Kita Semua Turun Ke Jalanan Kerana Kita Semua Buta Seni


"What you are seeking is a better age, a more beautiful world. It was this world that you embraced in your friends; with them you were this world…. It was not human beings that you wanted, believe me, you wanted a world. The loss of all golden centuries, as you felt them compressed into a single glorious moment, the spirit of all spirits of better ages, the power of all heroes’ powers: those were to be replaced for you by a single human being!"
Hoelderlin


Saya nampak Jack Malik siang tadi di depan Sogo. Berjalan, berarak, dan membantah kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang memusnahkan arca Puncak Purnama. Bahu Jack menggendong kotak botol air mineral. Pyanhabib dan U-Wei berjalan di barisan paling depan. Anak-anak muda lain mengiringi mereka bersama sepanduk, papan karikatur badut, gendang, mantel gaya Harry Porter, dan nyanyian lagu "Rasa Sayang" seolah-olah semua orang sedang menyertai pancaragam sekolah peringkat kebangsaan. 

Di era Reformasi, demonstrasi jalanan mempunyai satu motif yang jelas: menyatakan pendirian politik kepada pemerintah dan masyarakat. Demonstrasi jalanan menjadi mancis dan rakyat menjadi tangan yang menyalakannya. Saya ingat era Reformasi sebagai zaman yang menakutkan kerana media menggambarkan demonstrasi di Kuala Lumpur sebagai liar dan ganas. Saya tidak akan lupa foto seorang anggota polis dalam akhbar Utusan Malaysia yang dikeroyok oleh orang ramai di Kampung Baru sambil sebelah tangannya melepaskan tembakan pistol ke udara. Kuala Lumpur nyaris huru-hara, dan kerajaan Mahathir nyaris berkongsi keranda dengan Soeharto. Kita harus menerima fakta paling jelas dari era Reformasi: api revolusinya terpadam sebelum ia sempat membakar.  

Ketika saya berjalan di belakang Jack melalui bangunan Pertama Kompleks, MARA, dan sampai ke Maju Junction, saya mencari wajah orang dewasa dalam perarakan itu. Saya mencari wajah orang dari era Reformasi. Tidak ramai, boleh dibilang dengan jari. Mungkin mereka sedang berdiri di bahu jalan atau bersembunyi di belakang cermin pejabat sambil berdehem dan membetulkan tali leher. Kita boleh membayangkan suara hati mereka: "Dulu aku berarak seperti mereka, tapi sekarang aku ada kerja dan anak-anak di rumah." Majoriti yang menyertai perarakan itu ialah anak muda di bawah umur tiga puluh lima tahun yang gembira dan melompat-lompat di depan kamera seolah-olah demonstrasi jalanan ialah konsert punk di Rumah Api. 

BUTA SENI TAK'PA, JANGAN JADI PENGHANCUR SENI

Begitulah tulisan pada kebanyakan sepanduk. Tetapi kenapa nak tunggu seni hancur baru nak turun ke jalanan? Kenapa seni dan seniman harus mati terlebih dahulu baru anak muda kita nak buka mata dan menghargai seni? Ketika Syed Ahmad Jamal masih hidup, saya tidak pernah nampak anak muda kita melompat-lompat di depan Puncak Purnama untuk dikongsi dan disebarkan di media sosial. Yalah, masa itu Puncak Purnama masih seketul batu. Ia hanya menjadi objek seni apabila ia menjadi mangsa politik dan bahan sensasi di media sosial. Tunggu sahaja tiga atau enam bulan lagi, Puncak Purnama akan hilang nilai gosipnya, dan anak muda kita akan beralih kepada objek seni seterusnya untuk diangkat dan dijulang. 

Saya akui, kenyataan saya sinikal, dan anda berhak mengecam saya seolah-olah saya ingin mematahkan semangat pemberontakan orang muda. Ya silakan memberontak, dan bakarlah seluruh negara ini kalau mahu. Anda berjuang untuk seni dan anda berjuang untuk masyarakat. Namun ada satu perkara saya bimbang: lama manakah semangat pemberontakan anda akan bertahan? Sebulan? Seminggu? Dua hari? Lima minit? Api pun boleh terpadam apabila terdedah terlalu lama kepada angin, inikan pula hati orang muda yang masih rapuh.

Lama manakah anda akan memberontak sebelum kehidupan datang mengetuk pintu dan menghulurkan kepada anda borang kerja dan tiket penerbangan segera ke akhirat?  

