James Salter: Menulis Novel


Ada pengarang muncul di dunia ini seperti komet jatuh dari angkasa. Mereka mengubah persekitaran dan mereka mencipta tradisi baharu. Tapi ada ramai juga pengarang yang muncul diam-diam tanpa kita sedar. Karya mereka muncul seperti arus tenang di bawah jambatan. Kita perlu datang dekat, kita perlu merapatkan muka, dan kita akan nampak bayang wajah kita dalam bayang wajah mereka. James Salter berada dalam kumpulan kedua ini. Tulisannya sangat old-school, sangat tenang, dan kaya dengan imejan puitis. Tetapi Salter bukan seorang John Updike yang mengarang novel epik keluarga, atau seorang Philip Roth yang mengkritik identiti bangsa Amerika. Dia adalah pelajar sejati Gustave Flaubert: dia menulis kerana dia mencintai bahasa. 

Saya menemui baru-baru ini buku nota nipis di mana Salter berkongsi proses kreatif dan kenapa dia menulis novel. Saya masih rasa bagi novelis baru, mereka patut mula membaca surat-surat Mario Vargas Llosa kepada novelis muda. Kemudian perlahan-lahan berhijrah ke buku Orhan Pamuk, buku Jane Smiley, surat-surat Flaubert, dan jurnal Virginia Woolf. Sekarang saya akan masukkan buku Salter dalam senarai itu. Salter menulis:

"Sebenarnya, saya rasa tak ada sesiapa boleh mengajar anda bagaimana hendak menulis novel, dan kalau mereka boleh pun, mereka tak boleh buat dalam satu jam. Tidak mudah menulis novel. Anda memerlukan idea dan watak, walaupun watak tambahan boleh muncul kemudian. Anda memerlukan cerita. Anda memerlukan bentuk: Berapa kepanjangan buku ini? Ditulis dalam perenggan panjang? Atau perenggan pendek? Siapa pencerita? Berpusat pada satu titik atau mencampah ke merata tempat? Apakah kedalamannya? Apabila anda ada bentuk, anda boleh menulis novel. Apabila anda ada gaya bahasa. Gaya bahasa. Tempat di mana anda berdiri sebagai penulis. Prejudis anda. Pendirian moral anda." 

Betul, tidak mudah menulis novel. Kita tidak pernah berhenti belajar untuk berenang. Menulis novel ialah mendepani secara berterusan risiko untuk mati lemas.     

Comments

Popular Posts