Soalan Untuk Penyair Malaysia: Apakah Metafora Era Ini?
Pada tahun 1998 Usman Awang dikatakan telah membuat kenyataan yang agak keras mengenai puisi Malaysia masa kini. Menurut Usman, puisi Malaysia masa kini sudah "kurang kejantanan." Sebenarnya agak susah untuk membuktikan sejauh mana benar kenyataan Usman ini kerana ia sampai kepada kita secara tidak langsung. Pertama, ia tidak keluar daripada mulut Usman sendiri, melainkan rakaman kaset ucapan yang beliau sampaikan dalam sebuah majlis sastera di Jalan Telawi, Bangsar. Salah seorang tetamu majlis itu ialah Baha Zain. Baha kemudian menceritakan isi ucapan Usman di Rumah Pena ketika Majlis Dialog Seniman yang turut dihadiri oleh Lim Swee Tin, Siti Zainon Ismail, dan Dinsman. Kenyataan Baha mengenai Usman kemudian diceritakan kembali oleh Sutung Umar RS dalam pengenalan kepada jurnal Perisa. Maka sudah ada empat lapis cerita itu. Sama ada ia benar atau tidak, ia tetap menarik untuk difikirkan.
Penting sangatkah untuk puisi "kelihatan jantan"? Saya sendiri tidak pernah fikir puisi sebagai jantan, betina, atau kacukan kedua-duanya. Puisi adalah bahasa. Ia boleh ditulis oleh sesiapa dan boleh dibaca oleh sesiapa. Dan biarlah kita jujur — penyair bukanlah manusia paling jantan dalam masyarakat! Kalau ada bencana alam, atau serangan pengganas, penyair bukan orang pertama kita cari untuk menyelamatkan keadaan. Berani berkata benar? Ya, sudah tentu. Tetapi berani dalam berpuisi juga boleh datang dalam pelbagai bentuk dan emosi. Berani seorang A. Samad Said sudah tentu tidak sama dengan berani seorang Salleh Ben Joned atau berani seorang Zaen Kasturi.
Adakah keberanian — kejantanan — hanya diterima melalui kata-kata yang berapi dan tajam seperti peluru?
Bagaimana pula dengan sosok penyair-penyair wanita yang sering ditekan untuk menjadi berani, tetapi pada masa sama, masih perlu menjaga sopan-santun mereka sebagai wanita? Adakah mereka belum cukup berani?
Bagaimana pula dengan penyair yang bersembunyi di belakang metafora-metafora canggih? Adakah keberanian mereka untuk menghilangkan diri ke dalam kata-kata tidak cukup jantan?
Sekarang kita sampai kepada puisi dan penyair era ini. Ternyata ramai peminat puisi di Malaysia masih menganggap Usman Awang sebagai penyair terbaik kita. Maka kenyataan beliau pada tahun 1998 bolehlah kita bawa ke perbincangan sekarang. Bagi saya, yang penting di sini bukanlah soal kejantanan, tetapi bahasa puisi. Itu sebenarnya yang mengganggu Usman; beliau tidak berpuas hati dengan bahasa puisi yang digunakan oleh penyair muda masa itu. Barangkali metafora mereka terlalu keras atau terlalu abstrak untu cita rasa Usman.
Namun setiap generasi akan mencipta bahasa — metafora — yang akan menggambarkan budaya dan suasana zaman mereka. Persoalannya, apakah metafora itu? Adakah ia sudah ditemui?
Apakah Malaysia yang penyair muda hari ini bayangkan? Apakah metafora-metafora yang sudah dicipta, atau perlu dicipta, untuk menggambarkan "kejantanan" era ini?
Comments