Tidak ramai orang bertahan kerana tidak ada orang memerlukan seni sebenarnya. Seni tidak boleh membayar yuran sekolah anak-anak; seni tidak boleh mengubat kanser; seni tidak boleh menyelamatkan tanah kampung daripada dirampas oleh pihak pemaju. Justeru saya selalu ketawa sendiri apabila ada orang meletakkan kedudukan seni sama taraf dengan politik dan ekonomi negara. Ia seolah-olah kalau seni tidak boleh membuat orang turun ke jalanan, ia bukan seni; dan kalau seni tidak boleh menyelamatkan nasib orang miskin, maka ia bukan seni. Namun cuba anda perhatikan betul-betul karya seni yang anda percaya, kononnya, adalah senjata melawan tirani. Usman Awang dan Chairil Anwar lebih banyak berfikir tentang kematian dalam puisi mereka berbanding memperjuangkan nasib rakyat tertindas. Bagi Chairil, hidup ini "hanya menunda kekalahan," kerana peperangan terbesar manusia adalah peperangan dalam dirinya melawan kematian:


"Seterusnya ia Bernyala-nyala dalam dada.
Segala daya memadamkannya

Bersimpah peluh diri yang tak bisa diperkuda

Ini ruang
Gelanggang kami berperang."


Orang selalu kata puisi Chairil adalah puisi kemarahan dan pemberontakan. Saya tidak rasa begitu. Chairil sebaliknya membuat saya sedih kerana tulisannya ialah pengakuan seorang penyair yang tahu dia akan mati muda. Dia tahu dia akan mati, tetapi dia tetap menulis puisi, kerana hanya dengan menulis puisi dia boleh bebas dan menunda kekalahannya kepada takdir. Ini mengingatkan saya kepada kata-kata ahli falsafah Romawi bernama Cicero: "Barangsiapa belajar menghadapi kematian, maka dia akan belajar bagaimana berhenti menjadi seorang hamba."    

Kematian memperhambakan kita kerana manusia secara semula jadinya percaya dia akan hidup abadi. Usman Awang percaya kematian ialah kebenaran yang hakiki, namun Usman enggan menerima kejatuhan bangsa Melayu seperti mana kerajaan Melaka pernah jatuh. Justeru orang seperti Usman menjadikan seni sebagai senjata dan panji untuk mempertahankan masa depan bangsanya dan nasib golongan kelas bawahan. Namun siapa yang masih membaca sajak Usman tentang golongan petani dan buruh? Retorik kosong semata-mata. Dan retorik ini berterusan dalam segenap lapisan hidup kita sebagai bangsa Malaysia (terutama sekali mereka yang berbangsa Melayu). Kita mempertahankan sesuatu benda kerana ia adalah warisan bangsa, dan kita percaya tanpa warisan, bangsa kita akan pupus dan digantikan oleh bangsa yang lebih angresif dan tamak. Sekali lagi saya ingat slogan yang saya baca pada sepanduk siang tadi:

BUTA SENI TAK'PA, JANGAN JADI PENGHANCUR SENI 

Namun seni apakah yang anak-anak muda hari ini ingin pertahankan? Seni orang tua? Seni yang berdarah? Seni yang berkarat? Seni yang bernanah? Seni yang akan membuat George Orwell dan Wiji Thukul bertepuk tangan di dalam kubur? Soalan sama boleh ditanyakan kepada saya kerana saya juga seorang anak muda. Seni apa yang saya cari dan seni apa yang saya ingin ciptakan? Jujurnya, saya masih mencari. Saya sangka apabila saya turun ke jalanan hari ini, saya akan menemui sesuatu bersama anak-anak muda generasi saya yang tidak sempat merasai amukan era Reformasi. Tetapi ternyata jentera Reformasi telah lama hilang. Hari ini apabila seorang anak muda turun ke jalanan, dia tidak turun sebagai seorang nasionalis atau seorang pencinta seni. Dia turun sebagai orang buta yang ingin mempertahankan monumen warisan yang  dia tidak pernah tahu wujud apatah lagi melihat dan menyentuhnya.        

Comments

Unknown said…
Lalu, Azriq. Seni itu apa dan apa saranan awak?
Ferhad Saldy said…
Lalu, bukankah Wan Nor Azriq sudah menyatakan di atas: "Soalan sama boleh ditanyakan kepada saya kerana saya juga seorang anak muda. Seni apa yang saya cari dan seni apa yang saya ingin ciptakan? Jujurnya, saya masih mencari."
Ferhad Saldy said…
Lalu, bukankah Wan Nor Azriq sudah menyatakan di atas: "Soalan sama boleh ditanyakan kepada saya kerana saya juga seorang anak muda. Seni apa yang saya cari dan seni apa yang saya ingin ciptakan? Jujurnya, saya masih mencari."

Popular Posts