapi jemputan ini bukan sesuatu yang dicari, bukan sesuatu yang diminta. Ia sudah sedia ada. Kita tidak boleh menolaknya. 

Perkataan pertama Moechtar Awang pilih ialah "masjid." Saya tidak membayangkan secara khusus apa-apa masjid, saya tidak tahu jika beliau pernah bekerja di masjid, saya tidak pernah melihat masjid di Kelantan, saya tidak rasa ada kaitan langsung di antara masjid yang berduka dan masjid yang sebenar, saya tidak rasa ada faedahnya untuk menterjemahkan masjid ini kepada suatu cerminan bawah sedar atau ideologi patriarki atau kebenaran metafizik, saya tidak rasa mustahil Chairil Anwar sedang bersolat di dalam masjid sementara Latiff mengumpul ranting-ranting patah di luar tingkap. Saya hanya menerima jemputan persahabatan ini. 

Saya sedang membaca puisi Moechtar Awang "2 Sajak Luka." Saya masih menunggu. 

Comments

Popular Posts