Hubungan Sastera Malaysia Dengan Sastera Ireland


Sastera Malaysia sebenarnya mempunyai banyak persamaan dengan sastera Ireland. Bukanlah dari segi sosial atau politik. Tetapi dari segi budaya penulisan. Saya yakin para sarjana sastera kita (kalau ada) akan mampu mengupas dan membuat perbandingan yang lebih kritikal dan mendalam. Saya hanya ingin memberi tanggapan kasar sebagai seorang pembaca dan peminat tegar tradisi penulisan moden dari Ireland. 

Menurut saya, ada tiga kualiti utama yang menghubungkan Malaysia dengan Ireland. Pertama, hubungan  tradisi dan mitos tempatan. Antara pujian saya selalu dengar tentang sastera Ireland ialah bahasa mereka lebih puitis daripada bahasa dalam sastera Inggeris. Susah nak membayangkan seorang James Joyce atau Yeats lahir dari England (apatah lagi Amerika). Selain itu, sastera Ireland sangat kaya dengan unsur mitos dan fantasi. Malah salah seorang pengarang paling imaginatif di barat berasal dari Ireland: Lord Dunsany. Kita juga mempunyai hubungan erat dengan penulisan tradisional, sama ada puisi atau hikayat. Dari Usman Awang, Zaen Kasturi, sehingga ke Zainal Rashid Ahmad, mitos dan legenda tempatan sentiasa mewarnai sastera Malaysia. 

Kedua, penulisan satira. Apabila membicangkan satira, kita tidak dapat elak daripada menyebut tentang kritikan sosial. Lagipun apakah satira tanpa humor pedas terhadap pihak atau golongan tertentu? Betul, negara lain di barat pun ada karya satira. Namun di Ireland, ia menjadi identiti sastera mereka. Jonathan Swift dan Laurence Sterne masing-masing pernah menghasilkan satira. Di abad kedua puluh ada Samuel Beckett, Eimar O'Duffy, dan Flann O'Brien. Saya melihat satira mereka bukan sahaja kerana humornya (itu memang padat) tetapi juga kritikan sosialnya yang tajam. Nah, bukankah sastera Malaysia juga kaya dengan tradisi satira? Paling terkenal ialah Putera Gunung Tahan oleh Pak Sako dan Tikus Rahmat oleh Hassan Ibrahim. Dan walaupun populariti satira di negara kita semakin malap, namun kita tidak dapat terpisah daripada budaya kritikan sosial. Kalau kita membaca Jane Austen atau Herman Melville, adakah kritikan sosial benda pertama kita akan fikir? Tidak. Bukan itu teras utama penulisan mereka. Namun sukar sekali untuk membincangkan novel James Joyce atau novel Anwar Ridhwan tanpa melihat konteks sosial ketika karya mereka dihasilkan. 

Kualiti terakhir  ialah keberanian untuk melanggar tradisi. Tetapi bukankah kualiti ini bertentangan dengan kualiti pertama tadi? Ya, tapi saya selalu percaya bahawa anda tidak boleh melanggar tradisi tanpa terlebih dahulu memahami tradisi tersebut. Karya avant-garde atau eksperimental tidak lahir daripada kekosongan. James Joyce boleh menulis Ulysses kerana dia memahami tradisi dan dia berani melanggar tradisi tersebut. Di negara kita, contoh terbaik ialah Muhammad Haji Salleh. Seimbang di antara tradisi dan eksperimental. Bukan sahaja dari segi bentuk, tetapi juga sensibility beliau sebagai penyair. Muhammad dalam karya terbaiknya, melihat dunia dengan mata seorang penyair Melayu, namun berfikir dengan rasionaliti seorang penyair barat. Pencapaian Muhammad dalam Sajak-Sajak Dari Sejarah Melayu dan Salju Shibuya, masih belum diatasi oleh generasi penyair selepasnya.  

Sebenarnya di Ireland, selepas zaman Joyce dan Beckett, penulisan eksperimental terhenti dengan sangat lama. Tanpa menafikan kekuatan karya Edna O' Brien, John Banville, atau Colm Toibin, saya fikir tidak ada seorang penulis pun daripada generasi mereka yang pernah menghasilkan karya sebesar Ulysses. Hanya sepuluh tahun kebelakangan ini kita melihat sastera Ireland kembali bangkit di mata dunia. Paling terkenal sudah tentu ialah Sally Rooney dan Eimear McBride. Saya sendiri tertarik kepada penulisan fiksyen Rob Doyle. Eksperimen Rob Doyle tidak ada kaitan dengan tradisi Joyce atau Beckett. Dia lebih mirip Bolano, Kundera, dan Aira. Ini menunjukkan bahawa sastera Ireland, seperti sastera Malaysia kontemporari, sudah semakin rumit dan bercabang-cabang jalur tradisinya.     

          

Comments

Tak dinafikan Mohd Haji Salleh antara yang terbaik. Pemikiran beliau sangat tajam

Popular Posts